Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS

Masjid An-Nur bangga sistem kariah yang diperkenalkan masih relevan

Pengerusi dan pegawai kanan kariah perjelas peranan utama konsep yang bertujuan menjadi jambatan penghubung antara masjid dengan masyarakat
May 02, 2023 | 05:30 AM



MASJID An-Nur berasa berbesar hati dan berbangga sistem kariah yang dimulakan oleh masjid pada 1986 masih mempunyai peranan, berfungsi dan relevan dalam pembangunan masyarakat Islam setempat.



Sistem kariah di bawah naungan masjid diperkenalkan oleh mantan pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) An-Nur, yang juga mantan Presiden Mahkamah Syariah, Allahyarham Haji Abu Bakar Hashim.



Ia bertujuan mendekatkan masjid kepada penduduk di kejiranan Marsiling dan Woodlands ketika itu, khususnya, serta menyediakan aktiviti keagamaan yang diperlukan penduduk di kejiranan.



Bercakap kepada Berita Harian dalam satu interviu yang diatur khas menyusuli laporan mengenai kerjasama dan persefahaman antara beberapa kumpulan kariah dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengadakan solat tarawih di kolong blok baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur, Encik Juraiman Rahim, berkata:



"Pertamanya, saya ingin melahirkan rasa bangga sistem kariah yang dirintis Masjid An-Nur pada 1986 masih mempunyai peranan, berfungsi dan relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.



"Saya ingin menjelaskan bahawa peranan dan fungsi sistem kariah masjid tetap sama - selain daripada idea asal untuk membangkitkan semangat gotong-royong seperti di kampung tetapi dalam suasana kehidupan di kejiranan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) - malah ia boleh dikembangkan lagi."



Beliau menambah, sistem kariah berperanan sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dengan masjid, terutama golongan warga emas dan kurang upaya yang menghadapi kesukaran untuk ke masjid.



"Ia berbentuk dua hala. Ini bermakna masyarakat Islam akan diberitahu oleh pengerusi dan ketua-ketua kariah apa saja yang berlaku di masjid dan mereka akan diajak menyertai program-program anjuran masjid, baik keagamaan, kebajikan mahupun kemasyarakatan.



"Pada masa yang sama, pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah berperanan menyalurkan maklumat kepada masjid tentang keperluan mereka," terang beliau.



Selain itu, Encik Juraiman berkata fungsi sistem kariah yang tidak kurang penting adalah menjadi sumber dana masjid hasil kegiatan keagamaan yang dianjurkan di kariah, seperti solat tarawih dan Hari Raya di kolong blok atau dewan serbaguna dan kelas agama yang tenaga pengajarnya disediakan pihak masjid; membekalkan tenaga sukarelawan bagi menjayakan kegiatan masjid; dan sumber tenaga pelapis bagi pemimpin dan asatizah masjid pada masa depan.



Di samping kegiatan keagamaan, masjid juga mengadakan kegiatan kebajikan dan sosial seperti khidmat kaunseling, guaman, kesihatan dan mengelak jenayah serta menjauhi dadah.



Mengulas peranan sistem kariah sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dengan masjid, Pengerusi Kariah Pusat Masjid An-Nur, yang juga setiausaha LPM itu, Encik Sulaiman Sardi, berkata ketua-ketua kariah juga memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' masjid.



"Antara tugas mereka adalah memantau apa juga keperluan dan kegiatan di kariah dan melaporkan kepada masjid sebagai penaung.



"Contohnya, jika sesebuah kariah mengadakan syarahan agama atau solat di kolong blok atau dewan serbaguna dan menghadapi kekurangan dari segi logistik seperti tikar dan peralatan audio, beliau boleh meminjamnya daripada masjid.



"Masjid pula akan menyediakan penceramah, biasanya imam masjid, contohnya Drs Ustaz Ahmad Dahri, ketika beliau berkhidmat di Masjid An-Nur.



"Imam-imam masjid ini pula akan menjadi 'duta' masjid yang menghubungkan masjid dengan penduduk di kariah," kata Encik Sulaiman.



Menerangkan antara kegiatan yang pernah dilakukannya, Encik Ali Esa, yang berpengalaman 35 tahun sebagai Pengerusi Kariah 7 yang meliputi Blok 167 hingga Blok 179, antara Woodlands Street 11 dengan Woodlands Street 13, berkata pengumpulan dana menjadi antara tugas penting kariah untuk masjid.



"Ketika sistem kariah mula-mula diperkenalkan dulu oleh Allahyarhan Haji Abu Bakar, antara langkah utamanya adalah memperkukuh dana masjid.



"Beliau telah memanggil ketua-ketua kariah untuk membantu mengadakan kegiatan bagi menambah dana masjid, antaranya mengadakan syarahan dari stadium ke stadium di serata Singapura.



"Malah, Masjid An-Nur, dengan kerjasama kariahnya, menjadi masjid pertama mengadakan program dakwah besar-besaran dengan mengadakan Forum Perdana di Suntec City dan Stadium Tertutup Singapura di mana kami berjaya mengumpulkan sekitar $160,000 bagi kededua cara itu yang disalurkan ke dana masjid," tambah Encik Ali, yang juga Penasihat Kelab Warga Emas Masjid An-Nur.



Bagi Encik Salim Ahmad, Pengerusi Kariah 15 (dari Blok 891 hingga Blok 899 Woodlands Drive 50), yang juga penolong bendahari dan imam sambilan masjid, sebagai ketua kariahnya, yang terletak sekitar 2.5 km dari masjid, beliau perlu menyediakan kemudahan bagi penduduk di situ menunaikan solat berjemaah pada musim-musim perayaan seperti solat tarawih dan Aidilfitri serta Aidiladha selain menyampaikan maklumat kegiatan masjid.



"Penduduk kariah yang terdiri daripada warga tua, orang kurang upaya dan yang sibuk bekerja memerlukan kemudahan seperti ini. Lokasi masjid agak jauh, jadi mungkin sukar bagi mereka untuk ke sana.



"Jadi jika solat tarawih dapat dilakukan di kolong blok, mudah bagi mereka sama-sama menunaikannya," ujar beliau.



Selain itu, Encik Salim menerangkan bahawa acara seperti itu dapat dijadikan wadah untuk mencungkil bakat muda menjadi muazin dan imam masjid.



"Ramai imam dan bilal Masjid An-Nur seperti Ustaz Hidayat Ismail, Ustaz Nor Muhammad Ali dan Ustaz Muhammad Sadid Abd Latiff dicungkil daripada peringkat kariah.



"Saya sendiri mula dipanggil menjadi imam tarawih di Kariah 15 pada 1996 sebelum dijemput menjadi muazin masjid pada 1997 dan seterusnya menjadi imam.



"Kariah juga menjadi pembekal tenaga pelapis pegawai dan pemimpin masjid pada masa depan selain menjadi pembekal tenaga sukarelawan bagi kegiatan seperti acara korban semasa Hari Raya Aidiladha," kata Encik Salim.



Pendek kata, tambah beliau lagi, sistem kariah dapat membantu mengembangkan potensi bakat dan golongan muda untuk berkhidmat dalam banyak cabang khidmat yang disediakan di masjid.



"Derma serta sumbangan penduduk di kariah juga dapat dipanjangkan untuk pelbagai kegunaan yang luas dalam kegiatan dakwah dan kebajikan di masjid.



"Jadi mereka akan berasa puas sumbangan mereka, walaupun di peringkat kariah, akan dapat benar-benar dimanfaatkan dalam perspektif yang lebih luas," ujar beliau.




PERANAN DAN FUNGSI KARIAH BOLEH DIKEMBANGKAN LAGI



"Pertamanya, saya ingin melahirkan rasa bangga sistem kariah yang dirintis Masjid An-Nur pada 1986 masih mempunyai peranan, berfungsi dan relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.
Saya ingin menjelaskan bahawa peranan dan fungsi sistem kariah masjid tetap sama - selain daripada idea asal untuk membangkitkan semangat gotong-royong seperti di kampung tetapi dalam suasana kehidupan di kejiranan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) - malah ia boleh dikembangkan lagi."



HARAPAN KE ATAS SISTEM KARIAH DALAM PEMBANGUNAN UMAT



"Saya harap sistem kariah ini tetap bergerak dan peranannya dapat dikembangkan lagi dengan jalinan kerjasama dengan pihak kepimpinan akar umbi seperti di balai rakyat dan rangkaian Muis, Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) atau M Kuasa Tiga (M3).
Saya harap hubungan mesra antara masjid dengan penduduk tetap kuat, sekali gus mengembangkan lagi kegiatan keagamaan, kemasyarakatan dan sosial untuk masyarakat.



Harapan saya memang tinggi untuk melihat kariah kita dapat terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura."



- Encik Juraiman Rahim, Pengerusi Eksekutif Masjid An-Nur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >