Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Perpaduan sosial, rancangan jangka panjang, politik stabil perlu bagi S’pura kekal relevan, terus maju

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perpaduan sosial, rancangan jangka panjang, politik stabil perlu bagi S’pura kekal relevan, terus maju

May 01, 2024 | 05:02 PM



Perpaduan sosial, perancangan jangka panjang, dan kestabilan politik serta kepercayaan akan menjadi kunci penting bagi Singapura kekal relevan dalam tahun-tahun mendatang di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Berucap di Rapat Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei, Encik Lee berkata perikatan tiga pihak –iaitu kerjasama antara kesatuan, majikan dengan pemerintah – telah memainkan peranan penting dalam kisah kejayaan Singapura, dengan membantu membina ekonomi negara, mengharungi krisis yang melanda dan mempertingkat kehidupan pekerja.

Namun, dengan masa depan yang dipenuhi ketidaktentuan, kerjasama tiga pihak itu akan perlu kekal relevan dan kreatif dalam menangani cabaran yang datang seperti ketegangan dan persaingan meningkat antara kuasa besar, sikap menolak globalisasi dan fahaman perlindungan, kemajuan teknologi dan perubahan iklim, serta ketidakpastian mengenai peperangan dan perdamaian.

“Rakyat Singapura juga bimbang. Malah, saya akan bimbang sekiranya rakyat Singapura mengambil ringan masa depan, dan senang hati menganggap semuanya akan berjalan lancar dan baik.

“Sebagai negara kecil dan terbuka, kita tidak akan dapat elak daripada terperangkap oleh kuasa luar yang kuat dan arus geopolitik. Masyarakat kita yang pelbagai menjadikan kita mudah terjejas kepada apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun syukur, berbanding kebanyakan negara lain, kita tidak berada dalam keadaan yang teruk.

“Tetapi, kita perlu terus memberi tumpuan pada pembangunan negara, dan memanfaatkan kekuatan kita sepenuhnya. Dunia telah berubah, dan kita mesti memberikan respons yang dikemas kini dan kreatif, tetapi ada beberapa kebenaran sukar yang tidak berubah,” kata beliau kepada hampir 1,700 ketua kesatuan, rakan tiga pihak dan tetamu dalam Rapat Hari Pekerja yang diadakan di Pusat Expo dan Konvensyen Marina Bay Sands.







Berhubung perpaduan sosial, Encik Lee berkata Singapura perlu terus memberikan tumpuan pada keharmonian kaum dan agama dan juga peka tentang perpecahan lain yang boleh berlaku dalam masyarakat.

Meskipun usaha besar telah dilakukan untuk membina identiti rakyat bersama, dan untuk hidup serta bekerjasama secara harmoni sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama berdasarkan meritokrasi dan peluang saksama, Encik Lee berkata Singapura sentiasa terdedah kepada kuasa luar yang cuba memecah belahkan masyarakat.

Di samping itu, Singapura juga tidak boleh menolak kepelbagaian akar etnik dan pertalian agama - rakyat Cina Singapura dengan China, rakyat India Singapura dengan India, dan rakyat Melayu Singapura dengan rantau ini, dan ummah Islam sedunia.

Kemudian, terdapat potensi perpecahan lain, seperti antara mereka yang “berada” dan “tidak”, antara warga negara “kelahiran Singapura” dan “naturalisasi”, dan antara generasi “semasa” dan “masa depan”.

“Justeru, kita mesti terus bekerja keras untuk mengatasi tekanan dan ketegangan sosial, memperluaskan ruang yang dikongsi bersama, dan memperkukuh identiti rakyat Singapura bersama kita.

“Identiti ini tidak statik. Ia tidak boleh (statik). Ia berkembang dan berubah dengan masa. Kita perlu membimbing evolusi itu, sebaik mungkin, secara sensitif dan bertimbang rasa,” kata beliau.

Itu sebabnya pemerintah, kata Encik Lee, mengumumkan keputusan membenarkan jururawat Islam memakai tudung semasa bertugas dan memansuhkan Seksyen 377A, dengan mengusahakan kompromi praktikal, mengambil kedudukan yang lebih mampan dan jangka panjang, sementara memupuk persefahaman bersama dan penerimaan terhadap perbezaan.

Encik Lee turut menekankan kepentingan perancangan jangka panjang, sambil berkata pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sentiasa merancang dan bertindak untuk jangka panjang dengan sengaja dan sistematik.

Beliau memberi contoh pembangunan di sekitar kawasan Marina Bay yang makan masa lebih 20 tahun dibangunkan – kini merangkumi Resort Bersepadu Marina Bay Sands, Gardens by the Bay, Bendungan Marina dan Kolam Air Marina. Projek masa depan yang sedang diusahakan sekarang pula termasuk pembangunan pelabuhan mega di Tuas dan Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi.

“Ini mesti selamanya menjadi pemikiran kita - berfikiran jangka panjang, mengusahakannya dengan kesabaran dan keazaman, dan membina kekuatan yang berkekalan untuk Singapura, melangkaui generasi kita sendiri, untuk 50, 100 tahun akan datang,” kata beliau.

Bagi memastikan perancangan jangka panjang sedemikian dapat dilaksanakan, Encik Lee berkata perlu adanya kestabilan politik dan kepercayaan, dan adalah amat penting bagi politik negara ini berada dalam jalan yang betul.

Beliau menjelaskan bahawa sistem negara ini tidak perlu gagal secara langsung bagi Singapura menghadapi masalah; bahkan, jika ia sekadar menjadi sebuah negara yang “biasa-biasa” sahaja, “kita sudah dalam masalah serius”.

Apatah lagi jika sistem negara gagal berfungsi dan dilanda populisme, kesukuan atau nativisme, atau tertumpu pada keuntungan jangka pendek, seperti beberapa negara lain, Singapura tentu sekali akan “tenggelam”, tambah beliau.

“Oleh itu, penting bagi kita semua menjunjung etos luar biasa dan kecemerlangan ini; penting bagi kita mengekalkan kestabilan politik.

“Sistem kita akan berkembang mengikut masa. Tetapi ia perlu berkembang dalam cara yang terus memenuhi kepentingan Singapura. Itu memberi kita peluang terbaik untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk Singapura,” kata Encik Lee. – IRMA KAMARUDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >