Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Batal sambut Aidilfitri akibat anak ditimpa sakit ancam nyawa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Batal sambut Aidilfitri akibat anak ditimpa sakit ancam nyawa

Apr 12, 2024 | 08:43 PM



Selepas sekitar dua tahun keluar masuk hospital membesarkan seorang anak tunggal dilahirkan pramatang, dan menghidap penyakit paru-paru kronik sejak lahir, Encik Salihan Mustakim dan Cik Nur’El Huda Hasbullah menjangkakan Syawal lebih ‘sempurna’ pada 2024.

Ini selepas puteri mereka itu, Nur Eva Eisha Salihan, berusia dua tahun empat bulan, mula beransur pulih, dan tidak perlu bergantung kepada alat pernafasan di sisinya berbanding tahun-tahun yang lalu.

Bahkan, pasangan itu turut ghairah ingin menyambut Aidilfitri bersama anak comel itu dengan membeli baju kurung sedondon berwarna putih dari Johor menjelang Syawal.

Namun, bak pepatah, kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. 

Pada pagi Raya 10 April lalu, suasana rumah mereka di Punggol Drive, yang sepatutnya dimeriahkan dengan gelagat comel Eisha – yang sudah berupaya bertutur dan berjalan sendiri – sunyi sepi sahaja.

Sebabnya sekitar seminggu sebelum Raya, Eisha jatuh demam panas hingga menghadapi keadaan kritikal.

Pada 2 April, dia dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan disahkan menghidap dua jangkitan viral, serta sepsis yang berupaya meragut nyawa dan perlu dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Sepsis adalah keracunan darah akibat keradangan tubuh yang berleluasa dan tidak terkendali. Ini disebabkan respons sistem kekebalan tubuh terhadap jangkitan atau kecederaan.







“Tahun ini kita tidak sabar nak beraya, sebab Eisha dah besar dan lebih aktif,” ujar Encik Salihan, 33 tahun, terdahulu bekerja sebagai kakitangan awam, kini pengasuh sepenuh masa anaknya itu sejak Januari 2023.

“Kami dah sewa kereta Getgo untuk beraya bersama keluarga, tapi malangnya semua itu terpaksa dibatalkan,” keluhnya lagi kepada Berita Harian (BH) ketika dihubungi.


Keluhan Encik Salihan dan isterinya, Cik Nur’el Huda, 36 tahun, juga seorang kakitangan awam, dikongsi dalam satu video di TikTok yang menunjukkan Eisha dikejarkan ke KKH menerusi ambulans.

Video seminit itu sempat menunjukkan ayah itu bergurau dengan si kecil di sebelah katil wadnya sebelum ia bertukar kepada suasana suram pagi Raya di ruang tamu rumah, bersalam-salaman hanya antara suami dengan isteri.

“ Ya Allah, tabahkan diriku bagi Eisha,” tulis Encik Salihan di akaun TikTok beliau bernama hans_eisha.







Encik Salihan memberitahu BH, Eisha dilahirkan pramatang ketika isterinya hamil 25 minggu pada 18 Disember 2021 dan menghidap penyakit paru-paru kronik.

Ini menyebabkan Eisha lebih terdedah kepada jangkitan virus, katanya.

Sejak dilahirkan, hampir tiga suku kehidupan anak itu dihabiskan di hospital bagi merawat beberapa gejala serius.

Ini termasuk paru-parunya yang menjadi kecut, dan degupan jantungnya yang tiba-tiba terhenti pada usia lima bulan, hingga memerlukan rawatan doktor untuk membangkitkannya semula.

Mujur Eisha berupaya melawan penyakitnya dan dilengkapkan saluran trakeostomi pada Julai 2022 - iaitu alat pernafasan berbentuk tiub yang dipasang di leher yang dibantu mesin penyaluran oksigen atau ventilator.

“Kami merancang sambutan Aidilfitri yang biasa kali ini sebab Eisha tak lagi perlu bergantung pada mesin itu dan berupaya bernafas menerusi udara biasa,” kata Encik Salihan.

“Jadi kami tak perlu bawa alat yang berat itu dari rumah ke rumah seperti tahun lalu (2023).”

Malangnya Eisha jatuh sakit pada 2 April lalu – lapan hari sebelum Syawal.

“Doktor kata dia dijangkiti rhinovirus dan parainfluenza type 3. Keadaannya bertambah teruk pada hari ketiga hinggakan dia tidak sedarkan diri,” jelasnya.


“Sekitar 12 jam kemudian dia disahkan mengalami sepsis dan terpaksa dimasukkan ke dalam ICU.”.

Secara keseluruhan Eisha menghidap dua jangkitan viral dan dua jangkitan bakteria ekoran luka dan pendarahan di kawasan tiub trakeostromi.

Anaknya itu hanya mula sedarkan diri pada petang 1 Syawal, kata Encik Salihan.







“Kami terpaksa berbuka puasa di KKH dan mendengar takbir di radio pada malam Raya,” kongsinya lagi.

“Kami telah merancang untuk menyambut Hari Raya yang terbaik baginya tahun ini, tetapi mungkin Allah mempunyai rancangan lebih baik untuk kami.”

Encik Salihan berkata beliau dan isterinya tidak mempunyai rancangan menyambut Hari Raya pada kali ini kerana perlu memantau rapi keadaan Eisha.

Buat masa ini, Eisha tidak perlu menggunakan ventilator hospital tetapi dilengkapi alat Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) untuk membantu pernfasannnya.

“Syukur pernafasannya stabil. Dia lemah tapi sedarkan diri,” kata Encik Salihan.




@hans_eisha

2 viral infections + 2 bacterial infections. What seems to be just a short stay at KKH HD turned to an unfortunate turn to ICU. Raya seems lonely without her. The house seem too quiet. Forgiveness seems extra emotional this year. Ya Allah, i seek your guidance to make me stronger for Eisha. Oh Eisha, hati ibu hancur. Remuk tak terkata. #trachparents #tracheostomy #tracheostomybaby #nicu #nicukkh #cicu #25weeker #25weekpreemie #prematurebaby #tracheostomywarrior #teamtracheostomy #singapore #lifewithtrach #2024 #fyp #micropreemie #rhinovirus #parainfluenza #kkh #kkhospital

♬ Buah Hati - Armada

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >