Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penting bersikap telus jalankan amanah ibadah korban

May 29, 2023 | 05:30 AM



PENYEDIA khidmat korban di sini kian menawarkan pelbagai promosi di tengah-tengah persaingan yang lebih sengit menjelang Aidiladha ini.

Sejak tempoh pandemik Covid-19 yang lalu, jumlah organisasi, syarikat swasta serta individu yang mengendalikan khidmat ibadah korban di luar negara semakin meningkat bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, menambahkan lagi kemeriahan industri tersebut.

Demikian menurut beberapa penyedia khidmat ibadah korban setempat yang dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.


Tinjauan akhbar ini mendapati, pakej ibadah korban di luar negara yang ditawarkan merangkumi negara-negara di rantau Asia, Afrika dan Timur Tengah dan harga purata bagi seekor kambing sekitar $130 hingga $200. 

Meskipun begitu, penyedia yang mapan mahupun baru, menekankan kepentingan dalam ketelusan untuk memastikan setiap pelanggan tahu akan ke mana wang mereka disalurkan.







KHIDMAT KORBAN SEMAKIN BERKEMBANG

Seperti sebelum ini, penyedia khidmat korban yang dihubungi berkata mereka menjangkakan masyarakat Islam setempat akan terus memberi sokongan kukuh bagi ibadah korban di luar negara dengan pelbagai pilihan yang ada.

Pengasas syarikat QurbanNow SG, Encik Farehan Hussein memberitahu akhbar ini bahawa peningkatan jumlah penyedia khidmat korban setempat mungkin disebabkan permintaan tinggi dan sambutan baik daripada masyarakat Muslim Singapura, yang ingin menjalankan ibadah korban di luar negara termasuk di Indonesia, Kemboja, Syria, Turkey hingga sejauh Uganda. 

Beliau yang menubuhkan syarikatnya pada 2020, berpendapat tidak semua penyedia khidmat korban mahu melibatkan diri dalam urusan ini kerana ingin meraih keuntungan besar. Oleh itu, ada yang menawarkan harga yang agak berpatutan. 

“Harga saya kekal berpatutan selama bertahun-tahun, kerana saya percaya mereka yang sepatutnya mendapat manfaat daripada ini ialah orang-orang yang kami bantu di tempat di mana kami menjalankan ibadah korban ini.

“Tentunya kami juga akan pastikan sohibul korban juga mendapat kadar yang terbaik. Jika penyedia khidmat yang meraih banyak keuntungan, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

“Jadi bagi saya, saya ingin memastikan pelanggan saya mendapat perkhidmatan yang terbaik dan pada masa yang sama penerima bantuan di negara yang kami jalankan ibadah korban ini turut mendapat manfaat,” kata beliau yang menawarkan pakej ibadah korban di negara-negara Afrika seperti Uganda, Zambia dan Ghana. 

Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar turut mengalu-alukan ‘persaingan sihat’ antara penyedia khidmat korban di sini. 

Menurut beliau, perluasan pengedaran daging korban ke tempat-tempat yang lebih memerlukan  “adalah satu kebajikan yang sangat digalakkan”.

“Pada pengamatan saya rakyat Singapura memang berhati besar untuk melakukan kerja-kerja bakti sosial seperti ini mentelah lagi ini merupakan satu ibadah syariat yang jelas.”

Menurut Ustaz Dr Leyaket Ali, yang memiliki ladang di Jawa Tengah, Indonesia, sendiri telah menerima beberapa tawaran kerjasama untuk melakukan ibadah korban di negara-negara lain, selain Indonesia, seperti di Kemboja dan Afrika.

Walau bagaimanapun, Ustaz Dr Leyaket Ali yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bidang ini, tidak menceburinya kerana beliau berpendapat ianya ‘memerlukan konsentrasi dan kefahaman yang menyeluruh (terutama dalam pengetahuan Islam tentang udhiyah atau penyembelihan), bukan setakat bekerjasama’.

PELUANG LUASKAN SALURAN BANTUAN DALAM DAN LUAR NEGARA

Rata-rata mereka yang dihubungi akhbar ini berkata mereka memanfaatkan peluang mengadakan khidmat ibadah korban di luar negara kerana ini meluaskan lagi bantuan yang diberikan kepada masyarakat, yang lebih memerlukan bukan sahaja di dalam negara, malah di negara-negara yang kurang mampu.

Pakej yang ditawarkan ini turut merangkumi agihan daging korban kepada golongan yang memerlukan, termasuk mereka yang berada di luar negara.

Encik Farehan, yang juga mengendalikan syarikat jual beli kereta, Gynacarlogist, berkata bahawa menyedia khidmat korban ini memberi beliau peluang meneroka aspek usaha bantuan kemanusian.

“Menerusi syarikat QurbanNow SG ini, ia juga membantu saya keluar dari zon selesa saya, selain membuka mata saya tentang bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh masyarakat yang memerlukan di Afrika,” kongsi beliau.

Meski ramai penyedia khidmat korban menyalurkan bantuan dan agihan daging korban kepada golongan yang kurang bernasib baik di luar negara, Encik Faiz Roslan sebaliknya mahu menumpukan perhatian membantu mereka yang berada di Singapura.

Pengarah F-Fry, perusahaan sosial bagi pekerja migran berpendapatan rendah, berkata golongan ini kadang kala dipinggirkan.

“Pekerja migran di sini telah banyak berjasa dalam membantu membangunkan negara kita dan oleh itu wajar kita menunjukkan penghargaan kita dengan memberikan mereka sedikit sumbangan.

“Justeru, perusahaan kami, dengan kerjasama Al-Qaswa Travel & Tours, menjalankan kempen korban bertujuan untuk menyediakan daging kambing korban yang berkualiti tinggi dari Australia, untuk pekerja migran kita.

“Pakej kami ini memberi peluang kepada sohibul korban untuk menyumbang sepertiga daripada daging korban mereka kepada golongan pekerja migran,” kata Encik Faiz yang telah menawarkan pakej ini sejak pandemik Covid-19 bermula.

Pakej daging korban – yang telah disembelih di Australia dan dibekukan sebelum dihantar ke sini – yang ditawarkan F-Fry dan Al-Qaswa Travel & Tours berharga sekitar $335.

PENTING BERSIKAP TELUS

Dalam mengendalikan ibadah korban di luar negara, sikap telus dari penyedia khidmat dalam menjalankan amanah amat penting.

Ustaz Dr Leyaket Ali menekankan bahawa setiap penyedia khidmat korban ini perlu bertanggungjawab dalam memberi perincian tentang proses ibadah korban.

“Syarikat atau organisasi yang mengelolakan khidmat ibadah korban harus betul-betul tahu dan terlibat dalam setiap proses, bermula dengan memastikan haiwan tersebut layak untuk disembelih, disembelih dengan cara yang betul dan agihan yang mereka sendiri jalankan.

“Ianya bukan setakat para sohibul korban menerima gambar atau diberitahu dari pihak negara yang bersangkutan tentang apa yang sedang berlaku,” kata beliau.

Bersependapat, pengarah Al-Qaswa Travel & Tours, Encik Lee Eddie Farihin berkata ketelusan yang diberikan kepada pelanggan, amat penting terutamanya dalam melaksanakan tanggungjawab yang berkaitan dengan ibadah.

Menjalin kepercayaan dengan para pelanggan mereka juga merupakan sesuatu yang mereka utamakan, lebih-lebih lagi ibadah korban yang mereka lakukan di Australia tidak membenarkan mereka menghantar gambar mahupun video kepada pelanggan yang menempah pakej bersama mereka.

“Sebagai sebuah syarikat yang memberi khidmat, kita perlu sentiasa berpegang kepada amanah untuk melaksanakan apa sahaja tugas, dari ibadah korban hingga ke wakaf dan juga Umrah.

“Saya rasa itu juga cara anda mewujudkan kredibiliti dengan pelanggan anda, untuk menyampaikan seperti yang dijanjikan dan sentiasa bersikap jujur tidak kira dalam apa keadaan sekalipun,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >