Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Wakaf Masyarakat S’pura penuhi keperluan sosioagama Muslim untuk jangka panjang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wakaf Masyarakat S’pura penuhi keperluan sosioagama Muslim untuk jangka panjang

Baru-baru ini, Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) telah dipinda untuk memberi kuasa kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menubuhkan wakaf. Ini akan membentuk asas perundangan bagi penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS). Berita Harian (BH) mengupas isu tersebut.
Feb 24, 2024 | 05:30 AM



Dalam tempoh 30 tahun akan datang, beberapa masjid dan madrasah di Singapura akan menghadapi pembaharuan pajakan tanah dan memerlukan perbelanjaan modal yang besar melebihi apa yang boleh disediakan oleh Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) serta derma orang ramai.

Dalam hal ini, mekanisme pembiayaan jangka panjang yang lebih mampan dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura amat diperlukan untuk memastikan institusi agama Islam tidak hilang dan terbengkalai.

Bagi mengatasi masalah ini lebih awal, Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) telah dibentuk pada Jun 2020. Pindaan ke atas Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) pada 5 Februari lalu di Parlimen telah memberi kuasa kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menubuhkan wakaf.

“Kita perlu mencipta dan mengurus sumber kewangan yang mampan untuk menyokong pembangunan sosial dan agama jangka panjang masyarakat.

“WMS akan membolehkan lebih ramai individu mewariskan aset mereka untuk generasi akan datang dan untuk masyarakat Islam kita kekal berdikari dari segi kewangan dan mampu menangani keperluan dan cabaran masa depan,” kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Parlimen pada 5 Februari bagi membentangkan usul pindaan Amla – bertujuan menubuhkan satu dana wakaf masyarakat baru bagi Muslim Singapura. Usul ini diluluskan Parlimen pada hari yang sama selepas beberapa jam dibahaskan oleh para Anggota Parlimen.

Dalam ucapannya, Encik Masagos berkongsi bahawa tujuan WMS adalah untuk membiayai keperluan masa depan masyarakat Islam Singapura dan institusinya dengan cara yang mampan.

“WMS adalah unik kerana ia akan menjadi wakaf pelbagai aset pertama yang diwujudkan oleh Muis di mana sumbangan sukarela daripada semua anggota masyarakat Islam Singapura boleh diterima.

“Semua ahli sama ada anda kaya atau miskin, anda boleh melakukannya. Ini boleh dilakukan dalam bentuk wang tunai, harta atau pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

“Dari masa ke masa, apabila kutipan berterusan, WMS akan melengkapkan dana-dana masyarakat lain seperti MBMF dan zakat,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Beliau berkata peranan dan fungsi WMS berbeza daripada wakaf tradisional.

Dalam wakaf tradisional, individu Muslim menderma wang tunai atau harta mereka untuk tujuan kebajikan tertentu selepas kematian mereka.

Orang yang menderma, yang dipanggil wakif, meninggalkan hartanya, yang kemudiannya diuruskan oleh pemegang amanah atau mutawalli yang dilantik.


Di bawah WMS, individu boleh menyumbang secara sukarela dalam bentuk wang tunai, harta atau pencalonan CPF yang kemudiannya akan dikumpulkan dan digunakan oleh Muis untuk tujuan kolektif seperti pembaharuan pajakan dan penyelenggaraan masjid, pembangunan asatizah serta program kemasyarakatan lain.

Masjid dan madrasah di Singapura kini kekurangan pembiayaan jangka panjang yang mampan untuk pajakan dan pembaharuan tanah dalam tempoh 30 tahun akan datang, kata Encik Masagos.

Di Singapura, tanah yang diperuntukkan untuk tempat ibadah dikehendaki dijual pada nilai pasaran saksama (FMV), melalui proses tender yang kompetitif di mana tawaran tertinggi yang boleh diterima menjadi harga tanah untuk tapak tertentu.

Bagaimanapun, tanah yang dikhaskan untuk pembangunan masjid diberi milik kepada Muis tanpa bidaan dan dijual pada harga yang lebih rendah, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw),

Walaupun begitu, Encik Masagos berkata, lebih daripada $20 juta masih diperlukan untuk pembaharuan pajakan tanah dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“WMS akan membolehkan masyarakat bersedia awal untuk keperluan yang semakin meningkat ini dengan memanfaatkan sumber kolektif kita di sini dan sekarang, dan bukannya perlu mencari dana untuk memenuhi keperluan yang sangat besar hanya apabila tiba masanya.

“Oleh itu, WMS akan melengkapi peranan MBMF sedia ada untuk menyokong perbelanjaan modal yang besar yang diperlukan untuk membiayai pelbagai pembaharuan pajakan tanah, pembangunan semula dan naik taraf, serta untuk pembangunan masjid baru,” kata Encik Masagos.

Beberapa penganalisis dan pemerhati yang ditanya Berita Harian (BH) menerima baik pembentukan WMS.


Peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata masyarakat Islam mempunyai banyak keperluan besar, justeru perlu mengumpulkan dana endowmen bagi keperluan masa hadapan.

“Masyarakat Islam Singapura ada banyak keperluan dari segi pendidikan, agama dan sosial. Jadi, kita harus berdikari agar tidak perlu meminta daripada pemerintah.

“Dulu hanya yang punyai hartanah dan yang mewah sahaja boleh buat wakaf. Kita sekarang tidak dengar lagi tentang wakaf hartanah kerana harganya terlalu tinggi.

“Tapi dengan adanya satu kumpulan dana, semua orang boleh membuat wakaf, bukan sahaja orang kaya dan orang yang berada,” kata Encik Abdul Rohim.

Penganalisis kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, mengalu-alukan pembentukan WMS kerana ia membolehkan bukan sahaja orang kaya, tetapi juga rakyat Singapura bergaji sederhana untuk menyumbang dan menjadi sebahagian daripada usaha pembinaan warisan negara.

“WMS adalah lambang kehidupan bermasyarakat, oleh itu ia membawa manfaat kolektif untuk masyarakat Melayu/Islam, tidak kira sama ada seseorang tertentu mempunyai kemampuan kewangan untuk menyumbang kepada WMS.

“Jika orang berpendapatan rendah ingin menyumbang, mereka boleh berbuat demikian mengikut kemampuan kewangan mereka. Yang penting bukan sekadar jumlah sumbangan, sebaliknya ialah semangat menjadi sebahagian daripada inisiatif murni yang boleh memberi manfaat kepada semua orang dalam masyarakat,” kata Dr Mustafa.

Beliau juga mencadangkan agar Muis mencipta dua pendekatan kepada WMS bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat.

Pendekatan pertama adalah untuk menggalak sesiapa sahaja untuk menyumbang tanpa mengira kemampuan kewangan mereka, dan pendekatan kedua menyasarkan individu yang lebih kaya dan institusi yang lebih besar untuk menyumbang dengan cara yang mampan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >