Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Raya diketepi dulu kerana perlu jalani pembedahan tumor otak sehari sebelum Lebaran

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Raya diketepi dulu kerana perlu jalani pembedahan tumor otak sehari sebelum Lebaran

Bapa tiga anak hidap chordoma, sejenis penyakit barah tulang yang jarang berlaku
Apr 10, 2024 | 05:30 AM



Sedang ramai orang sibuk membuat persiapan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, Encik Fazli Nasser, 39 tahun, terpaksa menunda segala persiapan kerana harus menjalani pembedahan di hospital.

Pada 9 April, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, bapa tiga anak kecil itu menjalani pembedahan untuk membuang satu tumor barah yang tumbuh di bahagian otaknya.

Malah, pembedahan itu juga dipalit risiko hilang penglihatannya.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di flat sewanya di Jurong West beberapa hari sebelum pembedahannya, Encik Fazli kelihatan bimbang dan sedih tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama isteri dan anak-anaknya pada 1 Syawal.


“Saya sudah belikan baju Hari Raya untuk anak-anak saya. Tetapi untuk saya dan isteri, belum lagi. Kami masih mencari-cari.


“Memandangkan saya akan menjalani pembedahan ini, saya harap saya akan cepat pulih, jadi boleh sempat menyambut Raya pada Syawal.

“Saya mahu cepat-cepat jalani pembedahan ini supaya saya dapat mulakan lembaran baru pada Syawal bersama keluarga saya,” kata Encik Fazli.







Pada 2020, Encik Fazli disahkan menghidap penyakit chordoma, sejenis barah tulang yang jarang ditemui. Ia boleh berlaku di tulang belakang atau pangkal tengkorak.

Bagi Encik Fazli, ia bermula dengan simptom tidak dapat menggerakkan bola mata kirinya dengan bebas dan merasakan sensasi luar biasa di sebelah kiri mukanya.

Pada mulanya, beliau menyangka dirinya sedang mengalami simptom angin ahmar.


Beliau bergegas ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk diperiksa.

Setelah beberapa ujian, termasuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor memberitahunya bahawa beliau mempunyai tumor di bahagian otaknya.

Pembedahan pada 9 April adalah pembedahan ketiga Encik Fazli untuk membuang bahagian tumornya yang telah menjadi keras.


“Doktor akan melakukan kraniotomi untuk membuang bahagian tumor yang berdekatan dengan saraf optik. Bakinya, doktor akan menjadualkan terapi radiasi.


“Terapi radiasi hanya membuat tumor itu mati atau tumbuh pada kadar perlahan. Jadi, masih ada kemungkinan ia akan tumbuh kembali apabila saya semakin berumur.


“Terdapat risiko juga. Salah satu risiko terbesar yang doktor memberitahu saya adalah saya mungkin kehilangan daya penglihatan saya. Atau kemungkinan kelopak mata saya tidak boleh dibuka, atau hanya boleh membuka separuh sahaja,” kata Encik Fazli.


Kraniotomi ialah suatu prosedur pembedahan yang dilakukan dengan membuka sebahagian tulang kepala, untuk mendapatkan akses ke rongga kepala.


Meskipun dibelenggu dengan ketidaktentuan, beliau tidak ingin menunjukkan sebarang kebimbangan terhadap ketiga-tiga anaknya – Yusuf Ilham, tujuh tahun; Sofia Aamal, enam tahun; dan Noah Ilham, tiga tahun.

Baginya, mereka terlalu kecil untuk memahami keadaan yang dialami ayah mereka itu.

Isterinya, Cik Mayang Sari, 31 tahun, merupakan tulang belakangnya yang telah banyak menyokongnya sebagai suri rumah untuk menjaga anak-anaknya.

Encik Fazli berkata pada mulanya beliau merancang menyambut Hari Raya seperti biasa pada 1 Syawal, tetapi apabila diberitahu bahawa tarikh terawal untuk pembedahannya jatuh pada 9 April, beliau tidak mahu menundanya.

“Tarikh seterusnya agak jauh lagi dan saya tidak mahu menangguhkan pembedahan itu kerana saya takut tumor tersebut akan menjejas saraf otak dan membuat saya buta.


“Lebih-lebih lagi saya sebagai seorang pemandu, saya perlukan daya penglihatan... saya harus pastikan penglihatan saya jelas,” tambah Encik Fazli, yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet dan pencipta kandungan bebas.


Buat masa ini, beliau berkata penyakit itu masih belum menjejas keupayaannya bekerja atau berinteraksi, tetapi boleh menjejas wajah serta penglihatannya jika tidak menjalani rawatan.

Bercakap dengan BH, Encik Fazli berkata beliau bimbang kerana jika apa-apa yang berlaku, ia akan menjejas keluarganya memandangkan beliau adalah pencari nafkah tunggal.


Meskipun risau tentang pembedahannya, beliau berharap dapat cepat pulih agar dapat bersama dengan anak-anaknya meraikan sambutan Hari Raya.


“Mereka sangat-sangat ingin berjumpa sepupu mereka yang lain pada hari pertama Hari Raya. Saya sedih tidak dapat beraya dengan mereka pada hari pertama.


“Tetapi saya tahu saya perlu buat ini dahulu. Fokus kepada kesihatan saya. Itu akan menjadi pencapaian yang lebih besar. Dan saya harap semua orang akan mendoakan agar pembedahan saya berjalan dengan lancar,” kata Encik Fazli.







Menurut doktornya, Penolong Profesor Vincent Nga, chordoma jarang berlaku, dengan kira-kira satu kes yang didiagnosis bagi setiap juta orang di serata dunia.

Dr Nga merupakan Ketua dan Konsultan Kanan di Bahagian Pembedahan Saraf, Hospital Universiti Nasional (NUH).

Beliau juga merupakan Konsultan Kanan di Institut Tulang Belakang Universiti Nasional (NUSI) di Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Beliau berkata secara keseluruhan, lelaki dua kali lebih terjejas daripada wanita, walaupun tidak diketahui sebabnya.


“Chordoma clival jarang berlaku dan tumbuh dengan perlahan.


“Puncanya tidak difahami sepenuhnya, tetapi beberapa faktor telah didapati dalam cara penyakit itu berkembang, termasuk genetik, perubahan molekul dan pendedahan radiasi terdahulu,” kata Dr Nga.


Pada Jun 2020, Encik Fazli menjalani pembedahan pertamanya di NUH untuk membuang tumor yang berada di tulang pangkal tengkoraknya.

Pada Mac 2023, beliau menjalani kraniotomi, sebuah prosedur untuk memotong dan mengeluarkan sementara sekeping tulang tengkorak untuk mengakses otak, untuk membuang lebih banyak tumor yang telah tumbuh semula.

Pada 9 April, Encik Fazli menjalani satu lagi kraniotomi di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) untuk membuang sebahagian tumor yang berhampiran dengan saraf optiknya.

“Majoriti tumor otak yang sangat kompleks diuruskan terutamanya di NUH, TTSH dan Hospital Besar Singapura (SGH).


“Memandangkan tumor seperti chordoma clival jarang berlaku di Singapura dan seluruh dunia, adalah perkara biasa bagi ketiga-tiga hospital untuk bekerjasama rapat dalam kedua-dua bidang klinikal dan penyelidikan,” kata Dr Nga.


Menurut beliau, tumor chordoma tumbuh dengan perlahan tetapi bersifat invasif pada satu tempat, dan mempunyai kemungkinan besar untuk kembali selepas rawatan.


Sama ada beliau menjangkakan pemulihan sepenuhnya bagi Encik Fazli, Dr Nga berkata bahawa lawatan susulan jangka panjang masih diperlukan kerana tumor tersebut berpotensi kembali pada usia yang lewat.


“Encik Fazli secara khusus mempunyai beberapa faktor yang memihak kepadanya kerana sifat tumornya yang tumbuh agak perlahan, usianya yang masih muda dan penemuan imbasan CT tumor yang menunjukkan tumor tersebut kurang aktif berkembang.


“Tambahan pula, Singapura juga mempunyai pelbagai model rawatan yang menyeluruh di samping kepakaran di Singapura untuk merawat penyakit ini,” kata Dr Nga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >