Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Biasiswa Peringatan Lim Kim San bantu pelajar NUS biaya pengajian

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Biasiswa Peringatan Lim Kim San bantu pelajar NUS biaya pengajian

Feb 26, 2024 | 05:26 PM



Kehidupan Cik Fatin Nabilah Muhammad Faizal, pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) berusia 20 tahun, menghadapi perubahan besar selepas ibu bapanya berpisah.

Beliau serta ibu dan tiga orang adik berpindah dan menetap bersama datuk dan neneknya di rumah empat bilik milik mereka di Bedok. 

Walaupun keluarganya menghadapi tekanan kewangan, Cik Fatin beriltizam menyumbang semula kepada masyarakat, sebagai tenaga pengajar di bawah Skim Tuisyen Mendaki bagi kanak-kanak kurang bernasib baik yang merupakan penerima manfaat badan itu. 

Melalui tuisyen itu, beliau ingin merapatkan jurang sumber dan peluang dalam pendidikan serta membantu membina asas pendidikan yang kukuh pada peringkat awal.

Beliau menerima Biasiswa Peringatan Lim Kim San pada 2023 yang membantu membiayai yuran pengajiannya, sekali gus meringankan beban kewangan keluarganya.

Permohonan bagi Biasiswa Peringatan Lim Kam San 2024 telah dibuka pada 26 Februari dan akan ditutup pada 30 April.

Biasiswa yang ditaja Yayasan Singapore Press Holdings (SPH) itu ditubuhkan pada 2006, di bawah cadangan mendiang mantan menteri, Encik Lim Kim San.

Cik Fatin, yang pada mulanya berhasrat untuk bekerja sambilan bagi membayar yuran pengajian dan membantu ibunya, tidak perlu lagi mengutamakan pekerjaan sambilan. Biasiswa itu membolehkannya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan menjalankan tanggungjawab di rumah sebagai anak sulung.

Peralihan dalam kehidupan keluarga Cik Fatin membawa cabaran kewangan, kongsi beliau dengan Berita Harian (BH) semasa dihubungi pada 26 Februari.


Berikutan perpisahan orang tuanya, Cik Fatin harus menyesuaikan diri di rumah datuk dan neneknya, berkongsi bilik dan menguruskan pelbagai tanggungjawab sementara ibunya, 45 tahun, bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif di Pejabat Harta Intelek Singapura.

Ini termasuk pelajarannya, membimbing adik-adiknya dalam pelajaran mereka, melakukan kerja rumah, serta menjaga datuk dan neneknya, masing-masing berusia 80 tahun dan 75 tahun.

Hatinya begitu cekal dan beliau tidak gentar dengan cabaran, malah Cik Fatin, pelajar jurusan psikologi, menjalankan tugas hariannya dengan menguruskan jadual agar beliau dapat mengimbanginya dengan baik.

“Untuk tahun pertama saya di NUS, saya mahu menyesuaikan diri dengan jadual sekolah dan perubahan di rumah.

“Selepas kelas, saya akan pulang ke rumah, menyelesaikan tugas sekolah dahulu dan kemudiannya melakukan kerja-kerja di rumah termasuk urusan adik-adik saya,” jelasnya.

“Biasiswa Peringatan Lim Kim San telah banyak membantu saya. Ia memainkan peranan penting bagi pengajian saya di NUS dan berfungsi sebagai salah satu sistem sokongan yang saya raih,” ujar Cik Fatin, yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam psikologi klinikal agar dapat terus memberi kesan positif kepada masyarakat.

Biasiswa tanpa bon itu bertujuan membantu pelajar Singapura daripada latar belakang keluarga yang sederhana untuk mengambil kursus ijazah bahasa, linguistik dan kemanusiaan sepenuh masa di universiti tempatan. 

Sejak 2006, 171 pelajar telah meraih manfaat daripada biasiswa itu. 

Biasiswa ini meliputi pembiayaan penuh yuran kursus yang diambil termasuk tuisyen dan peperiksaan, elaun sara hidup $2,000 setahun dan elaun buku $300 setahun.

Tertakluk kepada prestasi dan kemajuan akademik yang memuaskan, biasiswa hendaklah dipertahankan bagi tempoh minimum yang diperlukan oleh penerima biasiswa untuk menamatkan kursus pengajian bagi ijazah pertama dan jika dapat digunakan, pengajian tahun kepujian, tetapi tidak melebihi tempoh maksimum empat tahun.

Kriteria kelayakan


– Terbuka kepada warga Singapura yang pendapatan isi rumah bulanannya ialah $5,000 atau kurang


– Keputusan yang baik dalam peperiksaan tahunan di universiti tempatan


– Keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ‘A’ atau politeknik yang baik


– Rekod kegiatan kokurikulum (CCA) yang baik secara konsisten


– Penerima biasiswa yang berjaya diharapkan berkhidmat kepada masyarakat melalui kerja kemasyarakatan semasa dan selepas pengajian mereka


Faedah biasiswa


– Yuran kursus penuh termasuk tuisyen dan peperiksaan


– Elaun sara hidup $2,000 setahun


– Elaun buku $300 setahun


– Tertakluk kepada prestasi yang memuaskan dan kemajuan akademik, biasiswa hendaklah dipertahankan bagi tempoh minimum yang diperlukan oleh penerima biasiswa untuk menamatkan kursus pengajian bagi ijazah pertama termasuk, jika berkenaan, ijazah kepujian, tetapi tidak melebihi maksimum empat tahun


– Peluang latihan amali di SPH Media juga tersedia untuk penerima yang berjaya atas permintaan, dan jika terdapat kekosongan jawatan yang sesuai


– Hanya calon berkelayakan terpilih akan menerima biasiswa




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >