Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Gelombang gegaran perang Gaza: Meneliti respons S’pura berteraskan keharmonian kaum dan agama

Getaran dan wawasan daripada perang di Gaza: Dari Singapura ke Karkur
Jan 05, 2024 | 08:45 PM



Singapura amat mementingkan keharmonian kaum dan agama, dan menyedari bahawa kejayaannya yang mengagumkan dalam hal itu tidak boleh diambil ringan. Usaha mengekalkan keharmonian kaum juga memerlukan sikap waspada yang berterusan.

Oleh itu, tidak hairan bahawa selepas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan tindak balas tentera Israel di Jaluran Gaza, negara itu memberi respons yang amat bijak dari segi sosiopolitik, termasuk melaksanakan beberapa langkah praktikal.

Singapura dan Israel pada asasnya wujud dalam persekitaran dan konteks yang berbeza.

Pada masa yang sama, kes Singapura boleh menawarkan kita satu cabaran intelektual.

Dalam realiti geopolitik dan berbilang budaya yang sangat mencabar, konsep keharmonian dan perpaduan sosial, dengan penekanan kepada keharmonian kaum dan agama sebagai nilai asas dan dasar bagi kewujudan negara, telah berakar umbi di Singapura.

Nilai utama ini diterjemah kepada kejayaan usaha sosiopolitik meluas, yang dipandu oleh mesej penting, seperti kepentingan toleransi, dialog, dan saling menerima dan menghormati.

Lebih-lebih lagi, sering ditekankan bahawa keamanan, ruang selamat, dan keharmonian yang dicapai di Singapura tidak harus diambil mudah.

Ini memerlukan bukan sahaja kegiatan berterusan malah sikap amat waspada di semua pihak.

Selama hampir enam dekad yang lalu, Singapura telah berjaya mengharungi situasi geopolitik dan demografi kompleks dengan bijak: sebuah negara kota kecil tanpa kedalaman strategik, terletak di wilayah majoriti Muslim, dengan Malaysia di utara dan kepulauan Indonesia yang besar di selatan.

Selain itu, kebanyakan penduduknya yang berjumlah kira-kira 6 juta (termasuk penduduk tetap, pekerja asing dan pelajar dari luar negara) berasal dari China.

Ia juga mempunyai penduduk Melayu/Islam yang agak besar, kumpulan minoriti terbesar di pulau itu, yang memiliki hubungan sejarah, budaya, etnik dan bahasa yang kukuh dengan penduduk Melayu/Islam di Malaysia.

Minoriti kedua terbesarnya adalah penduduk berasal dari India.

Singapura, yang memahami pentingnya mengekalkan kekayaan kepelbagaian budaya, sentiasa meneliti, walaupun terhadap perkembangan dan peristiwa jauh dari negaranya yang boleh menjejasnya secara negatif.

Oleh itu, tidak hairanlah, selepas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober dan kempen tentera Israel yang dilakukan serta-merta selepas itu, Singapura memberi respons yang amat bijak dari segi sosiopolitik, kerana bimbang kesan konflik itu mungkin sampai ke negara itu.

Mungkin rakyat Singapura melihat ke arah Malaysia, yang jelas menentang Israel dan secara terbuka bersimpati kepada Hamas, dan menjalin hubungan dengan kepimpinan organisasi itu.

Sebagai respons kepada perkembangan itu, pihak berkuasa Singapura menyampaikan beberapa mesej melalui beberapa saluran: pentingnya memelihara keharmonian sosial dan memastikan konflik di Timur Tengah tidak membangkitkan emosi (yang menjejas keharmonian kaum) termasuk akibat daripada maklumat palsu yang tersebar di media sosial; keharmonian dan keamanan yang dinikmati selama bertahun-tahun tidak boleh diambil ringan, dan oleh itu rakyat mesti sentiasa berwaspada dan memaklumkan pihak berkuasa mengenai kegiatan mencurigakan; politik identiti mesti dielakkan; dan undang-undang serta norma masyarakat perlu dipatuhi demi mengekalkan keharmonian.

Pada masa yang sama ketika perang Israel-Hamas meletus, Singapura mahu meneruskan apa yang disifatkan sebagai pendekatan berprinsip dan seimbang, terhadap konflik Israel-Palestin.

Justeru, Singapura – yang telah lama menikmati hubungan persahabatan yang kukuh dengan Israel, termasuk sangat menghargai peranan Israel dalam menyokong pembinaan keupayaan pertahanannya – mengeluarkan kutukan tanpa kompromi terhadap serangan kumpulan Hamas.

Serangan itu disifatkannya sebagai satu tindakan pengganasan yang melibatkan juga kekejaman melampau, dan tidak boleh dibenarkan dengan apa cara sekalipun.

Ia juga menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat, semua tebusan awam dan menegaskan hak Israel untuk mempertahankan diri.

Sungguh mengagumkan bahawa di sebalik konflik yang berterusan, Singapura baru-baru ini melantik duta residen pertamanya ke negara Israel.

Mesej yang dihantar oleh pemimpin Singapura kepada pemimpin Palestin melahirkan ucapan takziah mereka atas kehilangan nyawa orang awam Palestin, dan kebimbangan mereka terhadap krisis kemanusiaan yang meruncing di Jaluran Gaza.

Menteri Ehwal Luar Singapura, turut menyatakan bahawa “semua negara harus memastikan bahawa jika tindakan ketenteraan diambil dalam melaksanakan hak mempertahankan diri ini, mereka mesti mematuhi prinsip keperluan dan berpada” serta mesti mematuhi undang-undang perang.

Singapura juga mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember, yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan di Gaza, setelah mengundi menyokong resolusi PBB yang serupa, pada Oktober.







Selain itu, Singapura mengulangi pendirian prinsip asasnya mengenai keperluan resolusi politik bagi konflik Israel-Palestin, berdasarkan penyelesaian dua negara.

Seiring dengan itu, pihak berkuasa di Singapura mengeluarkan kenyataan yang mengandungi arahan umum untuk orang ramai.

Satu ditujukan kepada tenaga kerja asing di negara ini, yang berjumlah kira-kira 1.5 juta – termasuk hampir 1 juta dari Malaysia.

Kenyataan itu mungkin ditujukan terutamanya kepada pekerja Malaysia ini, terutamanya memandangkan ramai daripada mereka melintasi Tambak untuk ke Singapura setiap hari.

Memahami bahawa begitu banyak kematian orang awam membangkitkan emosi, pekerja asing itu digesa supaya bertenang dan memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura tidak terjejas oleh perkembangan luar.

Kenyataan itu menyebut bahawa Singapura tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk ekstremisme, keganasan, dan pengganasan; sebarang sumbangan untuk membantu mangsa konflik mesti dilakukan melalui saluran rasmi.

Rakyat juga dilarang menulis, menyiarkan atau berkongsi sebarang maklumat secara peribadi atau dalam talian, yang boleh membangkitkan emosi.

Mereka tidak boleh menyokong atau mengimport politik asing ke Singapura atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.

Mereka dilarang menyokong mana-mana organisasi pengganas, termasuk, sebagai contoh, dengan mempamerkan bendera dan poster secara terbuka.

Mereka digesa agar berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan atau orang yang mencurigakan, yang mungkin menunjukkan tanda-tanda radikalisasi.

Dalam kenyataan yang lain pula, paparan umum lambang yang berkaitan dengan perang antara Israel dengan Hamas diharamkan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa mempamerkan apa juga barangan yang membawa logo organisasi atau kumpulan militan, seperti Hamas atau sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam, adalah dilarang.

Dalam usaha lain, dalam konteks ini, demi memastikan keharmonian sosial dikekalkan, polis Singapura mengeluarkan kenyataan mengenai acara dan perhimpunan awam.

Justeru, tidak seperti kebanyakan tempat di seluruh dunia, tiada protes pro-Palestin atau anti-Israel di Singapura sejak perang meletus.







Di samping itu, Mufti Singapura menulis pada awal konflik kepada Ketua Rabai negara itu, bahawa tidak ada pewajaran atau alasan yang kuat untuk sebarang bentuk keganasan dan kekejaman ke atas orang awam, termasuk yang dilakukan oleh Hamas, atau dalam sebarang tindak balas.

Beliau juga menyuarakan harapan agar masyarakat Yahudi dan Islam di zon konflik dapat hidup bersama dalam suasana saling hormat-menghormati, penuh toleransi dan keharmonian. 

Dalam balasannya, Ketua Rabai komuniti kecil Yahudi Singapura berkata, bahawa masyarakat Yahudi menghargai dasar toleransi sifar pemerintah mengenai ucapan kebencian, kebencian agama, dan hasutan.

Beliau menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan antara masyarakat Yahudi dengan Islam, bagi melindungi dan mengekalkan fabrik masyarakat Singapura, yang merupakan contoh teladan untuk toleransi beragama.

Beliau juga melahirkan rasa simpati masyarakatnya terhadap orang awam Palestin yang tidak bersalah, yang “kehilangan nyawa dalam konflik yang tidak masuk akal ini” dan melahirkan harapan agar keamanan kekal antara Israel dengan rakyat Palestin.

Mufti juga menerbitkan kenyataan untuk membimbing umat Islam di Singapura dalam respons mereka terhadap konflik luar negara, seperti konflik berterusan antara Israel dengan Hamas.

Oleh itu, kenyataan itu dikatakan dapat membantu mereka menguruskan kesan konflik tersebut terhadap agama mereka secara “bijak, membina dan dengan cara yang positif”.

Bagaimana Singapura bertindak balas adalah bukti menarik tentang model tertentu yang telah dibangunkan berteraskan keharmonian kaum dan agama dalam kehidupan realiti berbilang budaya, yang harus difahami dalam konteks sejarah, politik, budaya serta sosial negara dan sebagai sebahagian daripada pembentukan satu identiti kebangsaan.

Usaha tersebut boleh diimbas kembali kepada bapa pengasas negara, Encik Lee Kuan Yew, termasuk ucapannya pada 9 Ogos 1965, apabila beliau mengumumkan perpisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia selepas kira-kira dua tahun menganggotainya dan mengisytiharkan kemerdekaan:

“Ini bukan negeri Melayu; ini bukan negeri Cina; ini bukan negeri India. Semua orang akan mempunyai tempat: sama rata; bahasa, budaya, agama.”

Di latar belakang kesemua ini adalah ingatan bersama, yang seolah-olah memberi amaran kepada rusuhan kaum yang ganas antara kumpulan Melayu/Islam dengan kaum Cina pada 1964.

Singapura baru-baru ini diletakkan di kedudukan tinggi di Asia Tenggara dan Selatan Asia dari segi toleransi antara agama, pluralisme, dan multikulturalisme, serta keserasian semua masyarakat beragamanya dengan budaya dan nilai-nilai negara.







Di sebalik kejayaan Singapura ini adalah usaha nasional selama berdekad-dekad yang telah diterajui oleh pemimpin negara yang menggunakan pelbagai mekanisme dan sistem, dengan kerjasama para pemimpin dan aktivis daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Antara mesej yang disampaikan oleh negara terdapat tema yang berulang di mana usaha bersama setiap rakyat adalah perlu untuk penerimaan bersama, membina keyakinan, dan dialog, kerana keharmonian sosial yang telah diusahakan oleh negara ini tidak boleh dipandang remeh dan sentiasa terdedah kepada potensi ancaman.

Penggubal undang-undang Singapura tampil membantu untuk melindungi keharmonian sosial ini dengan perundangan yang menyeluruh dan hasilnya sangat mengagumkan meskipun berdepan dengan banyak pelbagai cabaran.

Antara cabaran dalam dua dekad yang lalu ialah peningkatan global dalam radikalisasi Islam.

Namun, nampaknya di Singapura fenomena itu hanya melibatkan sebilangan kecil penduduknya.

Di samping keharmonian sosial, model Singapura sangat berkait rapat dengan asas yang dibentuk oleh Encik Lee dan legasinya, seperti kepentingan ketenteraman sosial, disiplin di pelbagai peringkat, dan meritokrasi – negara yang berasaskan pendekatan luas di mana seseorang dipilih ke jawatan yang mempunyai kuasa dan pengaruh berdasarkan kemahiran, keupayaan dan merit mereka.

Sistem ini telah mencapai banyak kejayaan.

Pada masa yang sama, nampaknya terdapat pemahaman yang semakin meningkat tentang keperluan untuk menyesuaikan pendekatan mengikut keadaan yang sentiasa berubah.

Yang pasti, ada yang berpendapat bahawa terdapat peraturan dan perundangan ketat di Singapura yang menyimpang daripada norma demokrasi Barat.

Bagaimanapun, rakyat Singapura mendapat manfaat daripada kontrak sosial tidak bertulis yang baik antara mereka dengan pemerintah, iaitu sebuah negara ditadbir urus dengan baik.

Awal tahun ini, Singapura berada di kedudukan teratas dalam indeks Good Government sejagat, yang menjejaki keberkesanan pemerintah di seluruh dunia.

Malah, Singapura membuktikan ia sangat cekap dalam pengendalian wabak Covid-19.

Mengambil pandangan yang luas tentang kebajikan rakyatnya, Singapura mempersembahkan model tadbir urus yang baik lagi mengagumkan, dengan ganjaran yang jelas.

Rakyat Singapura menikmati taraf dan mutu hidup yang tinggi serta tahap keselamatan peribadi yang sangat tinggi; sistem penjagaan kesihatan sangat maju; sistem pendidikannya berpandukan nilai pencapaian dan kecemerlangan; pihak berkuasa berpusat menyediakan penduduk dengan penyelesaian perumahan yang mencukupi; dan rakyat juga meraih manfaat daripada sistem kehakiman yang menekankan standard tertinggi kesaksamaan di sisi undang-undang.

Kesimpulannya, berhubung isu keharmonian kaum dan agama, kes Singapura memberikan model yang mengagumkan.

Paksi elemen utamanya termasuk: wawasan nasional yang dikongsi dan diutamakan; sistem nilai bersama yang memperkukuh asas negara; mesej kebangsaan yang sesuai, ditandai dengan kejelasan, keazaman, perpaduan dan ketekalan; tahap keserasian yang tinggi antara nilai masyarakat pelbagai etnik dan agama dengan nilai dan budaya kebangsaan; dan peraturan tingkah laku awam yang direka untuk memastikan wawasan dan nilai kebangsaan direalisasikan.

Tidak kurang pentingnya, di sebalik kejayaan model itu, pihak berkuasa menghantar mesej nasional yang konsisten untuk memastikan bahawa tidak ada rasa puas hati atau sombong dan menyeru agar sentiasa berwaspada.

Walaupun benar bahawa konteks Israel pada asasnya berbeza, penilaian ke atas kes Singapura boleh memberi kita cabaran intelektual – sekurang-kurangnya dari segi tingkah laku domestik kita, dan mungkin lebih banyak lagi.

Dr Giora Eliraz ialah zamil Adjung di Institut Truman di Universiti Hebrew dan zamil penyelidik di Institut Dasar Menentang Keganasan Universiti Reichman dan Forum untuk Pemikiran Serantau. Rencana ini pertama kali diterbitkan Institut Pengajian Keselamatan Dalam Negeri, Universiti Tel Aviv, Israel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >