Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

‘Sanggup ke luar negara lihat korban!’ Inilah sebabnya...

May 29, 2023 | 05:31 AM



DIGENDONG, kami berasak-asak untuk maju ke hadapan.

Pandangan saya semakin jelas, tidak lagi terhalang oleh puluhan ataupun ratusan orang yang berhimpun di pekarangan Masjid Darul Ghufran.

“Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar...”

Takbir dilaungkan dan saya lihat seorang pak cik dengan handalnya menyembelih seekor kambing yang kelihatan tenang terbaring sambil diusap-usap oleh beberapa orang lain.

Saya toleh, memandang wajah bapa saya yang dengan penuh semangat cuba menunjukkan, sambil menjelaskan kepada saya apa yang sedang berlaku.

Kenangan itu, walaupun sudah jauh terpahat di sudut ingatan saya, masih lagi segar.

Itulah kegiatan yang diri ini, ketika zaman cilik nanti-nantikan setiap kali tibanya Hari Raya Haji.

Sayangnya, tatkala meningkat dewasa, ‘tradisi’ melihat ibadah penyembelihan semakin lama semakin pupus, setelah peraturan diketatkan di Singapura. 

Keadaan di mana umat Islam berkumpul di masjid-masjid untuk melihat penyembelihan sudah lama tidak dibenarkan.

Sebaliknya, masyarakat Islam di sini menempah ternakan yang akan dikorbankan, dan hanya perlu menunggu daging untuk diagih.

Namun, saya dan keluarga masih mahu menghidupkan suasana Hari Raya Haji dengan menyaksikan penyembelihan dijalankan.

Justeru, luar negara menjadi pilihan. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, (tidak termasuk tempoh pandemik), saya telah ke kampung saudara di Kuok, Indonesia, serta Kota Tinggi, Malaysia untuk melaksanakan dan menyaksikan ibadah korban bagi kerbau dan lembu.

Mungkin ada yang rasa, “sanggupnya!”, tetapi bagi saya, upacara penyembelihan ini lebih daripada menyaksikan prosesnya sahaja.

Ia menjadi sesuatu yang mengeratkan lagi tali persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi juga orang Islam ‘sekampung’ yang lain.

Semangat gotong-royong jelas terserlah meski yang tua mahupun yang muda menyingsing lengan melaksanakan ibadah korban.

Golongan belia turut serta dan mempelajari cara yang betul untuk melakukan penyembelihan, malah membantu untuk mengagihkan daging kepada golongan yang layak dan memerlukan.

Jangan kata kanak-kanak, kami orang bandar pun teruja kerana dapat mempelajari secara praktikal makna di sebalik ‘korban’ yang sedang disaksikan!

Proses pengurusan ibadah korban yang melibatkan ramai orang membuka peluang untuk ibu bapa menerapkan nilai-nilai murni dan menyelitkan ajaran agama Islam yang boleh memperkukuh identiti diri sebagai Muslim. Ibu bapa juga dapat menjelaskan kepada anak-anak mereka tatacara betul yang diajarkan agama dalam melaksanakan proses menyembelih.

Contohnya, haiwan tidak boleh dikasari, pisau yang digunakan perlu tajam agar tidak menyakiti haiwan, haiwan perlu diasingkan supaya tidak melihat ternakan lain disembelih, dan aksi menyembelih itu perlu dilakukan dengan pantas. Ternakan juga hanya boleh dilapah setelah ia sudah benar-benar mati.

Walaupun anak saya masih kecil, pengalaman seperti inilah yang kelak dapat memberi peluang untuk saya menjelaskan kepada dia cara betul dalam penyembelihan dan menepis tanggapan salah yang mungkin timbul bahawa ibadah korban “menyeksa” haiwan atau “tidak berperikemanusiaan”.

Sama sepertimana ibu bapa saya mendidik saya secara praktikal, begitu juga saya harap dapat terapkan pada anak lelaki saya, dengan harapan dia juga akan ringan tulang menjadi relawan yang menguruskan ibadah korban tatkala dewasa nanti.

Selain itu, melakukan ibadah korban di luar negara membolehkan kita untuk berkongsi rezeki bersama saudara Islam lain yang memerlukan.

Ini lebih-lebih lagi di kawasan desa di luar negara, di mana ramai yang mungkin tidak mampu makan daging atau hanya berpeluang memakannya setibanya Hari Raya Haji.

Walau bagaimanapun, ia tidak bererti bahawa melaksanakan ibadah korban di negara sendiri kurang nilainya atau tidak menyaksikan proses korban kurang keistimewaannya.

Hari Raya Haji lebih daripada itu. Ia adalah hari yang menyatukan umat Islam, mengeratkan silaturahim, menggalakkan amalan tolong-menolong, dan mensyukuri nikmat yang ada.

Yang penting adalah untuk kita semua mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, dan hayati makna di sebalik ‘pengorbanan’ buat diri kita sendiri. Baik sebagai seorang ayah, ibu, anak mahupun anggota masyarakat.

Pengorbanan pasti ada ganjaran. Semoga Aidiladha kali ini membawa sejuta makna buat kita semua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >