Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

AS-China tikam lidah soal pelaburan dan perdagangan

May 26, 2023 | 07:42 PM



DETROIT: Setiausaha Perniagaan Amerika Syarikat, Cik Gina Raimondo dan Menteri Perniagaan China, Encik Wang Wentao, bertikam lidah mengenai perdagangan, pelaburan dan dasar eksport, semasa berunding pada Khamis. Pejabat Cik Raimondo menyifatkannya sebagai “berterus terang dan substantif”.


Rundingan di antara mereka di Washington itu adalah yang pertama di peringkat kabinet Amerika-China dalam beberapa bulan ini, selepas terjadi beberapa gangguan keselamatan perdagangan yang menggugat rancangan rundingan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu.

“Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan berterus terang dan substantif mengenai isu-isu berkaitan hubungan perniagaan Amerika-China, termasuk keseluruhan sekitaran perdagangan kedua-dua negara dan potensi kerjasama,” kata Jabatan Perniagaan Amerika dalam satu kenyataannya.

“Cik Raimondo juga telah menyuarakan kekhuatiran tentang insiden baru-baru ini di mana PRC (Republik Rakyat China) bertindak ke atas syarikat-syarikat Amerika yang beroperasi di China,” ujar kenyataan itu.

Encik Wang pula menyampaikan keprihatinannya tentang dasar-dasar Amerika terhadap China, termasuk mengenai semikonduktor, kawalan eksport dan semakan semula pelaburan asing, menurut kenyataan dari Kementerian Perniagaan China.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan dan mengekalkan saluran perhubungan secara terbuka, dengan pejabat Cik Raimondo mengatakan mereka akan membantu “mengendalikan hubungan itu dengan penuh bertanggungjawab”.

Kementerian Perniagaan China mengatakan komunikasi itu akanmembolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu kerjasama perdagangan dan ekonomi.

Encik Wang juga berharap akan dapat mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai, semasa berehat di mesyuarat para menteri perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Detroit, yang berakhir Jumaat.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan Presiden China, Encik Xi Jinping, telah berikrar untuk mengadakan komunikasi lebih kerap, di sidang puncak Kumpulan 20 (G20) pada November 2022, bagi mengelakkan ketegangan antara Amerika-China mencetuskan Perang Dingin yang baru.

Tetapi rancangan itu mengalami kegagalan, bermula dengan penembakan jatuh belon pengintip China di perairan Amerika.

Kegenjotan itu berterusan apabila para pemimpin negara-negara Kumpulan 7 (G7) berikrar untuk menolak “paksaan ekonomi” China dan respons Beijing yang mengatakan pengilang Amerika, Micron Technology, sebagai satu ancaman bagi negaranya, dan mengharamkan penjualan cip keluarannya kepada industri domestik China.

Pengharaman itu disusuli pula dengan beberapa serbuan ke atas syarikat-syarikat perunding cara Amerika di China.

Pada Isnin lalu, Encik Wang telah mengadakan pertemuan dengan perwakilan syarikat-syarikat Amerika di Shanghai, termasuk Johnson & Johnson, 3M, Dow, Merck dan Honeywell, menurut Kementerian Perniagaan China.

Para perwakilan telah diberitahu bahawa “China mengalu-alukan syarikat-syarikat yang dibiaya Amerika untuk berkembang di China dan saling menguntungkan.”

Cik Raimondo menyuarakan minat untuk berkunjung ke China bersama beberapa pegawai tinggi Amerika termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Cik Janet Yellen. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >