Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kadar penipuan di S’pura naik 64.5% separuh pertama 2023; $334.5j lesap

Sep 13, 2023 | 04:00 PM



Jenayah penipuan, atau ‘scam’, semakin meningkat dan merupakan jenis jenayah siber terbesar di Singapura.

Kes penipuan yang dilaporkan dari Januari hingga Jun 2023 membentuk 91.1 peratus daripada 24,525 kes jenayah siber. Bilangan penipuan yang dicatatkan dalam tempoh tersebut ialah 22,339 – naik 64.5 peratus berbanding 13,576 dalam tempoh yang sama pada 2022.

Nilai keseluruhan yang dilaporkan daripada penipuan itu ialah $334.5 juta, turun 2.2 peratus daripada $342.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Golongan dewasa muda berumur 20 hingga 39 tahun – yang juga pengguna kerap media sosial, aplikasi pengiriman mesej dan platform beli-belah – membentuk lebih separuh daripada jumlah mangsa penipuan.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa membentangkan perangkaan jenayah pertengahan tahun dalam satu sidang media pada Isnin.

SPF juga mengumumkan bahawa lima jenis penipuan yang paling banyak berlaku pada separuh pertama 2023 ialah penipuan pekerjaan, e-dagang, panggilan rakan palsu, pancingan data dan pelaburan. Ini membentuk 83.8 peratus daripada keseluruhan kes penipuan yang dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Penipuan pekerjaan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 5,737 kes dilaporkan, dan nilai yang dilaporkan ditipu ialah $79.4 juta.

Sementara itu, penipuan penyamaran pegawai pemerintah mencatatkan nilai wang terbesar ditipu iaitu kira-kira $116,000, diikuti penipuan pelaburan sekitar $60,000.

Terdapat lebih 750 kes penipuan perisian hasad dan jumlah yang ditipu ialah sekurang-kurangnya $10 juta.

“SPF akan terus meningkatkan usaha dan bekerjasama rapat dengan agensi serta pihak berkepentingan sektor swasta untuk mengukuhkan langkah campur tangan bagi mencegah kerugian mangsa,” kata polis.

Menurut polis, lima kaedah pendekatan yang digunakan oleh penipu ialah melalui platform pengiriman mesej, media sosial, panggilan telefon, platform beli-belah dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pada separuh pertama 2023, 29.4 peratus kes penipuan melibatkan penipu menghubungi mangsa melalui platform-platform pengiriman mesej berbanding 23.6 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu, dengan kira-kira 70.5 peratus daripada kes melalui WhatsApp dan 24.1 peratus melalui Telegram.

Selain itu, pada separuh pertama 2023, sebanyak 24 peratus kes penipuan melibatkan perhubungan melalui media sosial berbanding dengan 28.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, dengan kira-kira 68.4 peratus daripada kes di Facebook, dan 23.3 peratus di Instagram.

Dalam usaha menangani kes penipuan, polis berkata: “Pada separuh pertama 2023, Pasukan Anti-Penipuan (ASCom) telah membekukan lebih 9,000 akaun bank berdasarkan laporan yang dirujuk kepada Pusat Anti-Penipuan (ASC) dan berjaya mengembalikan semula kira-kira $50.8 juta.”

Memandang serius peningkatan dalam jumlah kes penipuan yang berlaku saban tahun, polis berkata orang ramai harus mempunyai kesedaran dan pendidikan bagi mencegah diri daripada penipuan.

“Di samping itu, perniagaan pengendali, terutamanya bank, pasaran dalam talian dan syarikat telekomunikasi, mempunyai tanggungjawab untuk mencegah jenayah yang dilakukan melalui platform mereka,” kata polis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >