Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ganding bahu, bersama sokong bekas pesalah untuk terus bebas jenayah

Oct 29, 2023 | 05:30 AM



Sepanjang 17 tahun saya berkhidmat dalam pemerintah, saya berpeluang bekerja di pelbagai kementerian, meliputi portfolio dalam Pengangkutan, Kesihatan, Pendidikan, Sosial dan Pembangunan Keluarga, dan hari ini, dalam Ehwal Dalam Negeri serta Pembangunan Negara.

Saya telah mendengar dan melihat secara langsung bagaimana dadah dan jenayah memusnahkan kehidupan penagih, pesalah dan orang yang mereka sayangi.

Di Kementerian Kesihatan, beberapa orang doktor yang bekerja dengan saya telah berkongsi tentang kesan fisiologi penyalahgunaan dadah.

Kajian klinikal juga menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah boleh menjejas perkembangan otak penagih, lantas menyebabkan masalah kesihatan dan mental yang teruk.

Ini juga termasuk ganja – kajian telah menunjukkan bahawa ganja mempunyai kesan berbahaya, bertentangan dengan dakwaan oleh kumpulan proganja.

Di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, saya telah melihat sendiri bagaimana anak-anak terjejas apabila ibu bapa mereka melakukan jenayah atau menyalahgunakan dadah.

Saya menemui banyak kes di mana pegawai perlindungan kanak-kanak terpaksa mengambil anak-anak selepas ibu bapa mereka ditahan.

Sering kali, ibu bapa sebegini mungkin tidak menyediakan persekitaran yang baik untuk anak-anak mereka membesar.

Kanak-kanak berkenaan kurang penjagaan dan bimbingan orang dewasa, malah ada yang tidak mempunyai tempat tidur yang sesuai, atau rumah yang bersih untuk didiami.

Di Kementerian Dalam Negeri pula, banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka yang saya temui, sering memberitahu saya bagaimana mereka terlibat dalam kehidupan jenayah dan dadah, dan bagaimana pilihan mereka telah mempengaruhi kehidupan mereka serta orang yang mereka sayangi.

Saya juga meluangkan banyak masa dengan pesalah belia kita untuk lebih memahami apa yang mempengaruhi mereka untuk mengambil dadah.

Ada yang berkata mereka ingin tahu dan tidak menyedari kemudaratan dadah.

Yang lain berkata mereka ditekan oleh rakan sebaya mereka dan mereka tidak mahu kelihatan “lemah” atau dilabel sebagai pengecut.

Bidang Tumpuan NCPR

Pengalaman saya telah membantu saya menghargai kepentingan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan kongsi masyarakat dalam usaha mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.

Ini adalah satu usaha yang tidak boleh ditangani oleh satu agensi sahaja.

Ia memerlukan pendekatan semua pihak secara bersama.

Pada 2018, Jawatankuasa Pencegahan, Pemulihan Residivisme Nasional (NCPR), telah ditubuhkan untuk menyelaraskan usaha negara mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.

Saya mempengerusikan buat penggal kedua jawatankuasa itu bersama Encik Eric Chua, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) & Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Kami disokong oleh rakan-rakan anggota parlimen, majlis penasihat kebangsaan dan kumpulan-kumpulan bantu diri.

Tumpuan kami ialah pada tiga bidang:

1. Memutuskan lingkaran kesalahan daripada berterusan dari generasi ke generasi lain;

2. Mencegah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan belia;

3. Mencegah kesalahan seksual remaja.

Belia kita adalah masa depan kita. Adalah penting untuk kita mempunyai dasar-dasar untuk membimbing mereka ke jalan yang benar, supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

Saranan

Izinkan saya menjelaskan lebih mendalam bagi setiap bidang tersebut dan berkongsi beberapa saranan yang dibuat NCPR.

Pertama, untuk memutuskan lingkaran kesalahan antara satu generasi ke satu generasi.

Semasa sesi dialog saya dengan banduan dan bekas pesalah, ada yang berkongsi bahawa pengalaman mereka dengan dadah bermula di rumah.

Mereka melihat bapa atau ibu mereka dan dalam beberapa kes, kedua ibu bapa sekali, menyalahgunakan dadah di rumah.

Lama kelamaan, tabiat tersebut menjadi sesuatu yang lumrah dan hanya menunggu masa sebelum mereka juga mencubanya sendiri.

Kajian juga telah dibuat oleh MSF dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada jenayah ibu bapa mereka adalah tiga kali lebih berkemungkinan terjerumus ke dalam kancah jenayah.

Oleh itu, NCPR telah menetapkan untuk mengkaji bagaimana keluarga yang anggotanya dipenjarakan boleh disokong dengan lebih baik supaya kita dapat meringankan keadaan mereka yang kurang bernasib baik dan menghalang generasi akan datang daripada terjebak dalam kancah jenayah.

Salah satu saranan adalah untuk menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh dan kena pada masanya kepada keluarga tersebut.

Contohnya, Perkhidmatan Penjara Singapura akan menilai keperluan semua banduan yang baru dipenjarakan dengan anak kecil dan merujuk kepada Pusat Khidmat Keluarga apabila perlu.

Ini akan membolehkan keluarga mereka menerima sokongan tepat pada masanya seperti kaunseling untuk emosi dan kewangan.

Satu lagi cara kami memperluaskan sokongan adalah dengan meningkatkan peranan sukarelawan Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP).

Kami akan mendapatkan lebih ramai sukarelawan YRC dan melatih mereka memainkan peranan sebagai pendamping keluarga, bagi membimbing dan membantu keluarga berkenaan dalam tempoh masa yang lebih lama.

Dengan peranan yang diperluaskan ini, sukarelawan YRCP akan menawarkan titik sentuh yang berterusan untuk keluarga sepanjang tempoh pemenjaraan banduan dan juga setelah mereka dibebaskan.

Kedua, mengenai pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan belia.

Pengalaman saya berinteraksi dengan belia menunjukkan bahawa sebahagian besar belia menyokong pendekatan toleransi sifar Singapura terhadap dadah.

Walau bagaimanapun, kajian terbaru oleh CNB menunjukkan bahawa semakin ramai golongan belia mempunyai pandangan yang lebih permisif terhadap dadah, terutamanya ganja.

Dapatan daripada tinjauan Kesihatan dan Gaya Hidup 2022 Institut Kesihatan Mental menunjukkan bahawa usia purata permulaan penggunaan dadah terlarang adalah 15.9 tahun.

Ini adalah usia yang sangat muda.

Adalah sangat membimbangkan bahawa terdapat golongan muda yang terjebak dalam penagihan dadah pada usia sebegitu muda. Ini akan menjejas mereka sepanjang hayat mereka.

Beberapa negara di seluruh dunia telah mengamalkan pendekatan yang lebih terbuka terhadap dadah dan ini telah mempengaruhi sikap sebilangan anak muda kita.

Untuk mengatasinya, kita perlu memperkukuh usaha pendidikan pencegahan dan aktiviti prososial untuk menjauhkan belia daripada bahan berbahaya.

Biro Narkotik Pusat (CNB) sedang meningkatkan usaha pendidikan pencegahan dadah dan bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat bagi memperkenalkan satu siri acara.

Ini adalah sempena kempen tahunan BebasDadahSG di beberapa pusat beli-belah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah kepada penyalah guna dan orang tersayang mereka.

Mengenai ‘vape’, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) juga telah menjalankan kempen bebas ‘vape’ di seluruh negara dari Januari hingga Mac 2023.

Rakan kongsi masyarakat akan bekerjasama untuk menyokong pelbagai aktiviti kempen.

Ketiga, mengenai usaha mencegah kesalahan seksual remaja. Walaupun bilangan belia yang melakukan kesalahan mencabul kehormatan dan rogol berkurangan pada 2022, lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk mendidik para belia.

Selain memanfaatkan campur tangan keadilan jenayah sedia ada yang disasarkan untuk mencegah kesalahan daripada berulang, kami juga akan bekerjasama dengan para karyawan yang bekerja dengan belia.

Sebagai contoh, Pasukan Polis Singapura (SPF), dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan (MOE), akan menyampaikan ceramah mengenai keselamatan diri dan menghormati batasan serta tata susila sebagai mesej pencegahan untuk belia di sekolah-sekolah menengah, maktab rendah, institut berpusat dan institut pengajian tinggi.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan pemahaman belia tentang faktor yang menyumbang kepada kesalahan seksual remaja, dengan tumpuan pada keselamatan diri dan menghormati batas sempadan.

Jika anda ingin mengetahui butiran lanjut bagi kesemua 20 saranan ini, sila lungsuri laman web berikut: https://www.msf.gov.sg/docs/default-source/ncpr/list-of-recommendations-by- the-ncpr.pdf


Peranan Penting Ibu Bapa

Saranan-saranan ini akan dilaksanakan oleh agensi pemerintah, agensi perkhidmatan sosial dan rakan kongsi masyarakat.

Walaupun kami boleh melaksanakan langkah dalam sistem kita untuk mengurangkan jenayah daripada berulang, namun peranan yang paling penting perlu dimainkan oleh ibu bapa.

Menjadi ibu bapa bukanlah mudah.

Sebagai ibu bapa kepada dua anak, saya boleh membuktikannya.

Saya secara peribadi percaya bahawa kadangkala apa yang anak-anak kita perlukan adalah penjagaan dan perhatian kita.

Ia bukan tentang memberi mereka alat yang paling mahal atau membawa mereka keluar untuk percutian yang mewah, tetapi sebaliknya memberi mereka sesuatu yang paling berharga kepada kita semua iaitu masa.

Meluangkan masa yang berkualiti dan melibatkan diri dalam perbualan penting boleh memberi kesan positif dalam kehidupan mereka.

Meluangkan masa bersama membolehkan ibu bapa mengenal pasti sebarang tingkah laku berisiko yang mungkin ditunjukkan oleh anak-anak mereka.

Dengan ini, ibu bapa boleh menasihati mereka atau mendapatkan bantuan daripada profesional jika perlu.

Dengan melibatkan anak-anak kita secara bermakna waktu mereka membesar, kita boleh membantu setiap daripada mereka menjadi orang yang lebih baik serta dapat merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

Kesimpulan

Mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan adalah satu perjalanan panjang seumpama maraton.

Kita harus kekal komited dan tabah sehingga ke garisan penamat.

Saya berterima kasih kepada semua rakan kongsi dan sukarelawan kami atas kerjasama dengan pemerintah, ke arah Singapura yang lebih selamat – tempat di mana semua orang diberi peluang untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >