Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU

Leicester tekad tebus kekecewaan, momentum pula pada West Ham

Anak buah Brendan Rodgers perlu cari semangat baru untuk tebus kekecewaan tewas dalam Piala FA untuk atasi pasukan pimpinan West Ham, yang diakui sebagai antara pasukan paling konsisten dalam liga
Feb 13, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Leicester City dan West Ham United merupakan dua kelab yang mempunyai sejarah yang kaya.



Namun, sedang Leicester terkial-kial musim ini dalam usaha mereka mengulangi kecemerlangan semasa menjulang takhta liga pada 2016, West Ham pula meneruskan form mereka yang konsisten sejak musim lalu, sekaligus melihat kelab itu kini menduduki tangga ke-empat liga.



Menjelang perlawanan ini pula, nasib kededua pasukan juga berbeza.



Leicester yang dikenali dengan gelaran Foxes, tewas secara memalukan di tangan kelab liga Championship, Nottingham Forest, 4-1, lantas tersingkir daripada Piala FA manakala West Ham pula semangatnya bersemarak dengan kemenangan 1-0 ke atas Watford yang membawa kelab itu memasuki kedudukan Liga Juara-Juara Eropah di tangga keempat.



"Leicester amat tidak konsisten musim ini... seolah-olah mereka masih lagi di babak-babak terakhir liga musim lalu apabila mereka melepaskan peluang keemasan untuk meraih tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan form yang menjunam pada akhir musim," kata bekas penyerang Leicester dan Liverpool, Emile Heskey.



"Saya masih percaya (Brendan) Rodgers adalah pengurus yang tepat untuk membawa Leicester ke hadapan. Namun, pastinya kelab ini memerlukan suntikan kesegaran, sesuatu pembaharuan untuk maju ke tahap yang mereka inginkan," tambah beliau.



Sedang Foxes terkial-kial, anak buah David Moyes, West Ham, pula seolah-olah mendapat nafas baru musim lalu, dan kecemerlangan mereka berterusan hingga ke musim ini.



Hammers mempunyai tunggak yang kukuh, kata Joe Cole, bekas produk akademi West Ham yang telah melahirkan senarai panjang pemain terunggul dunia, dan kekuatan ini telah dipupuk dengan baik sekali oleh West Ham.



"Adakah mereka lebih hebat daripada Manchester United, Arsenal dan Tottenham Hotspurs? Bagi saya jawapannya tidak.



"Tapi mereka mempunyai tunggak yang mantap, dari barisan pertahanan hingga ke midfield dan tenaga penggempur dan Moyes telah memupuk kemantapan ini menjadi kekuatan mereka yang sukar ditandingi apabila mereka bermain sebagai sebuah pasukan," ujar beliau.



Tunggak itu, menurut Cole, adalah gandingan pertahanan West Ham, kemudian midfield yang dianggotai pemain England, Declan Rice dan Republic Czech, Tomáš Soucek serta tenaga penggempur Michail Antonio dan Jarrod Bowen.



Namun, gandingan bek tengah, Hammers itu kini berdepan dengan risiko setelah salah seorang pemainnya, Kurt Zouma, dilanda kontroversi.



Menyusuli video yang tular di mana pemain asal Perancis itu menyepak dan menendang kucingnya, beberapa penaja West Ham telah menarik diri. Pemain itu sendiri juga melihat kontrak tajaannya dibatalkan Adidas.



Moyes juga berdepan dengan kritikan hebat apabila menurunkan pemain tersebut dalam perlawanan menentang Watford.



"Pemain itu telah meminta maaf... saya dan pihak pengurusan kelab tidak menyokong perbuatannya tapi kami juga mempunyai tanggungjawab ke atas kelab ini, iaitu untuk melakukan tugas kami dan memastikan kemenangan West Ham," ujar Moyes, semasa diminta mengulas.



Cole berpendapat sekiranya Zouma digantung daripada beraksi, ia adalah satu tamparan bagi West Ham.



Menurut beliau, potensi pemain itu semasa di Chelsea, tidak pernah dipertikaikan meskipun beliau gagal mempamerkannya secara konsisten ketika itu.



Namun, bersama West Ham, Zouma telah menunjukkan kebolehannya yang sebenar.



"Ia adalah satu kehilangan besar, tapi saya rasa West Ham mempunyai cukup pemain berkualiti untuk masuk dan mengisi kekosongan itu," kata Cole lagi.



Moyes masih enggan memastikan sama ada beliau akan terus menamakan pemain itu dalam skuadnya menentang Leicester.



"Kami fokus, Leicester ialah pasukan yang hebat dengan pengurus yang bijak. Mereka sedang kecewa sekarang dengan kekalahan mengejut minggu lalu, jadi kami harus berwaspada, dan memastikan kami tidak menjadi mangsa mereka mengatasi kekecewaan itu," ujar beliau.



Rodgers pula akur dengan kemantapan pasukan pimpinan Moyes, dan tidak merasakan kehilangan satu, dua pemain akan menjejas terlalu banyak pasukan Hammers itu.



"Mereka telah menunjukkan konsistensi yang hebat musim ini dan musim lalu. Nampaknya, David (Moyes) telah menemui formula ajaib kemaraan West Ham. Kami harus mendapatkan semula formula konsistensi itu bermula dengan perlawanan ini.



"Kami bermain di depan penyokong sendiri, ramai yang telah menyaksikan dan rasa begitu kecewa dengan kekalahan kami dalam Piala FA minggu lalu. Cara kami melepaskan piala yang kami menangi musim lalu adalah sesuatu yang amat menghampakan dan peluang untuk pemain menebus diri mereka ialah dalam 90 minit di padang nanti," tegas Rodgers lagi.



Heskey bagaimanapun berpendapat ia memerlukan satu usaha 'menakjubkan' daripada Leicester untuk mereka menebus kekecewaan kekalahan di tangan Forest itu.



Namun, beliau akur, pasukan Foxes itu telah menunjukkan mereka mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan.



"Itu yang menjadi kemarahan para penyokong kerana mereka telah melihat pasukan mereka bermain dengan cemerlang sekali, dan kemudian mereka juga melihat persembahan seperti minggu lalu," keluh Heskey, yang mewakili Leicester sebanyak 154 kali sepanjang musim 1994 hingga 2000, sebelum menyertai Liverpool.



Cole juga berkata, meskipun beliau merasakan West Ham mempunyai kelebihan, sukar untuk meramalkan keputusan perlawanan ini.



"Seperti yang kita telah lihat, Leicester mampu bermain di tahap yang tinggi sekali dengan pemain seperti James Maddison, Jamie Vardy, Harvey Barnes dan Youri Tielemans.



"Tapi, saya rasa momentum menyebelahi West Ham. Dan dengan Leicester bermain di padang sendiri dan perlu menyerang, saya rasa ia adalah perlawanan yang sesuai bagi West Ham.



"Moyes akan menyiapkan pemainnya dengan teliti, seperti mana yang kita tahu beliau akan lakukan, untuk mengambil kesempatan keadaan sedemikian dengan serangan balas kilat," kata Cole lagi. - Agensi berita.




"Mereka telah menunjukkan konsistensi yang hebat musim ini dan musim lalu. Nampaknya, David (Moyes) telah menemui formula ajaib kemaraan West Ham. Kami harus mendapatkan semula formula konsistensi itu bermula dengan perlawanan ini."

- Pengurus Leicester, Brendan Rodgers.




"Kami fokus, Leicester ialah pasukan yang hebat dengan pengurus yang bijak. Mereka sedang kecewa sekarang dengan kekalahan mengejut minggu lalu, jadi kami harus berwaspada, dan memastikan kami tidak menjadi mangsa mereka mengatasi kekecewaan itu.''

- Pegurus West Ham United, David Moyes.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >