Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

PM Lee: Persahabatan, keterbukaan bantu S’pura, Indonesia hurai isu bersama walau rumit

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Persahabatan, keterbukaan bantu S’pura, Indonesia hurai isu bersama walau rumit

Apr 29, 2024 | 04:02 PM



Usaha dalam menyelesaikan isu berpanjangan berhubung pengurusan ruang udara, pertahanan dan ekstradisi antara Singapura dengan Indonesia menunjukkan dua negara ini mampu menangani cabaran paling rumit berasaskan semangat persahabatan dan keterbukaan, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Sebagai dua negara jiran terdekat, Encik Lee – yang berada di Bogor, Indonesia, bagi Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia bersama Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, pada 29 April – berkata “kepercayaan dan sikap saling memahami antara kita membawa perbezaan”.

Dalam satu sidang media bersama sempena rahat itu, Encik Lee berkata semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia keempat pada 2019, beliau dan Encik Jokowi bersetuju sudah tiba masanya bagi Singapura dan Indonesia berusaha mencari jalan penyelesaian bagi tiga isu dua hala berhubung pengurusan ruang udara, pertahanan dan ekstradisi itu.

Kemajuan besar dibuat dalam mencapai persetujuan bagi tiga isu itu, dengan tiga perjanjian dikuatkuasa pada 21 Mac lalu adalah detik penting bagi hubungan dua hala.

Tiga perjanjian di bawah Rangka Kerja Diperluaskan itu merangkumi Perjanjian 2022 mengenai Penjajaran Semula Sempadan antara Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Jakarta dan Singapura; Perjanjian 2022 bagi Ekstradisi Pelarian; dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan 2007 – ditandatangani semasa Rahat Pemimpin 2022.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Jokowi dan para menteri beliau atas peranan mereka dalam membawa ketiga-tiga perjanjian itu menjadi kenyataan.

“Ia menunjukkan bahawa apabila kita bekerjasama dengan semangat persahabatan dan keterbukaan, kita boleh menangani isu paling rumit sekali pun dalam cara yang pragmatik dan saling memberi manfaat kepada satu sama lain,” kata Encik Lee.







Encik Jokowi, dalam sidang media bersama, berkata Indonesia menyambut baik pelaksanaan perjanjian FIR, pertahanan dan ekstradisi itu.

“Tadi saya dengan PM Lee telah berbincang beberapa hal utama dalam bidang politik dan pertahanan, kami menyambut baik implementasi perjanjian FIR, pertahanan dan ekstradisi yang perlu dipastikan implementasinya berjalan sepenuhnya.

“Yang kedua dalam bidang ekonomi kita tawarkan beberapa peluang pelaburan sektor tekstil di Taman Perindustrian Kendal, ekonomi hijau serta pembangunan pusat data di Nongsa Batam,” kata Presiden Jokowi sambil mengajak Singapura menjadi pengembang industri produk halal di tiga kawasan – Bintan, Kepulauan Riau; Serang, Banten; dan Sidoarjo, Jawa Timur.

Pemimpin Indonesia itu turut menambah bahawa beliau dan Encik Lee juga telah membincangkan pelbagai kerjasama ekonomi antaranya pembangunan prasarana teknologi maklumat (IT) di samping pertukaran perdagangan dan teknologi serta sosial dan budaya, termasuk kerjasama dalam transformasi kesihatan dengan kemudahan perubatan di Bali.

Encik Jokowi turut mengundang Singapura mengambil bahagian dalam Forum Air Sedunia ke-10 yang akan diadakan di Bali.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan situasi serantau dan global, termasuk bagi keamanan di Timur Tengah dan usaha untuk memperkukuh konsep Asean Centrality atau institusi yang dijadikan wadah untuk menonjolkan keutuhan negara-negara Asia Tenggara dalam menangani cabaran bersama.







Sempena rahat pemimpin yang terakhir antara dua pemimpin itu, Encik Lee turut mengambil kesempatan mengiktiraf sumbangan Encik Jokowi kepada Indonesia dan rantau ini.

Beliau menambah bahawa Indonesia, di bawah Presiden Jokowi, telah menjadi suara membina dalam dunia yang berpecah-belah, seperti yang dilihat semasa kepimpinan Indonesia baru-baru ini dalam G20 dan Asean.

“Dengan wawasan dan kepimpinan, beliau telah meletakkan Indonesia pada trajektori ekonomi yang kukuh, yakin dan optimis tentang laluannya di hadapan dan meningkatkan kedudukan Asean sebagai peserta dalam hal ehwal antarabangsa dengan pandangan yang patut didengar dan sumbangan yang akan membawa perubahan.

“Ia telah membawa kestabilan dan kemajuan kepada Indonesia dan seluruh rantau ini. Indonesia adalah ekonomi terbesar Asean. Apabila Indonesia makmur, maka makmurlah juga rantau tersebut,” kata beliau.







Lawatan Encik Lee ke Bogor itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga merangkap Menteri Kewangan; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; dan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Heng.

Turut sama ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >