Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Akademi Home Team teroka teknologi AI dalam latihan pegawai jelang 2025

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Akademi Home Team teroka teknologi AI dalam latihan pegawai jelang 2025

Apr 23, 2024 | 03:55 PM



Daripada melaksanakan siasatan forensik kepada menyoal siasat ‘saksi dan mangsa’ kes rompak lari di dalam alam maya.

Pegawai Home Team bakal menjalani latihan simulasi bersama avatar kecerdasan buatan (AI) menjelang 2025.

Ia antara teknologi yang sedang diteroka Akademi Home Team (HTA) bagi mempertingkat sistem latihan simulasi para pegawai dengan membangunkan watak alam maya atau avatar yang berupaya bertutur persis gaya manusia sebenar.

Teknologi itu dirasmikan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, dalam Seminar Pelan Kerja Home Team 2024 di HTA di Old Chua Chu Kang Road pada 23 April.

Menurut HTA, ia mengambil masa sekitar enam bulan untuk membangunkan dua avatar AI itu sebagai konsep melatih pegawai mengendali senario kejadian rompak lari.

Dalam pertunjukan semasa acara itu, dua watak AI dipaparkan dalam satu skrin menyerupai dua individu, iaitu seorang wanita yang dikenal pasti sebagai mangsa kes jenayah, dan seorang pegawai keselamatan lelaki di sebuah pusat beli-belah yang sedang membantu wanita tersebut.

Pegawai HTA, menyerupai pegawai polis yang dikerah ke tempat kejadian, boleh bertanya soalan kepada kedua-dua avatar itu, seperti apa yang terjadi.

Ia kemudian akan memberi jawapan persis perbincangan sebenar.

HTA berkata teknologi itu diharap dapat diguna sebagai sebahagian ciri generasi lanjutan Sistem Simulasi Home Team 2 (HTS2), yang telah melatih lebih 7,000 pegawai Home Team sejak dilancarkan pada 2018.

Sistem itu menggunakan teknologi realiti maya (VR) untuk mengasah kemahiran pegawai dari sudut kesedaran situasi, penilaian terhadap keadaan serta membuat keputusan dalam senario tertentu.

Buat masa ini, sistem tersebut melibatkan pegawai memainkan peranan dalam senario secara fizikal, seperti mangsa atau suspek dalam satu kejadian jenayah – sering kali, jurulatih perlu menjalankan tugas kedua sebagai penilai.

Namun dengan teknologi avatar AI itu, ia akan dapat mengurangkan keperluan tenaga manusia tersebut dan membolehkan jurulatih menilai kemahiran insani peserta ketika berinteraksi dengan persona maya itu.

HTA menambah generasi lanjutan HTS2 sedang dibangunkan dan akan menggunakan teknologi lebih canggih seperti realiti terimbuh (AR) dan rakaman data serentak pada prestasi, tempoh tindakan dan langkah membuat keputusan.

Timbalan Superintenden Polis Gilbert Chen, Penolong Pengarah (Pembangunan Keupayaan) Pusat bagi Simulasi Home Team, HTA, berkata teknologi avatar AI itu penting bagi menerima maklum balas selengkapnya dalam usahanya membangunkan HTS2.

Semasa berucap, Cik Sun berkata HTA memainkan peranan penting dalam memacu latihan dan pembelajaran di Home Team.

“Bagi Home Team mempersiapkan dirinya untuk cabaran masa depan, kami perlu terus menyokong keperluan pembelajaran pegawai kami dan membuat pelaburan besar terhadap latihan mereka sementara mengimbangi komitmen kerja.

“Untuk membantu pegawai meningkat dan melatih semula kemahiran, HTA perlu terus meneroka kaedah pembelajaran dan teknologi baru, serta metodologi terkini dan terapkan pada konteks pembelajaran dan latihan kami.”

Antara kaedah lain yang ditunjukkan pada acara itu termasuk Sistem HoloDex yang dibangunkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Ia berupaya mewujudkan semula tempat kejadian jenayah termasuk mengekalkan bukti-buktinya.

Sistem itu membolehkan pegawai siasatan memeriksa tempat kejadian dengan teliti.

Penilaian boleh dibuat dengan menyatukan bukti jenayah di dalam alam maya tanpa berasa khuatir mencemar lokasi kejadian jenayah.

Satu lagi kaedah pembelajaran menarik ditunjukkan dalam pameran itu adalah satu permainan ‘ular dan tangga’ oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bagi menguji kemahiran kepimpinan pegawainya.

Ketua Eksekutif HTA, Encik Anwar Abdullah, berkata pihaknya akan terus memacukan inovasi pembelajaran termasuk penggunaan teknologi canggih seperti AI, VR, AR dan realiti gabung (MR).

“Kaedah pembelajaran dan latihan yang cekap adalah penting bagi menangani dunia masa kini yang dibelenggu pelbagai krisis dan kami perlu menghadapi cabaran berbilang sudut,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >