Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ustaz Sallim terus berdakwah didorong rasa tanggungjawab, seronok tengok orang jadi baik

Mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah masih terus mengajar di masjid serata S'pura walau sudah bersara, cecah usia 78 tahun
May 07, 2023 | 05:30 AM



"SAYA dididik dengan pengajaran agama dan di antara ajarannya adalah berdakwah."



Didorong pegangan itu dan rasa bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada orang tidak tahu agar mereka dapat menjadi Muslim yang baik dan hidup dalam masyarakat yang aman dan sentosa, Ustaz Sallim Jasman, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, masih terus memberi kuliah agama di beberapa masjid di serata Singapura.



Ini walaupun beliau sudah bersara daripada jawatan itu pada 2006 dan menjalani pembedahan untuk memasukkan alat perentak jantung pada awal 2017.



"Berdakwah ini tujuannya adalah untuk mengajak orang menjadi orang yang baik, menjadi orang yang bertatatertib, berakhlak dan boleh bercampur dengan masyarakat," jelas Ustaz Sallim, yang turut masih menjadi anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan anggota Masyaikh Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas).



"(Ia) bukan setakat menjadikan orang yang beribadah kepada Allah swt dan inilah yang hendak ditekankan oleh kebanyakan asatizah di Singapura dan di mana pun."



Meskipun sudah mencecah usia 78 tahun, beliau masih menggagahkan diri menyampaikan kuliah duha di Masjid Al Iman, Masjid Assyafaah serta Masjid Al Mukminin - yang jauh dari rumahnya di kawasan Bedok - dan kuliah malam di Masjid Darul Ghufran serta Masjid Abdul Razak.



Menurut ayah lima anak dan datuk 10 cucu itu, matlamat inilah yang mendorongnya terus berdakwah.



"Dorongan ini lebih-lebih lagi bagi orang yang berilmu. Apabila kita sudah ada ilmu, wajib bagi kita memberitahu kepada orang yang tidak berilmu.



"Tujuannya agar kita dapat hidup berkawan, bersahabat, bermasyarakat dan dalam keadaan aman sentosa.



"Lagipun, saya berasa puas dapat tengok seseorang itu menjadi orang yang baik," tambah Ustaz Sallim, yang sentiasa ditemani isterinya, Cik Norilah Suja'i, 71 tahun.



Ketika dikunjungi Berita Minggu di rumahnya pada minggu pertama Hari Raya baru-baru ini, Ustaz Sallim kelihatan ramping dan sihat walaupun tangannya kirinya berbalut plaster kerana tercedera akibat terjatuh di bilik tidurnya.



Keadaan itu, bagaimanapun, tidak sedikitpun menjejas layanan mesra yang diberikan.



"Dari mana dapat kekuatan untuk terus membuat kerja dakwah ini Ustaz?"



"Tuhan yang bagi," jawab beliau ringkas sambil ketawa kecil dan tersenyum tanda syukur.



"Kekuatan itu datang secara semula jadi daripada Allah swt... (tetapi) makan kena jaga, ubat yang diberi doktor kena makan, pil vitamin pun saya makan...



"Dan, yang lebih utama jangan lupa berdoa kepada Allah swt sebab pil-pil yang kita makan belum tentu sesuai dengan sakit kita...



"Kita perlu minta kepada Allah agar apa yang kita makan itu menjadi rawatan bagi diri kita dan sebagai sokongan bagi menambah tenaga untuk membolehkan kita berdakwah seterusnya," tambah Ustaz Sallim, yang pernah menerima Anugerah Obor Ummah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) atas sumbangannya dalam pelbagai aspek dakwah pada 2018 dan Pingat Bakti Setia (1998) dalam perkhidmatan awam.



Demi kesihatannya juga, beliau membataskan kuliah malamnya hanya di dua masjid dan banyak berehat pada waktu malam.



CARA BERDAKWAH DULU DAN SEKARANG



Cara dulu dan sekarang sahaja..., kata beliau, yang mendapat pendidikan awal di madrasah kampung di Coronation Road (Kampung Tempe) sebelum meneruskannya di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan kemudian di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor.



"Cuma, bentuk dakwah sekarang ada forum dan soal jawab agama... dulu one man show... pensyarah cakap orang dengar.



"Tetapi sekarang digandingkan dua atau tiga penceramah, masing-masing keluarkan idea dengan cara penyampaian berlainan.



"Yang paling puas hati sekarang adalah kemudahan yang disediakan... dulu tak ada mikrofon, kita kena pakai mulut sahaja (bercakap dengan kuat)," terang beliau lagi sambil menambah bahawa zaman sekarang ini, terdapat juga platform digital yang boleh menyebarkan dakwah secara lebih meluas.



TREND PERNIKAHAN DULU DAN SEKARANG



Menyingkap aspek ini, beliau berkata semasa memulakan kerjayanya sebagai kadi di Mahkamah Syariah pada 1970, semua urusan pernikahan dan perceraian terletak bersebelahan.



"Ada kalanya orang yang baru hendak bernikah jadi takut apabila mendengar pasangan bergaduh di bahagian yang mengendalikan urusan kaunseling dan perceraian.



"Jadi atas permintaan masyarakat, Pejabat Pendaftar Pernikahan (ROMM) dan Mahkamah Syariah dipisahkan walaupun berada di bawah kementerian yang sama," ujar Ustaz Sallim, yang mendaki tangga kerjaya sebagai Presiden Mahkamah Syariah pada 1994 sebelum menjadi Presiden Kanan, dua tahun kemudian.



PERISTIWA DITIKAM PALING TIDAK DAPAT DILUPAKAN



Mungkin kerana tidak mahu mengenangnya, Ustaz Sallim hanya menceritakan pengalaman kurang menyenangkan pasangan yang ingin bernikah apabila mendengar suami isteri bergaduh.



Beliau juga ada menyingkap kisah seorang pengantin lelaki dipukul oleh keluarga mentua dan ipar-iparnya hingga masuk ke longkang gara-gara mas kahwin.



Namun, dalam satu temu bual dengan Berita Harian beberapa tahun lalu, Ustaz Sallim pernah menceritakan kisah beliau ditikam oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengannya pada 1977.



Menurut beliau, ketika itu lelaki tersebut meminta supaya tarikh pernikahan pada sijil nikahnya diubah kerana beliau dan isterinya berkahwin setelah isterinya melahirkan anak.



Ustaz Sallim tidak menurut kehendaknya itu kerana ia melanggar peraturan.



"Itulah yang paling saya tak dapat lupakan. Paling pahit betul," ujarnya, yang dimasukkan ke hospital selama 11 hari akibat serangan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >