Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MOM: Kadar pemeriksaan, audit keselamatan syarikat industri risiko tinggi akan dinaikkan 50%

Aug 28, 2023 | 08:00 PM



Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan meningkatkan kadar pemeriksaan dan audit sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang bagi mengekalkan kewaspadaan dalam industri berisiko tinggi seperti industri pembinaan dan pengilangan.

Ketika menjalankan pemeriksaan keselamatan pada Isnin di 35 Gilstead Road, Pengarah Divisyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MOM, Encik Silas Sng, berkata pihak bertanggungjawab akan didenda jika syarikat didapati melakukan kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pemeriksaan keselamatan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah dipertingkat selepas Singapura keluar dari Tempoh Keselamatan Dipertingkat (HSP) pada 31 Mei.

HSP yang berkuat kuasa selama sembilan bulan bertujuan menangani peningkatan kadar kematian di tempat kerja.

“Selain dikenakan tindakan penguatkuasaan biasa seperti denda dan Perintah Hentikan Kerja (SWO), syarikat yang melakukan kesalahan serius akan dikehendaki menjalankan audit ke atas sistem pengurusan mereka.

“Kami telah mengekalkan usaha penguatkuasaan kami untuk mengekalkan kewaspadaan dalam industri berisiko tinggi seperti pembinaan dan pengilangan,” kata Encik Sng, yang juga Pesuruhjaya Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).

Beliau berkata siasatan ke atas kejadian di tempat kerja mendedahkan tidak banyak syarikat yang memikul tanggungjawab terhadap keselamatan di tempat kerja.

Di tapak kerja untuk 35 Gilstead Road, sebuah pembangunan kondominium 70 unit berhampiran Stesen MRT Newton, pegawai MOM menunjukkan beberapa kesalahan kepada pihak media.

Ini termasuk tangga tanpa pemegangnya dan aci lif yang tidak disekat.

Penghalang untuk mengelak pekerja daripada jatuh dari bangunan juga tidak didapati di beberapa tempat.

Terdapat juga objek seperti papan yang ditinggalkan di lantai atau pada platform perancah yang menimbulkan risiko jatuh bagi pekerja, kata MOM.

Kontraktor kondominium itu, Trinity Construction Development, telah dikeluarkan SWO yang berkuat kuasa serta-merta.

Pegawai MOM akan memaklumkan kepada kontraktor itu tentang langkah pembetulan yang perlu dibuat pada hari-hari mendatang.

Kerja pembinaan hanya boleh disambung semula di tapak kerja selepas pemeriksaan susulan oleh MOM.

Menurut perangkaan MOM, kadar kematian di tempat kerja bagi setiap 100,000 pekerja turun daripada 1.5 bagi Januari hingga Ogos 2022 (sebelum HSP) kepada 0.8 bagi September 2022 hingga Mei 2023.

Kadar kecederaan maut bagi industri pembuatan telah bertambah buruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini, melebihi industri pembinaan – yang biasanya mencatatkan angka insiden tertinggi.

Untuk mengukuhkan lagi kewaspadaan di tempat kerja, satu sistem mata demerit akan diperkenalkan ke atas industri pengilangan. Sistem ini sudah pun digunakan dalam industri pembinaan.

Di bawah sistem itu, syarikat yang mengumpul terlalu banyak mata demerit akan dilarang buat sementara waktu daripada menggaji pekerja asing baru antara tiga bulan dengan dua tahun.

Di samping itu, pengarah lembaga atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat dalam industri berisiko tinggi dikehendaki menghadiri Program Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja (WSH) mulai 1 September.

Melalui program itu, pengarah lembaga dan CEO syarikat boleh lebih memahami tanggungjawab WSH mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >