Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Iktibar wakaf galak buat perancangan awal untuk keluarga

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Iktibar wakaf galak buat perancangan awal untuk keluarga

Mar 23, 2024 | 05:30 AM



Terdapat banyak iktibar yang boleh diambil daripada penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Wakaf itu dilancar secara rasmi pada 2024 dan orang ramai boleh mula memberi sumbangan bagi menyokong pelbagai keperluan masyarakat Islam di Singapura pada masa hadapan.

Ia bukan tertumpu kepada orang kaya sahaja, malah individu bergaji sederhana juga boleh menyumbang.

Peruntukan kos di bawah WMS dijangka amat tinggi, lantas memerlukan dana lebih besar dan mapan, melebihi dana semasa seperti zakat, Wakaf Ilmu, Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) dan derma masjid.

Ia merangkumi kos pembaharuan pajakan tanah bagi masjid-masjid dan madrasah tempatan, kos peningkatan institusi agama dan menyokong pembangunan asatizah.

Lebih $20 juta dijangka diperlukan dalam tempoh 30 tahun akan datang untuk membiayai pembaharuan pajakan tanah masjid dan madrasah di Singapura.

Lebih $250 juta juga dijangka diperlukan bagi membangunkan sektor asatizah tempatan, terutama bagi meningkatkan prospek kerjaya mereka dan membangunkan kemahiran mereka pada jangka panjang.

Dana WMS juga bertujuan menyediakan ‘dana hari hujan’ terhadap krisis, seperti Covid-19 yang datang mendadak dan menjejas kehidupan masyarakat Melayu/Islam Singapura, di samping menampung kos program kemasyarakatan.

Usaha menubuhkan WMS menunjukkan peri penting perancangan awal bagi jangka panjang agar institusi dan sektor agama Singapura disokong dengan baik dan tidak pudar ditelan masa.

Ia tidak boleh dibiarkan menjadi satu masalah yang diserahkan kepada generasi masa depan untuk menyelesaikannya.

Ketika itu, mungkin sudah terlambat dan masyarakat kita tidak berdaya menyediakan dana besar yang diperlukan dalam masa singkat.

Kita juga tidak boleh mengharapkan orang lain atau negara lain membantu tatkala menghadapi krisis.

Banyak pelajaran yang boleh kita raih daripada usaha penubuhan WMS ini.

Ia mencerminkan usaha untuk bersiap sedia dan membuat perancangan awal agar tidak cemas apabila tiba masa menggunakan dana bagi keperluan masyarakat.

Ia juga memberi peluang kepada masyarakat Islam Singapura menggunakan 2024 untuk mula membuat perancangan awal bagi diri sendiri dan keluarga mereka, seandainya langkah serupa itu belum dibuat.

Ini sebagai jaringan andainya berlaku perkara yang tidak dijangka pada diri atau ketua keluarga semasa tidak lagi dapat bekerja, hilang daya ingatan, mengalami kecederaan ataupun kehilangan nyawa.

Sebagai ayah atau ibu, sudahkah kita membuat persediaan untuk menampung kos pendidikan dan keperluan anak kita pada masa hadapan?

Bagaimana pula sekiranya kita sudah tiada lagi? Sudahkah kita membuat persediaan supaya anak dan ahli keluarga terus mendapat sokongan yang diperlukan?

Justeru, soal perancangan dan celik wang mesti bermula awal dari rumah, baik bagi keperluan harian yang kecil mahupun keperluan besar yang memerlukan dana lebih tinggi.

Perbincangan bagaimana kita ingin meningkatkan wang simpanan dan harta, dan bagaimana melindungi diri dan keluarga sekiranya perkara yang tidak diingini datang menimpa, harus diadakan.

Soal peninggalan harta dan pusaka bukan khusus bagi orang yang berada sahaja. Ia juga penting bagi keluarga berpendapatan sederhana membincangkannya.

Ini termasuk langkah melindungi diri dan ahli keluarga daripada kos perubatan dan bil hospital yang tinggi sekiranya musibah menimpa.

Ia merangkumi langkah seperti membeli insurans hayat, insurans kesihatan ataupun endowmen bagi keluarga.

Untuk pastikan keperluan kita dijaga seandainya kita hilang upaya atau kapasiti mental untuk membuat keputusan tentang kesihatan diri, penting juga bagi individu membuat surat kuasa berkekalan (LPA).

Sekiranya kita tiada lagi dan ingin memastikan wang dan harta peninggalan diagihkan kepada mereka yang berhak memilikinya, penting bagi kita membuat pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta wasiat, dan sebagainya.

Pendeknya, usaha mengukuhkan masyarakat Islam Singapura pada masa kini dan masa hadapan bermula dari rumah, mulai sekarang, dan setiap individu harus memainkan peranan.

Setelah institusi keluarga kukuh, barulah kita boleh menumpukan perhatian dan usaha mengukuhkan institusi agama dan masyarakat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >