Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU: MANCHESTER UNITED LWN LIVERPOOL

Liverpool favorit, namun United mampu ulang kejutan

Peluang Liverpool balas dendam selepas tumpas di tangan Man U dalam Piala FA
Apr 07, 2024 | 05:32 AM



Musuh ketat berentap lagi. Sudah pasti ia perlawanan yang dinanti-nantikan apatah lagi selepas United tumpaskan Liverpool 4-3 di saat-saat akhir dalam suku akhir Piala FA di Old Trafford pada 17 Mac lalu.

Bagi Liverpool perlawanan pada malam ini ( 7 April) satu peluang keemasan untuk membalas dendam.

Kedua-duanya mengalami nasib berbeza selepas keputusan yang menggemparkan di Old Trafford itu. Man U seri 1-1 dengan Brentford dan kalah di tangan Chelsea 3-4 dan Liverpool pula menang kedua-dua perlawanan, 2-1 kalahkan Brighton dan menang 3-1 kalahkan Sheffield United.

Persaingan malam ini penting bagi kedua-dua musuh ketat ini. Keputusannya akan menjejas persaingan mereka di tangga EPL walaupun matlamatnya jauh berbeza. Man U memburu tempat ke Liga Juara-Juara dan Liverpool pula mahu mengukuhkan peluang menjadi juara.

Keputusan seri 1-1 dan kalah 3-4 yang menimpa Manchester United semasa menentang Brentford dan Chelsea menyukarkan lagi impian pasukan itu untuk ke Liga Juara-Juara pada musim akan datang.

Pada masa ini United berada di tangga keenam dengan 48 mata. Sekiranya mereka mampu menang kesemua baki lapan perlawanan dalam Liga Perdana England (EPL), harapan pasukan bimbingan Erik ten Hag itu melangkah ke Liga Juara-Juara masih ada – meskipun terlalu tipis.

Ini kerana United berharap pasukan di empat tangga teratas kecundang dalam baki perlawanan mereka – harapan yang mungkin dianggap kurang realistik, apatah lagi dengan prestasi kesemua pasukan tersebut pada masa ini jauh lebih baik berbanding United.

Antaranya Liverpool yang kini berada di tangga teratas EPL dengan 70 mata ( Ini mungkin berubah jika Arsenal menang perlawanan pagi Ahad 7 April menentang Brighton).

Jika dilihat pada statistik pertarungan antara kededua pasukan itu, sehingga kini United sudah menang 83 perlawanan berbanding Liverpool dengan 71 kemenangan.

Baki 59 perlawanan antara mereka berakhir dengan seri.

Dalam musim kali ini, kededua pasukan telah bermain 29 perlawanan.

United menang 15, seri tiga kali dan tewas 11 perlawanan.

Sementara Liverpool pula menang 20 perlawanan, seri tujuh dan tewas hanya dua perlawanan.

Tidak hairanlah Liverpool kini berada di kedudukan teratas dengan 67 mata, apatah lagi pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu telah menjaringkan 67 gol dengan 27 gol lolos ke gawang mereka.

Ini jauh lebih baik berbanding United yang menjaringkan 40 gol dan melepaskan 40 gol ke gawang mereka – agak mengecewakan.

Strategi permainan

Jika dilihat pada corak permainan, strategi yang diterap Erik ten Hag meliputi permainan mengawal bola, tumpu pada umpanan dan pergerakan pantas.

Beliau dikatakan memberi tekanan kepada corak pertahanan yang agresif dalam usaha mendapatkan semula kawalan bola dengan pantas.

Namun kurangnya kekuatan mental mungkin menjadi punca di sebalik prestasi kurang memberangsangkan United pada masa ini.

Contohnya, semasa perlawanan menentang Brentford pada 31 Mac lalu.

United sedang mendahului Brentford 1-0 hasil jaringan Mason Mount pada minit ke-96.

Namun United terlepas tiga mata berharga apabila Kristoffer Ajer menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada minit ke 99.

Berbanding strategi Klopp yang memilih formasi 4-3-3 dengan menerapkan gaya permainan yang intensiti tinggi – menumpukan kepada serangan dan memberi tekanan agresif ke atas pihak lawan.

Kelihatan juga dalam beberapa perlawanan sebelum ini, para pemain Klopp amat mahir dengan ciri-ciri kekuatan mental dan fizikal yang dimiliki mereka dan mampu melaksanakan strategi yang ditekankan jurulatih mereka itu.

Contohnya dalam perlawanan menentang Brighton di Anfield pada 31 Mac, pasukan pelawat berjaya mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Danny Wellbeck.

Namun Liverpool yang memberi tekanan dengan 30 percubaan ke arah pintu gawang lawan berbanding sembilan yang dilakukan Brighton, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Luis Diaz.

Penyerang berbisa mereka, Mohamed Salah, kemudian memastikan tiga mata milik Liverpool hasil jaringannya pada minit ke-65.

Pemain ayam tambatan

Pada masa ini, United mempunyai Bruno Fernandes yang beraksi baik bagi pasukannya.

Beliau sudah pun menjaringkan empat gol dan menawarkan enam assist dalam musim kali ini.


Pemain asal Portugal ini telah melalui kempen yang tidak konsisten dalam musim kali ini, dan mendapat kritikan di atas sikap suka mengadu kepada pengadil dan tidak memberi sumbangan dalam perlawanan penting.

Meskipun begitu sikap kepimpinannya yang baik dapat dilihat dengan Rashford mengambil tendangan penalti semasa menentang Everton – dengan harapan meningkatkan keyakinan rakan sepasukan yang lain.

Sementara itu bagi Liverpool pula, Mohamed Salah merupakan pemain yang sudah pasti mendapat perhatian ramai setiap kali beliau beraksi di padang.

Pemain asal Mesir itu sejauh ini telah menjaringkan 16 gol selain mempunyai sembilan assist.


Daripada statistik kededua pemain ini, Salah dijangka lebih menyerlah apabila kededua pasukan bertarung.

Liverpool diramal favorit untuk menang, namun usah remehkan United yang mampu buat kejutan lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >