Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

INTERVIU BH DENGAN SETIAUSAHA PARLIMEN CIK RAHAYU MAHZAM

Perluas bimbingan bagi bantu belia teroka peluang kerjaya

Mar 27, 2022 | 05:30 AM



LEBIH banyak peluang pementoran bagi golongan belia perlu dibangunkan dan diperkukuhkan bagi membantu mereka meneroka peluang kerjaya yang ada selain menunjukkan kepada para belia bahawa mereka juga boleh mencapai kecemerlangan tidak kira daripada apa jua latar belakang, tekan Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



Menurutnya, adalah penting untuk pelajar didedahkan kepada peluang pekerjaan dalam sektor-sektor yang sedang berkembang terutama sekali sedang ekonomi melalui perubahan sekarang akibat pandemik Covid-19.



"Ada sektor yang dahulunya maju tetapi sekarang sudah berkurangan. Ada juga sektor seperti teknologi dan jagaan kesihatan yang semakin berkembang.



"Justeru bagaimana kita boleh pastikan anak-anak kita mempunyai kemampuan dan sumber untuk mencapai apa yang mereka ingini?



"Ini dapat dilaksanakan dengan mempertingkatkan usaha pementoran," kata Cik Rahayu.



Beliau berkata demikian semasa sesi dialog khas bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, yang turut dihadiri Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.



Lebih 1,000 mentor telah dipadankan dengan 4,000 mentee sejak 2019.



Mengulas, Cik Rahayu berkata program itu pada dasarnya, adalah satu landasan untuk membuka ruang dan minda anak-anak muda tentang peluang yang sedia ada, kemampuan mereka sendiri serta masyarakat sekeliling.



"Pada awalnya, apa yang kita lihat adalah tentu sekali, kita mahu membina tahap keyakinan mentee misalnya dalam aspek persekolahan selain memberi mereka sedikit pemahaman tentang sektor yang mungkin boleh mereka terokai," ujar Cik Rahayu.



Tetapi lebih daripada itu, tujuan pementoran ini juga untuk mengenal pasti keperluan tertentu yang diperlukan mentee.



"Daripada situlah, ia menjadi satu saluran untuk kita memberikan bantuan kepada mereka dan mereka dapat juga diperkasakan dengan cara yang lebih menyeluruh," tambah Cik Rahayu.



Di samping itu, menerusi pementoran itu juga, ia membawa para mentee membina satu ekosistem pementoran yang dapat membantu lebih ramai orang.



Namun, kata Cik Rahayu, yang bertanggungjawab ke atas bidang tumpuan ketiga M³ iaitu pemerkasaan dan bimbingan belia, pihaknya mempunyai matlamat untuk menambah lagi 600 mentor bagi pelbagai program mentor yang dilaksanakan.



Ini termasuk pementoran bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), M3 di Bandar dan juga bagi pelajar daripada institut pengajian tinggi.



"Dalam kehidupan kita, mesti ada seorang yang telah memberitahu kita sesuatu yang telah merubah trajektori kehidupan kita sehingga kita terbuka mata untuk mencuba sesuatu.



" Jadi sebenarnya, ini organik. Kita hanya mahu membawa mereka kepada sesuatu yang lebih berstruktur agar setiap anak muda, anak Melayu kita, berpeluang mendapatkan akses kepada bantuan dan sokongan ini.



"Justeru, saya menggalakkan semua, dari latar belakang yang berbeza untuk tampil menjadi mentor meski anda rasa diri anda tidak berjaya kerana tanpa anda sedari, anda mempunyai ilmu dan kemampuan untuk mengongsi ilmu anda itu kepada mereka yang mungkin masih lagi baru bertapak dalam bidang tertentu," katanya Cik Rahayu.



Akur, Dr Maliki menggesa mentor yang bekerja di syarikat swasta akan memberi peluang kepada mentee yang menuntut di ITE atau politeknika untuk mengikut mereka ke kerja atau "job shadowing" semasa cuti sekolah.



"Proses pementoran bukan setakat berjumpa seminggu sekali sahaja tapi kita harus melihat mentor sebagai seseorang yang boleh memberi peluang kepada anak-anak muda kita meluaskan pemikiran mereka, meluaskan pandangan mereka, meluaskan konsep 'world view' atau pandangan mereka mengenai dunia serta apa yang tersedia bagi masa depan mereka," kata Dr Maliki.




PASTIKAN ANAK BERKEMAMPUAN CAPAI APA DIINGINI



"Ada sektor yang dahulunya maju tetapi sekarang sudah berkurangan. Ada juga sektor seperti teknologi dan jagaan kesihatan yang semakin berkembang.

Justeru bagaimana kita boleh pastikan anak-anak kita mempunyai kemampuan dan sumber untuk mencapai apa yang mereka ingini?

Ini dapat dilaksanakan dengan mempertingkatkan usaha pementoran."

- Cik Rahayu Mahzam.







SOAL JAWAB BERSAMA CIK RAHAYU MAHZAM



Soalan: Cik Rahayu, antara inisiatif yang turut diperkenalkan adalah #EmpoweredAtITE. Boleh Cik Rahayu terangkan lebih lanjut?



Jawapan: Sebenarnya, ini adalah satu peningkatan daripada program sedia ada di ITE.



Kita mahu lihat bagaimana kita boleh menambah elemen lain seperti bimbingan kerjaya buat pelajar.



Kini terdapat Care Advisors di Ruang Belia di ITE dan pusat satelit di Mendaki.



Ini membolehkan mereka mempunyai akses langsung untuk bertanyakan tentang kerjaya mereka, serta program yang boleh mereka sertai.



Kita juga ingin memberikan mereka pendedahan kepada aspek-aspek yang lebih menyeluruh termasuk sektor-sektor yang sedang membangun. Dan ini akan dilaksanakan menerusi seminar, webinar dan ceramah.



Soalan: Satu lagi ialah biasiswa baru yang telah diperkenalkan iaitu biasiswa GIC-Mendaki atau biasiswa bersama antara syarikat berkaitan pemerintah dengan Mendaki. Sejauh mana tahap prestij biasiswa ini?



Jawapan: Sektor kewangan adalah satu sektor yang amat pesat berkembang dan kita tidak mahu anak-anak Melayu kita terlepas peluang atau ketinggalan dalam arus ini.



Biasiswa ini juga amat berprestij, dan sama tarafnya dengan prestij Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC).



Jadi saya rasa, ini dapat memberikan semangat kepada anak-anak muda kita.



Selain merangkumi aspek yuran, biasiswa ini turut menawarkan peluang penerima keluar negeri untuk program pertukaran.



Penerima juga akan diikat dengan bon selama selama tiga tahun, sekali gus memberi jaminan pekerjaan dan pengkhususan kepada sektor ini.



Jadi, ini kita harap lebih ramai anak Melayu kita mahu masuk ke dalam sektor kewangan ini dan terus memperkasakan kemampuan masyarakat kita dalam sektor ini.



Soalan: Apakah harapan Cik Rahayu untuk para belia kita?



Jawapan: Sememangnya, ini adalah satu golongan di mana kita penuh harapan dan kita ingin melihat mereka maju lebih baik daripada generasi yang lalu.



Jadi, kita harap yang kita dapat membuat satu ekosistem di mana ada jalinan sokongan dan mereka tidak rasa kesendirian dalam hal ini.



Memang kita tahu yang ini adalah masa-masa yang mungkin sukar bagi mereka, cabaran yang baru timbul dan banyak yang perlu difikirkan.



Tetapi, saya harap mereka sedar adanya sokongan.



Saya juga berharap sesiapa juga yang dapat memberi bantuan, agar sama-sama 'turun padang'. Orang kata 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Kalau kita boleh melakukannya bersama, Insya-Allah kita dapat melihat kemajuan pada generasi akan datang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >