Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Mufti: Asatizah main peranan penting sumbang pemahaman segar cari huraian

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mufti: Asatizah main peranan penting sumbang pemahaman segar cari huraian

Ini bagi bantu masyarakat tangani pelbagai isu
hari ini dan hari muka yang kian rumit, katanya
di majlis Hari Raya bersama asatizah
May 04, 2024 | 05:39 PM



Generasi pemimpin agama hari ini memainkan peranan amat penting menyumbang pemahaman segar dan mencari jalan penyelesaian baik untuk menangani masalah baru, bagi membangunkan dan memperkasa ketamadunan ilmu di Singapura, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Ini dapat membantu masyarakat menangani pelbagai isu hari ini dan hari muka yang kian rumit, kata beliau.

Dr Nazirudin berkata demikian semasa membentangkan empat strategi utama bagi kepimpinan agama dalam kalangan asatizah di Singapura menyusun langkah mempersiap diri bagi kerumitan akan datang dalam ucaptamanya di satu majlis Hari Raya bersama 400 asatizah.

Majlis anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu berlangsung di HomeTeam NS Khatib pada 3 Mei.

Dr Nazirudin berkata dunia kini sedang menghadapi pelbagai cabaran yang amat rumit lagi berkait, dengan ia tidak melibatkan hanya satu aspek, satu perspektif atau satu pendapat sahaja.

Ini termasuk dalam soal kehidupan sosial dan kekeluargaan, perubahan iklim, gangguan teknologi dan isu geopolitik.

“Keputusan yang diambil akan meninggalkan pelbagai kesan, sama ada dalam tempoh yang singkat mahupun bagi jangka masa lebih panjang.


“Situasi ini menjadi lebih merunsingkan dalam konteks dunia kita yang lebih terbuka, banyak suara dan pelbagai pandangan awam. Masing-masing dengan perspektif yang berbeza, seringkali bercanggah antara satu sama lain,” ujar Dr Nazirudin.


Ini juga telah menimbulkan lebih banyak ketegangan dan menyebabkan perpecahan.


Justeru, peranan kepimpinan agama dalam kalangan asatizah di Singapura menjadi semakin penting.

“Di Singapura, kita melaksanakan segala usaha yang dirasakan perlu untuk membimbing masyarakat kita.


“Sebagai asatizah, sebagai pemimpin agama bagi masyarakat, tiada ruang untuk kita gagal menghargai dan memahami kerumitan serta keterikatan isu-isu semasa dengan konteks dan waqi’ yang kita hadapi,” kata beliau.

Dalam menangani cabaran hari ini dan masa depan, Dr Nazirudin berkata asatizah bertanggungjawab membangunkan dan memperkasa ketamadunan ilmu, dengan menyumbang pemahaman segar dan mencari huraian yang baik.

“Hubungan kita dengan turath Islami (warisan Islam) adalah hubungan yang membina, mengupaya dan memperkaya, bukan yang melemahkan atau memincangkan kita dari mengatasi cabaran kita sendiri.

“Antara tanggungjawab asas kita sebagai golongan intelek agamawan adalah untuk menterjemah prinsip dan nilai syariah yang terkandung dalam nas agama untuk mencari panduan bagi permasalahan hari ini dan hari muka,” ujarnya.


Dr Nazirudin berkata asatizah juga perlu menitikberatkan kesenian proses penggubalan hukum-hakam, membincangkan sesuatu isu menjangkau syarat dan rukun dengan memberi tumpuan kepada persoalan maqasid (tujuan atau makna yang dikehendaki syarak) dan hikmah yang tersirat dalam perintah agama.


Menarik perhatian kepimpinan agama yang terdahulu di Singapura yang berpandangan jauh, beliau berkata mereka telah menilai isu masa depan untuk mencari huraian.

Ini seperti isu keterbatasan air dan juga kesan pemanasan global, dengan terhasilnya fatwa NEWater pada 2001 dan fatwa daging kultur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa baru-baru ini.

Pejabat Mufti juga telah melancarkan program Makmal Fatwa pada Februari 2024 untuk membincangkan isu teknologi makanan, kewangan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perubatan.

Dr Nazirudin turut mengumumkan tiga zamil baru Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang mengkaji isu sosio-agama iaitu Ustaz Dr Qusairy Taha, Ustaz Dr Afif Pasuni dan Ustaz Kamal Mokhtar.

Dalam mempersiap diri bagi menangani cabaran hari ini dan masa depan, beliau berkata asatizah juga perlu memperkukuh lagi kerohanian dan ketakwaan, khusus dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah membimbing masyarakat.

Mereka perlu berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam berbincang mencari huraian bersama.

Selain itu, beliau menekankan bahawa peranan asatizah sebagai pendidik dan du’at (golongan pendakwah) dalam membimbing masyarakat amat penting sekali dan mereka wajib menanamkan semangat serta sikap menghargai, mencintai dan menyokong ilmu sebagai asas bagi amalan agama serta kejayaan dalam kehidupan masyarakat.


Asatizah juga berperanan menangkis persepsi dan pemahaman yang silap atau cetek, yang tidak berlandaskan pemahaman yang betul dan mendalam ketika membahaskan isu-isu yang rumit, lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial hari ini di mana banyak maklumat palsu dan salah disebarkan, tambah Dr Nazirudin.

“Setiap isu yang kita hadapi para asatizah sekalian perlu ditangani dengan saksama dan dengan penuh adil dan telus.


“Jangan pula dalam kita memberi jawapan serta respons, kita bersikap tergopoh-gapah kerana kita ingin menjadi champion ataupun menunjukkan kitalah yang pertama memberi komentar mengenai isu yang dilontarkan, sehingga kita hilang pertimbangan serta hikmah kita sebagai pemimpin agama,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >