Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

29 pemandu ditahan bagi kesalahan trafik dalam operasi 6 minggu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

29 pemandu ditahan bagi kesalahan trafik dalam operasi 6 minggu

May 01, 2024 | 05:11 PM



Seramai 29 pemandu ditangkap bagi pelbagai kesalahan lalu lintas, dengan hampir 1,400 kesalahan trafik dikesan menyusuli operasi penguatkuasaan selama enam minggu oleh Polis Trafik.

Operasi itu, yang berlangsung antara 12 Mac dengan 17 April, dijalankan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan sering dikesan pemandu yang melanggar peraturan trafik, kata Polis Trafik menerusi satu kenyataan pada 1 Mei.

Mereka menambah bahawa saman telah dikeluarkan bagi kesalahan lalu lintas yang termasuk memandu melebihi had kelajuan, menggunakan alat komunikasi mudah alih semasa memandu, serta memandu dengan cuai.

“Kebanyakan tangkapan yang dibuat adalah bagi kesalahan memandu tanpa lesen memandu dan insurans yang sah,” kata Polis Trafik, sambil menambah bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan.

Antara mereka yang ditangkap ialah seorang penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun yang disyaki terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah dan memiliki senjata.

Siasatan polis terhadap 29 orang yang ditahan, sedang dijalankan.

Di bawah Akta Trafik Jalan Raya, mereka yang didapati bersalah memandu laju boleh didenda hingga $1,000, dipenjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh didenda hingga $2,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menggunakan alat komunikasi mudah alih semasa memandu boleh didenda hingga $1,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kededuanya.

Pesalah berulang pula boleh didenda hingga $2,000, dipenjara hingga 12 bulan, atau kededuanya.

Mereka yang memandu tanpa berhati-hati atau pertimbangan yang munasabah, boleh didenda sehingga $1,500, penjara sehingga enam bulan, atau kededuanya sekali.


Jika disabit kesalahan dua kali atau lebih, pemandu boleh didenda sehingga $3,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kededuanya sekali.


Mereka juga boleh hilang kelayakan memandu semua jenis kenderaan.


Bagi mereka yang memandu tanpa lesen memandu yang sah, mereka boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kededuanya bagi kesalahan pertama.

Kenderaan itu juga boleh dirampas.

Mereka yang gagal berada di lorong kiri di bawah Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya, akan didenda $100 untuk kenderaan ringan dan $150 untuk kenderaan berat.


Di bawah Akta Kenderaan Bermotor (Risiko dan Pampasan Pihak Ketiga), mereka yang menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans boleh didenda hingga $1,000, dipenjara hingga tiga bulan, atau kededuanya.


Selain operasi penguatkuasaan, Polis Trafik berkata mereka turut berusaha meningkatkan kesedaran kepada hampir 1,000 pejalan kaki di kawasan yang sering terdapat pejalan kaki yang menyeberangi jalan raya sembarangan.

Usaha itu bertujuan menyampaikan kepada mereka nasihat berhubung keselamatan jalan raya seperti menggunakan lintasan pejalan kaki yang betul untuk menyeberang jalan raya.

Komander Polis Trafik, Penolong Pesuruhjaya Polis Kanan Daniel Tan, berkata:

“Polis Trafik memandang serius terhadap pengguna jalan raya yang sengaja melanggar peraturan lalu lintas dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan ke atas sesiapa sahaja.

“Kami akan meneruskan usaha penguatkuasaan kami. Saya menggesa semua orang supaya mematuhi peraturan jalan raya, demi memastikan jalan raya selamat bagi semua orang.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >