Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Permintaan, harga rumah sewa di Johor meningkat sedang sewa di S’pura lonjak tinggi

Jun 07, 2023 | 12:20 PM



KUALA LUMPUR: Dengan harga sewa semakin meningkat di Singapura, lebih ramai warga Malaysia yang bekerja di seberang Tambak memilih untuk tinggal di Johor Bahru (JB) di mana terdapat pilihan tempat tinggal lebih dimampui.

Perunding hartanah berkata terdapat minat dan permintaan yang semakin meningkat bagi hartanah sewa di Malaysia sejak negara itu membuka semula sempadannya pada April 2022 dan ini telah mendorong peningkatan sewa, lapor The Business Times.


Pengarah eksekutif KGV International Property Consultants di Johor, Encik Samuel Tan, berkata bukan hanya warga Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi juga di kalangan ekspatriat, pelajar dan ahli keluarga mereka juga sedang mencari rumah sewa di Johor, katanya.

Pengusaha tempat tinggal jangka pendek juga sedang mencari unit sewa untuk diubah suai menjadi rumah percutian, yang semakin popular dalam kalangan pelancong dari Singapura dan tempat lain.

Terdapat permintaan tinggi terutama bagi rumah-rumah di Iskandar Puteri dan kawasan dekat Link Kedua Tuas dan Koswe.
Harga sewa di tempat-tempat ini kebanyakannya sudah kembali ke tahap pra-pandemik, kata Encik Tan.

Perunding hartanah dengan Gather Properties di JB, Cik Usha Lachumanan, berkata terdapat banyak pertanyaan bagi rumah sewa di lokasi popular di JB – terutamanya yang berada dalam jarak 30 minit pemanduan ke pusat bandar, seperti Taman Century, Danga Bay, Skudai, Gunung Austin dan Masai.

Sewa bulanan bagi studio 600 kaki persegi di Teega Residences di Puteri Harbour ialah sekitar RM1,000 ($292) pada 2021 tetapi harga tersebut sudah meningkat 50 peratus kepada RM1,500.

Pangsapuri seluas 800 kaki persegi di Afiniti Residences di Bandar Medini Iskandar baru-baru ini telah disewa dengan harga RM2,000 sebulan, melonjak hampir 67 peratus daripada RM1,200 sebelum ini semasa pandemik ketika sempadan masih ditutup.

Di Danga Bay pula, pangsapuri dua-bilik yang berkelengkapan penuh mempunyai sewa minimum RM1,700 berbanding pada 2021, di mana harga sewa ialah sekitar RM1,000 hingga RM1,300.

Para perunding berkata permintaan dan harga sewa di JB dijangka terus meningkat dalam tiga tahun mendatang.

Pengarah di CBRE | WTW, Encik Jonathan Lo, berkata Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan mula beroperasi pada awal 2027, akan bertindak sebagai satu lagi pemangkin untuk merangsang permintaan bagi rumah sewa di Johor.

Laluan sejauh empat kilometer itu boleh membawa sehingga 10,000 penumpang di kedua-dua arah setiap jam dan akan menjadi pilihan pengangkutan yang menarik bagi warga Malaysia yang ingin bekerja di Singapura tetapi tinggal di JB.

“Selain menyewa, kami perhatikan bahawa hartanah yang dekat dengan jalan raya utama atau sambungan pengangkutan awam ke Singapura telah menarik minat pembeli asing,” kata Encik Lo, sambil menambah bahawa kebanyakan pembeli ini membeli bagi tujuan pelaburan.

Data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 28,087 unit bernilai RM10.9 bilion telah dijual di Johor tahun lalu.

Pada suku pertama 2023, sejumlah 7,497 hartanah kediaman bernilai RM3.2 bilion bertukar tangan.

Jumlah urus niaga adalah 2.6 peratus lebih rendah berbanding suku keempat 2022, tetapi 11.8 peratus lebih tinggi daripada tiga bulan pertama 2020, sejurus sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Hasil sewa bagi hartanah kediaman di JB kekal stabil, kata Encik Lo. Bagi rumah berhalaman, purata hasil sewa adalah antara 2.5 peratus dengan 3.5 peratus. Bagi hartanah kediaman bertingkat tinggi, hasil sewa ialah antara 3.5 peratus dengan 4.5 peratus.

Langkah pemerintah Singapura menaikkan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) bagi warga asing yang membeli hartanah di Singapura juga akan mengalihkan perhatian pelabur ke bandar lain di Asia Tenggara, kata Encik Tan dari KGV International.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >