Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

DPM Wong ambil alih jawatan Perdana Menteri pada 15 Mei

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong ambil alih jawatan Perdana Menteri pada 15 Mei

PM Lee lepaskan jawatan pada 15 Mei, gesa rakyat beri sokongan penuh kepada DPM Wong dan pasukan 4G
Apr 15, 2024 | 07:13 PM



Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan memimpin Singapura sebagai Perdana Menteri mulai 15 Mei, mengambil alih jawatan itu daripada Perdana Menteri ketiga, Encik Lee Hsien Loong.

Tarikh penyerahan kuasa itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 15 April, memberi butiran lanjut mengenai peralihan kepimpinan daripada pemimpin generasi ketiga (3G) kepada pemimpin generasi keempat (4G) yang telah dirancang sekian lama.

Encik Wong, 51 tahun, akan menjadi Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei, selepas beliau mengangkat sumpah di Istana pada 8 malam.

Menurut PMO, Encik Lee akan melepaskan jawatannya pada hari yang sama dan memberi nasihat rasmi kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam agar melantik Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, sebagai penggantinya.

Beliau juga berkata Encik Wong mendapat sokongan sepenuhnya daripada Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dalam satu catatan di media sosial pada 15 April, Encik Lee berkata:

“Bagi mana-mana negara, peralihan kepimpinan adalah detik penting. Lawrence dan pasukan 4G telah bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai, terutamanya semasa pandemik (Covid-19).

“Melalui inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura (FSG), mereka telah bekerjasama dengan ramai rakyat Singapura untuk menyegarkan lagi kompak sosial kami dan membangunkan agenda nasional untuk generasi baru.

“Pasukan 4G komited untuk memastikan Singapura berfungsi dengan baik dan bergerak ke hadapan. Ini akan sentiasa menjadi keutamaan pemerintah.

“Saya meminta semua rakyat Singapura memberi sokongan penuh kepada Lawrence dan pasukannya, dan bekerjasama dengan mereka untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk Singapura.”

Pengumuman Encik Lee ini mengakhiri spekulasi mengenai tarikh peralihan pucuk pimpinan Singapura yang bermain di minda warga Singapura sejak Encik Wong dipilih oleh rakan seangkatan sebagai ketua pasukan 4G PAP pada 2022.

Mantan Menteri, Encik Khaw Boon Wan, telah bercakap secara individu kepada pemimpin 4G dan anggota Kabinet lain dalam usaha mencari pengganti Encik Lee. Encik Khaw mendedahkan 15 daripada 19 pemimpin yang ditemuinya telah menyatakan Encik Wong sebagai pilihan utama.

Ini menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada April 2021, bahawa beliau ingin memberi laluan kepada orang lebih muda memimpin negara. Encik Heng, sebelum itu, telah dipilih oleh rakan seangkatan sebagai ketua pasukan 4G. Usianya bakal menjangkau 60 tahun pada ketika itu dan pandemik Covid-19, yang bermula pada 2020, telah memendekkan landasannya untuk menjadi perdana menteri keempat, kata Encik Heng.

Pada November 2023, Encik Lee mengumumkan hasratnya untuk menyerahkan pucuk pimpinan kepada Encik Wong, sebelum Pilihan Raya Umum 2025.

Dalam satu mesej video yang disiarkan di media sosial sejurus selepas pengumuman PMO, Encik Wong memohon sokongan serta kerjasama rakyat Singapura untuk melakar haluan Singapura seterusnya bersama beliau dan pasukannya.

Kata Encik Wong yang menyertai politik pada 2011, beliau tidak pernah menjangka diminta berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab yang mendalam. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik dalam usaha ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata-kata penghargaan buat Encik Lee daripada anggota Kabinet, Anggota Parlimen (AP) dan warga membanjiri media sosial sejurus selepas pengumuman PMO pada 15 April.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata: “Komitmennya dan kerja kerasnya membentuk Singapura menjadi masyarakat yang makmur, berdaya tahan dan harmonis. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan teguh dan komitmen PM Lee terhadap kesejahteraan rakyat Singapura.”

Cik Nadia Ahmad Samdin, AP PAP yang membentuk pasukan Encik Lee di GRC Ang Mo Kio berkata Encik Lee seseorang pemimpin yang amat disayangi oleh penduduknya di Ang Mo Kio.

Encik Lee dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga Singapura pada 12 Ogos 2004, menggantikan Encik Goh Chok Tong.

Beliau kali pertama dilantik sebagai AP ketika berusia 32 tahun pada 1984, mewakili SMC Teck Ghee.

Sepanjang penglibatan beliau dalam politik, Encik Lee telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Menteri Kedua bagi Pertahanan sebelum menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2004. 

Antara pencapaian dan skim yang diperkenalkan di bawah pimpinannya termasuk melancarkan SkillsFuture bagi menyokong rakyat Singapura dalam menerima pembelajaran dan kemahiran sepanjang hayat, serta inisiatif Negara Pintar untuk menggunakan teknologi untuk mencipta masa depan kehidupan yang lebih baik, mencipta lebih banyak peluang serta memupuk masyarakat yang lebih kukuh.

Encik Lee juga telah membawa negara mengharungi beberapa peristiwa mencabar seperti tempoh kemelesetan sejagat pada 2008 serta pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Pembaharuan kepimpinan adalah “proses kritikal” bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Singapura, dan satu perubahan yang sudah dinanti-nantikan agak lama, kata Encik Lee dalam ucapannya semasa majlis Anugerah dan Konvensyen PAP di Singapore Expo pada 5 November 2023.

Encik Lee pernah menyatakan hasrat mahu berundur diri sebelum mencapai usia 70 tahun, tetapi proses itu tergendala disebabkan pandemik Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >