Menilai dan menyemak data merupakan asam garam dalam pekerjaan DSP1 Nor Raida Mohamed Noor.
Apa tidaknya, sebagai Penganalisis Intel Kanan (Analitik Taktikal) bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), adalah tanggungjawabnya untuk menilai, meneliti dan merungkaikan data agar ia memberi gambaran trend semasa dan yang mungkin bakal berlaku demi memperkukuh benteng keselamatan sempadan Singapura.
Pegawai berusia 40 tahun itu menjelaskan: “Pekerjaan semasa saya... memerlukan saya untuk menganalisis data dan mengkaji trend dengan tujuan mengesan barangan terlarang dan memberkas pelancong yang tidak diingini.”
Beliau berkongsi bahawa dalam satu kes, menerusi hasil rungkaian data, pasukannya dapat membantu Lembaga Taman Negara (NParks) mematahkan sindiket penyeludupan anak-anak anjing melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada Julai 2023.
DSP1 Nor Raida akur peranannya penting, memandangkan maklumat dan data yang terungkai olehnya membantu pegawai ICA di pusat pemeriksaan “mengenal pasti barangan, orang dan pengangkutan berisiko” untuk membuat susulan seterusnya.
Ini termasuk carian kenderaan lebih intensif atau menemu bual suspek agar perlindungan sempadan lebih berkesan.
Sebelum pelibatannya sebagai penganalisis data di ICA, DSP1 Nor Raida menyatakan beliau merupakan penjawat pinjaman bersama Pusat bagi Keselamatan Perlindungan (CPS) polis.
Beliau ditugaskan sebagai Pengurus Pembangunan Sistem Bersepadu Mengesan Ancaman Daripada Orang (Topsis) – iaitu program penilaian ancaman – dari Mei 2021 hingga Mei 2023 dalam Kumpulan Teras Topsis sebelum kembali ke ICA.
Ini memandangkan sebelum merangkul jawatan di CPS polis, beliau merupakan pelatih bebas dan telah melaksanakan latihan Topsis bagi pegawai ICA sedia ada ketika ditugaskan di Domain Laut ICA
Semasa menyandang jawatan sebagai Pengurus Pembangunan Topsis, beliau terlibat dalam pelaksanaan latihan dan khidmat perundingan Topsis kepada jabatan Home Team dan agensi barisan hadapan, tambahnya.
Beliau membimbing badan-badan berminat dengan menggunakan Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Topsis yang dibangunkan CPS polis.
“Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Topsis terdiri daripada empat fasa iaitu Penerokaan, Perancangan, Pelaksanaan dan Pengekalan dengan pelan tindakan yang jelas,” katanya.
Justeru dengan pengalaman sedemikian, ia telah mendedahkannya kepada aspek pekerjaan lebih luas.
“Peranan semasa saya... serupa dengan peranan di Domain Laut ICA tetapi skop pekerjaan saya telah diperluaskan bagi meliputi pusat pemeriksaan udara, darat dan laut.
“Ia menarik kerana saya dapat mengetahui data dan menyelongkar kaitan antara kes-kes,” ujarnya.