Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Gaji sebenar di S’pura catat kenaikan tipis

Peningkatan 0.4% pada 2022, lebih rendah berbanding 1.6 peratus pada 2021
May 29, 2023 | 05:16 PM



GAJI keseluruhan yang dinaikkan pihak majikan adalah yang terbanyak dalam sedekad pada 2022 disebabkan pasaran pekerja yang ketat, namun inflasi tinggi menyebabkan jumlah kenaikan gaji sebenar adalah lebih rendah berbanding 2021.

Gaji nominal, yang tidak mengambil kira inflasi, melonjak 6.5 peratus pada 2022, meningkat daripada 3.9 peratus pada 2021, menurut perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Isnin.

Bagaimanapun, inflasi tinggi bermakna jumlah gaji sebenar meningkat hanya 0.4 peratus, lebih rendah daripada 1.6 peratus yang dicatatkan pada 2021 dan paling rendah sejak 2012.

Pada 2022, inflasi utama mencecah 6.1 peratus, lebih tinggi daripada 2.3 peratus pada 2021.

Selain itu, gaji asas sebenar yang tidak termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) majikan, merosot buat kali pertama sejak 2012, jatuh sebanyak 1 peratus.

MOM berkata gaji nominal dan pertumbuhan gaji sebenar dijangka tumbuh dengan sederhana pada 2023 kerana firma-firma berkemungkinan mengambil pendekatan terhadap kenaikan gaji dengan berhati-hati.

Ini di sebalik kelembapan ekonomi global dan persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

Pada 2022, hampir 82 peratus pekerja menerima kenaikan gaji berbanding hanya di bawah 70 peratus pada 2021.

Menurut laporan The Straits Times, hampir tiga perempat majikan memberikan kenaikan gaji pada 2022 berbanding enam daripada 10 pada 2021 dan sekitar tujuh daripada 10 pada 2019.


Ia menyusuli jumlah majikan yang berkembang, iaitu lebih lapan daripada 10, yang menjana keuntungan bagi tahun kedua berturut-turut.

Pihak majikan yang memotong gaji pekerja adalah 5.2 peratus iaitu jumlah kecil, dengan baki 22.6 peratus tidak mengubah jumlah gaji.

Majikan yang menaikkan gaji memberikan peningkatan lebih besar pada 2022 secara purata iaitu 7.9 peratus berbanding 6.3 peratus pada 2021.

Kadar pemotongan gaji juga lebih kecil berbanding 2021 bagi firma-firma yang berbuat demikian, dengan pemotongan gaji purata sebanyak 4.5 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2021.

MOM berkata semua industri mengalami pertumbuhan gaji yang lebih tinggi pada 2022 berbanding 2021.

“Bagaimanapun, magnitud peningkatan adalah berbeza-beza merentas industri.

“Penginapan dan perdagangan runcit mencatatkan kenaikan gaji melebihi purata (masing-masing sebanyak 9.7 peratus dan 6.7 peratus) oleh kerana firma-firma dalam industri sedemikian menaikkan gaji untuk memikat dan mengekalkan pekerja di sebalik pemulihan kukuh dalam permintaan pelancongan,” jelas kementerian itu.

Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay, berkata dalam satu catatan di profil LinkedIn menyatakan bahawa lebih banyak perniagaan “menunjukkan prestasi lebih baik dan... menikmati kenaikan gaji lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum ini”.

“Walaupun positif, kita berhadapan dengan cabaran berkembar iaitu prospek tidak seimbang dan tidak menentu serta inflasi tinggi,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >