Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Mungkinkah China jadi kaya dengan rentak pertumbuhan perlahan?

Jul 31, 2023 | 03:26 PM



BEIJING: China sedang memasuki era pertumbuhan ekonomi dengan rentak yang jauh lebih perlahan, menimbulkan prospek yang kelam: Ia mungkin tidak akan menjadi kaya.


Sama ada ekonomi kedua terbesar dunia itu tumbuh pada kadar 3 peratus hingga 4 peratus setiap tahun atau menurun, seperti yang dijangkakan oleh sesetengah pakar ekonomi, ia nampaknya akan mengecewakan para pemimpinnya, belianya dan dunia.

“Tidak mungkin ekonomi China akan mengatasi ekonomi Amerika Syarikat dalam satu atau dua dekad akan datang,” kata Dr Desmond Lachman, seorang zamil kanan di Institut Perusahaan Amerika.

Beliau menjangkakan pertumbuhan perlahan kepada 3 peratus, yang “terasa seperti berlaku kemelesetan ekonomi” apabila pengangguran belia sudah melebihi 20 peratus. Ini tidak baik untuk seluruh ekonomi dunia”, tambahnya.

Apabila Jepun mula tidak berkembang pada 1990-an, ia telah pun melebihi purata keluaran Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita ekonomi berpendapatan tinggi dan menghampiri paras Amerika.

China, bagaimanapun, hanya berada di atas titik pendapatan sederhana.

Pertumbuhan suku kedua sebanyak 6.3 peratus kurang memberangsangkan, memandangkan asas rendah yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 pada 2022, meningkatkan tekanan kepada pemimpin China yang dijangka bertemu bulan ini untuk membincangkan rangsangan jangka pendek dan pembaikan jangka panjang.

Data April hingga Jun meletakkan pertumbuhan 2023 di paras sekitar 5 peratus, dengan kadar lebih perlahan selepas itu.

Tetapi pertumbuhan tahunan China purata sekitar 7 peratus dekad yang lalu, dan lebih daripada 10 peratus pada era 2000-an.

Didorong oleh kehilangan momentum sedemikian, pakar ekonomi tidak lagi menganggap penggunaan isi rumah yang lemah dan pelaburan sektor swasta sebagai kesan wabak, sebaliknya menyalahkan lebih kepada masalah struktur.

Ini termasuk ledakan gelembung dalam sektor hartanah, yang menyumbang satu perempat daripada keluaran; salah satu ketidakseimbangan yang paling mendalam antara pelaburan dengan penggunaan; hutang pemerintah tempatan yang bertimbun dan cengkaman ketat Parti Komunis terhadap masyarakat, termasuk perniagaan swasta.

Dan tenaga kerja dan asas pengguna China semakin mengecil manakala kohort pesara semakin berkembang.

“Masalah demografi, ‘hard landing’ (ekonomi terus menjunam) sektor hartanah, beban hutang pemerintah tempatan yang berat, pesimisme sektor swasta serta ketegangan China-Amerika tidak membolehkan kami berpandangan optimis terhadap pertumbuhan jangka pertengahan hingga panjang,” kata Ketua ekonomi Pengurusan Aset Huatai Wang Jun.

Jalan keluar

Ketua Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) China, Zheng Shanjie, dalam artikel pada 4 Julai di majalah rasmi Qiushi, menyatakan China perlu “mempercepatkan pembinaan sistem perindustrian moden” untuk mengelak daripada terjebak dalam perangkap pendapatan sederhana.


Encik Zheng merujuk kepada perjuangan negara membangun untuk beralih daripada tahap berpendapatan sederhana kepada tinggi berikutan peningkatan kos dan kemerosotan daya saing.

Pakar ekonomi menyebut ledakan kenderaan elektrik China sebagai bukti kemajuan, tetapi kebanyakan kompleks perindustriannya tidak dinaik taraf pada kelajuan yang sama. Jualan kereta di luar negara hanya menyumbang 1.7 peratus daripada eksport.

“Ramai pemerhati akan melihat beberapa syarikat dan berkata, wow, China boleh menghasilkan semua produk hebat ini, jadi masa depan harus cerah. Soalan saya ialah: Adakah kita mempunyai cukup syarikat itu?“ kata ketua ekonomi Institut Penyelidikan Nomura Richard Koo.

Penggubal dasar pernah berkata bahawa mereka mahu penggunaan isi rumah memacu pertumbuhan tetapi mereka tidak menggariskan langkah konkrit.

Pakar ekonomi Fathom Consulting China, Encik Juan Orts berkata, meningkatkan permintaan pengguna mungkin mengalihkan sumber daripada menyokong pengeksport pengilangan, yang sebahagiannya menjelaskan keraguan terhadap pembaharuan tersebut.

China mengambil langkah sebaliknya.

Pemacuan “kemakmuran bersama” Presiden Xi Jinping terhadap ketidaksamaan telah menggalakkan pengurangan gaji dalam kewangan dan sektor lain. Kewangan bandar yang merosot mendorong kepada pemotongan gaji kakitangan awam dan sekali gus memberi kesan deflasi.

Cik Zhao, seorang pengurus di sebuah bank yang berpangkalan di Beijing, berasa beliau tidak akan menjadi kaya kerana gajinya kekal tidak berubah di sebalik beberapa kenaikan pangkat.

Justeru, beliau merancang untuk bersara pada usia 40-an dengan berpindah ke bandar yang lebih kecil dan lebih murah.

Ramai pakar ekonomi telah menggesa supaya penjagaan kesihatan awam ditingkatkan, pencen yang lebih tinggi dan faedah pengangguran serta pembinaan bangunan yang lain untuk tujuan jaringan keselamatan sosial dan memberi keyakinan kepada pengguna supaya lebih hemat berbelanja.

Penasihat bank pusat, Dr Cai Fang pada Julai menggesa rangsangan penggunaan, termasuk perubahan pada permit kediaman China, atau hukou, yang menafikan perkhidmatan awam kepada berjuta-juta pendatang luar bandar di bandar tempat mereka bekerja.

Timbalan dekan Institut Kewangan Shanghai Advanced, Encik Zhu Ning berkata, peningkatan kebajikan sosial boleh menjadikan kadar pertumbuhan 3 peratus hingga 4 peratus lebih mampan.

‘Peluang terakhir’

Encik Koo dari Nomura berkata bahawa masalah China adalah lebih mencabar berbanding Jepun segenerasi lalu, memberi ruang kepada penggubal dasar untuk melakukan kesilapan sekiranya mereka merebut “peluang terakhir” untuk mencapai taraf hidup dunia maju.

China, dalam penilaiannya, mengalami “kemelesetan penyata perakaunan”, dengan pengguna dan perniagaan membayar balik hutang dan bukannya meminjam dan melabur.

Ini, katanya, adalah bagaimana kemerosotan ekonomi bermula dan satu-satunya penawar ialah rangsangan fiskal “cepat, besar dan berterusan”, yang tidak dilihatnya akan berlaku memandangkan kebimbangan hutang China.

Selain itu, beliau berkata rangsangan mesti produktif dan dilengkapi dengan perubahan yang membolehkan sektor swasta muncul daripada bawah naungan negara, termasuk melalui hubungan yang lebih baik dengan negara-negara sumber pelaburan asing.

Tetapi China perlu berbalik arah.

Pelaburan prasarana dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menjana lebih banyak hutang daripada pertumbuhan.

Ketika ekonomi utama cuba mengurangkan pergantungan kepada China, Beijing kekal terkunci dalam telagah balas-membalas dalam perdagangan, yang terbaru mengenai logam yang digunakan dalam semikonduktor.

“Setiap kali Amerika mengumumkan beberapa dasar anti-China, pemerintah China mengeluarkan dasar yang setara. Tetapi rakyat Amerika tidak berada dalam perangkap berpendapatan sederhana. China berdepan masalah ini,” kata Encik Koo.

“Jika orang Cina tidak dapat menggapai impian China mereka, mungkin anda akan mempunyai 1.4 bilion orang yang tidak begitu gembira di sana, yang mungkin akan menjejas kestabilan.” – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >