Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WARGA BERBAKTI

Ingin terus menyumbang kepada masyarakat selagi mampu

Pada usia 66 tahun, mantan akauntan Sallim Abdul Kadir terus hulur kepakarannya dalam beberapa jawatankuasa dan lembaga antaranya Mendaki, Warees Investment, Perkhidmatan Penjara Singapura dan Lembaga Pelawat bagi Berek Tahanan SAF
Sep 29, 2021 | 05:30 AM



BERPEGANG teguh kepada prinsip hidupnya untuk berkhidmat kepada masyarakat, Encik Sallim Abdul Kadir ingin terus menyumbang selagi beliau masih mampu melakukannya.



Dengan usia yang kini mencecah 66 tahun dan separa bersara, beliau banyak melakukan khidmat sukarela dalam kerja-kerja kemasyarakatan.



"Inilah falsafah yang saya kongsi bersama isteri saya dalam kehidupan kami," kata beliau.



Dengan pengalaman beliau yang luas sebagai akauntan dan juga sumber manusia, Encik Sallim menyumbang kepakarannya dalam beberapa jawatankuasa dan lembaga.



Ini termasuk menjadi anggota lembaga Yayasan Mendaki dan Pengarah Lembaga Warees Investment Pte Ltd di mana beliau menyelia peranan cabang pembangunan hartanah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu dalam menguruskan projek hartanah dan pembangunan wakaf.



Beliau juga merupakan ahli lembaga Persekutuan Palsi Serebrum Singapura (CPAS) serta anggota jawatankuasa perkhidmatan bagi Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).



Sepanjang penglibatannya dalam usaha kemasyarakatan setempat, Encik Sallim telah diberi kepercayaan untuk menerajui jawatankuasa SG50 Kita - jawatankuasa bertanggungjawab menyelaras sumbangan masyarakat Melayu/Islam bagi sambutan ulang tahun ke-50 Singapura (SG50) pada 2015.



Sebelum itu, beliau merupakan pengerusi Jawatankuasa Suara Musyawarah, yang dibentuk bagi mengumpul idea dan saranan untuk menentukan langkah selanjutnya demi meningkatkan kemajuan masyarakat Melayu/Islam.



Bakti beliau bukan hanya sekadar di peringkat masyarakat, malah Encik Sallim turut meluangkan masa untuk membantu mereka yang berada di dalam tahanan penjara.



Beliau memegang peranan sebagai salah seorang ahli Lembaga Keadilan Pelawat atau Board of Visiting Justice (BOVJ) bagi Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Lembaga Pelawat (Board of Visitors) bagi Berek Tahanan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF DB).



Antara peranan beliau sebagai anggota lembaga SPS dan SAF DB termasuk membuat pemeriksaan terhadap kawasan penjara dan memastikan kebajikan banduan dan tahanan terbela.



Menurut Encik Sallim, peranan tersebut telah membuka matanya kepada isu dan masalah lebih luas yang dihadapi pesalah ini.



Mengongsi tentang peranan sebagai ahli Lembaga Pelawat bagi SAF DB, beliau berkata mereka ditugaskan sebagai orang awam untuk memeriksa dan melihat keadaan berek tersebut.



"Kami juga akan memastikan kesejahteraan tahanan, selain cuba mendengar serta membantu mereka mengatasi masalah yang mereka hadapi," ujar beliau.



"Mereka mempunyai beberapa masalah yang memerlukan pertolongan dan kadangkala mereka malu untuk meminta bantuan daripada komandan atau pegawai di sana. Justeru mereka akan membincangkannya dengan kami."



Menurut Encik Sallim, beliau tersentuh dengan kisah-kisah yang diutarakan kepada beliau oleh tahanan ini.



Kebanyakan mereka adalah anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF).



Sepanjang penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan ini, beliau berkata banyak isu masyarakat yang telah didedahkan kepada beliau.



Namun isu tahanan NSF ini tersendiri sifatnya.



Sebahagian besar dari mereka, menurut beliau, dibelenggu dengan masalah seperti kewangan dan sosial sehingga mereka terheret dalam lingkaran kesusahan ini.



"Mereka tidak tahu ke mana mereka boleh pergi untuk mendapatkan bantuan.



"Akhirnya mereka buat keputusan sendiri dengan tidak menghadirkan diri tanpa izin (Awol) daripada latihan bersama unit mereka.



"Ada pula yang melakukan kesilapan besar hingga mereka terpaksa ditahan di berek pertahanan.



"Tentunya pihak SAF akan memberikan bantuan kepada mereka. Tetapi apabila mereka mendapatkan bantuan itu, ia mungkin sudah agak lewat.



"Mereka seharusnya mendapat pertolongan sebelum mereka menghadapi situasi ini," katanya lagi.



Berkat ketekunan Encik Sallim dalam menyumbangkan masanya untuk membantu tahanan SAF DB, beliau baru-baru ini menerima surat penghargaan daripada Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.



Encik Sallim merupakan antara 278 sukarelawan yang berkhidmat di 37 lembaga dan jawatankuasa Kementerian Pertahanan (Mindef) yang telah menerima surat penghargaan tersebut.



Dr Ng telah mengiktiraf sumbangan sukarelawan atas khidmat dan sokongan mereka yang tidak ternilai kepada Mindef dan SAF.



Mengulas mengenai kata-kata penghargaan itu, Encik Sallim, yang pernah menerima Anugerah Khas Muis50 dan Bintang Perkhidmatan Awam pada 2018, berkata:



"Saya bersyukur kerana ini merupakan salah satu cara untuk menggalak relawan dan menghargai apa yang telah kita lakukan ini.



"Saya juga rasa ia adalah satu perkara yang baik bahawa Mindef dan SAF membawa masuk orang luar, di mana mereka dapat beri pendapat dan idea dari pandangan luar, dan ini dapat meyakinkan orang ramai terhadap tugas yang dilakukan tentera kami," ujarnya.




"Kami juga akan memastikan kesejahteraan tahanan, selain cuba mendengar serta membantu mereka mengatasi masalah yang mereka hadapi... Mereka mempunyai beberapa masalah yang memerlukan pertolongan dan kadangkala mereka malu untuk meminta bantuan daripada komandan atau pegawai di sana. Justeru mereka akan membincangkannya dengan kami."
- Encik Sallim Abdul Kadir, yang baru-baru ini turut menerima surat penghargaan daripada Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkat ketekunannya menyumbangkan masanya untuk membantu tahanan di SAF DB.




BERPENGALAMAN LUAS DALAM KERJA KEMASYARAKATAN



SEBAGAI seorang yang aktif dalam kerja kemasyarakatan, Encik Sallim Abdul Kadir telah dilantik menerajui jawatankuasa Suara Musyawarah, sebuah jawatankuasa seramai 13 anggota yang ditubuhkan pada October 2012.



Jawatankuasa bebas itu ditubuhkan bagi mendekati anggota masyarakat secara menyeluruh dengan matlamat mengumpulkan idea dan saranan bagi menentukan langkah selanjutnya, demi meningkatkan kemajuan masyarakat Melayu/Islam.



Antara bidang tugas jawatankuasa tersebut termasuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat, seperti pemimpin masyarakat, akar umbi, badan Melayu/Islam dan individu.



Ini dijalankan menerusi pelbagai wadah seperti perbincangan kumpulan fokus, dialog, Facebook dan laman www.suaramusyawarah.com.



Selama setahun, jawatankuasa itu mengenal pasti dan mendokumentasikan beberapa isu penting bagi cuba mencapai kata sepakat dalam menanganinya.



Antara isu yang mendapat perhatian termasuk isu nasional seperti kos sara hidup, pendidikan, kehidupan beragama dan budaya, tetapi dilihat daripada konteks masyarakat Melayu/Islam.



Pada 2014, Encik Sallim juga telah dilantik untuk mengetuai sebuah jawatankuasa bagi menyelaraskan acara-acara sempena sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-50.



Bersama 20 anggotanya salah satu matlamat utama jawatankuasa 'SG50 Kita' adalah untuk menghasilkan dan melaksanakan projek utama yang boleh diterajui masyarakat Melayu/Islam bagi memberi manfaat kepada negara ini.



Ia juga mendapatkan penglibatan masyarakat dan badan-badan Melayu/Islam untuk menjana idea.



Encik Sallim, yang merupakan seorang karyawan dalam bidang tenaga manusia dan akauntan, juga adalah pengerusi Lembaga Pengarah Warees Halal Limited (WHL) dan dilantik sebagai pengarah Warees Pte Ltd.



Beliau juga pernah memegang peranan sebagai anggota Lembaga Pengarah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 2004 hingga 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >