Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Dunia dengan limpahan masalah ekonomi, gejolak politik

Dec 26, 2023 | 03:38 PM



Dunia telah meninggalkan 2023 yang penuh cabaran apabila melangkah ke 2024.

Dalam menjenguk dunia yang diharapkan lebih aman dan makmur, ia tidak dapat lari daripada kebanjiran pelbagai masalah politik dan ekonomi yang belum tuntas, masih dicari huraiannya dan mungkin masih buntu.

Peperangan di Ukraine, Gaza dan serangan militia Houthi ke atas kapal-kapal di Laut Merah masih belum nampak noktahnya.

Tetapi telah mencerut beberapa belahan dunia dengan masalah yang menjejas bekalan minyak dunia dan rantaian makanan yang semakin meruncing.

Ini sekali gus telah melonjakkan harga minyak di pasaran dan mencengkam kos sara hidup yang dirasakan penduduk di seantero dunia.

Dunia juga bakal menyaksikan percaturan politik yang berbeza apabila beberapa negara gergasi mengadakan pilihan raya pada 2024.

Hasil pilihan raya terutamanya di Amerika Syarikat, Russia, India dan Kesatuan Eropah itu dianggap dapat mempengaruhi orde dunia.

Di Amerika, dapatan hasil tinjauan pendapat menunjukkan majoriti pengundi merasakan calon Parti Demokrat, Presiden Encik Joe Biden, 86 tahun, terlalu tua untuk terus menerajui kuasa besar dunia itu meskipun pencabarnya, mantan presiden, Encik Donald Trump, telah mencecah usia 77 tahun.

Encik Trump dilihat sebagai calon pilihan dalam pemilihan Parti Republikan, meskipun beliau masih berdepan dengan beberapa perbicaraan yang masih belum selesai.

Jika dipilih dalam pilihan raya 2024, sebagai presiden, Encik Trump dikatakan boleh menarik balik sokongan ketenteraan dan kewangan Amerika terhadap Ukraine dalam perangnya dengan Russia.

Tetapi ini akan menimbulkan ketegangan dengan sekutunya – Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

​Beliau juga boleh melancarkan semula daya usaha untuk menangani perubahan iklim di peringkat nasional dan sejagat; dan seterusnya mempolarisasi politik Amerika, membawa kepada masalah yang lebih besar dalam Kongres Amerika.

​Kemungkinan perlantikan Encik Trump boleh, secara ringkasnya, menimbulkan risiko serius kepada ekonomi sejagat, multilateralisme, geopolitik dan isu iklim.

Russia pula bakal menyaksikan Presiden Encik Vladimir Putin, yang dilihat telah berjaya mempertahankan kedudukan tenteranya di Ukraine setelah dua tahun berperang, berharap untuk memperkukuh kekuasaannya selama 24 tahun untuk enam tahun lagi dalam pilihan raya pada Mac.

Pada 8 Disember, Encik Putin mengumumkan pencalonan bagi jawatan Presiden buat penggal kelima atau sehingga 2030.

Encik Putin telah mengubah perlembagaan negaranya yang bermakna secara teorinya beliau dapat mengekalkan kuasa sehingga 2036 – lebih lama daripada Encik Joseph Stalin.

Seperti Amerika dan Russia, India juga akan mengadakan pilihan raya melibatkan satu bilion pengundi pada April hingga Mei 2024.

Ini merupakan kesempatan terbaik bagi Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, dan partinya nasionalisnya, Parti Bharatiya Janata (BJP), untuk terus meneraju pucuk pimpinan negaranya.

Menurut pengamat politik, beliau dapat bertahan lama kerana dukungan padu yang diterimanya daripada lebih satu bilion penganut Hindu di India.

Para pendukungnya memuji Encik Modi karena telah meningkatkan kedudukan negaranya di mata dunia.

Malah, dunia juga berdepan dengan masalah kadar faedah yang lebih tinggi untuk lebih lama, kelembapan ekonomi sejagat, selain ketegangan geopolitik yang semakin meluas.

Menurut dapatan hasil tinjauan CEO Outlook 2023, ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat terkemuka kini meletakkan geopolitik dan ketidakpastian politik sebagai risiko terbesar kepada pertumbuhan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam tinjauan baru-baru ini terhadap 130 perniagaan oleh Oxford Economics, hampir 40 peratus responden melihat konflik Israel-Hamas sebagai risiko utama kepada ekonomi sejagat dalam tempoh dua tahun akan datang.

Russia yang menghalang pengeluaran dan bekalan bijirin untuk menjejas sokongan Barat terhadap Ukraine, dijangka meningkatkan inflasi dan memperlahankan lagi pertumbuhan ekonomi.

Akhir sekali, pengiraan risiko tidak akan lengkap tanpa mengambil kira risiko yang berkaitan dengan perubahan iklim.

Para saintis meramalkan perubahan iklim yang sedang berlaku sekarang, akan menyaksikan bumi yang lebih panas dan bakal menjejas sektor pertanian dunia.

Encik Carlo Buontempo, pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, berkata dengan kesan perubahan iklim dan El Nino, 2024 berada di landasan untuk menjadi satu lagi tahun yang memecahkan rekod.

Ini boleh membawa kepada suhu sejagat yang lebih tinggi dan sekali gus memburukkan lagi gelombang panas dan kemarau.

Ia akan menjejas hasil tanaman, mengancam keselamatan makanan, terutamanya di negara miskin.

Ketua saintis di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika, Cik Sarah Kapnick, berkata 2023 berada di landasan untuk menjadi tahun paling panas dalam rekod.

Terdapat juga jangkaan bahawa 2024 akan menjadi lebih panas.

Menurutnya, peristiwa cuaca melampau yang menjejas rantaian bekalan sejagat sebagai dalam kategori “kebarangkalian tinggi” pada 2024.

Walaupun semua risiko itu kelihatan mengerikan, mungkin dunia akan melihat beberapa kejutan sebaliknya pada 2024.

Sebagai contoh, mungkin Lembaga Rizab Persekutuan Amerika akan melakukan pemotongan kadar awal yang agresif untuk mengelakkan kemelesetan, yang akan membawa kelegaan kadar faedah kepada dunia.

Mungkin pada tahun ketiga perang mereka, Russia dan Ukraine akan berjaya mencapai penyelesaian yang dirundingkan.

Mungkin Israel akan sedar ia tidak boleh melihat masalah Palestin sebagai isu keselamatan semata-mata dan akan meneruskan proses politik yang membolehkan gencatan senjata secara kekal.

Mungkin Encik Trump tidak akan memenangi jawatan presiden dan geopolitik tidak akan menjadi lebih teruk.

Mungkin ekonomi China akan kembali rancak.

Keputusan pilihan raya di India, Russia, Taiwan dan Amerika semuanya akan menjejaskan pengendalian dasar luar China.

Hasrat Presiden China, Encik Xi Jinping, untuk memulihkan persekitaran luar yang mana ekonomi China boleh pulih daripada gangguan akibat pandemik Covid-19, memberikan insentif untuk perdamaian diplomatik dengan Amerika berikutan sidang kemuncak San Francisco pada November.

Kebanyakan pakar ekonomi tidak menjangkakan kemelesetan di Amerika dan EU yang akan merebak ke seluruh dunia.

Tetapi terdapat beberapa tanda yang tidak menyenangkan dan tidak boleh diabaikan.

Pemulihan ekonomi China kekal terkapai, dibebani oleh krisis pasaran hartanah, penggunaan yang lemah dan kekurangan sebarang rangsangan fiskal yang ketara – yang bermaksud China tidak akan menjadi enjin pertumbuhan seperti pada masa lalu.

Bagaimanapun, Encik Biden boleh mengharapkan sedikit pujian daripada Parti Republikan kerana meletakkan hubungan Amerika-China pada tahap yang kurang berbahaya apabila tiba Pilihan Raya Presiden 2024.

Bagaimanapun, perang prospektif antara dua ekonomi terbesar dunia akan kekal sebagai risiko utama.

Malah, pengkritik China yang paling lantang juga bersetuju bahawa adalah wajar mengelakkan sebarang gangguan antara Beijing dengan Washington yang boleh membawa kepada jurang yang mengerikan.

Oleh itu, jika dilihat pada kesemua yang sedang berlaku dan mungkin berlaku, dunia tidak menjanjikan kemakmuran, kestabilan, pertumbuhan dan kerancakan ekonomi apabila ia melangkah ke 2024.

Walhasil, kesemua senario yang dibentangkan menunjukkan dunia lebih berharap daripada bersikap realistik dan 2024 kelihatan lebih banyak ranjau dan duri daripada 2023. Mudah-mudahan tidak. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >