Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Saingan sengit calon PH, PN di pilihan raya Kuala Kubu Bharu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Saingan sengit calon PH, PN di pilihan raya Kuala Kubu Bharu

May 05, 2024 | 05:30 AM



Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bersama lima negeri lain berlangsung pada 12 Ogos 2023, sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri itu, iaitu Kuala Kubu Bharu (KKB), kembali meriah dengan poster dan ceramah parti politik.

Itulah senario sepanjang tempoh kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB yang akan berlangsung pada 11 Mei ini, selepas selesai penamaan calon pada 27 April lalu. Tempoh kempen adalah selama 14 hari.

PRK KKB bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Pang Sock Tao, yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan bakal dicabar pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Encik Khairul Azhari Saut, mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mereka turut bakal menerima saingan daripada calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Cik Hafizah Zainuddin dan Cik Nyau Ke Xin, yang bertanding atas tiket Bebas.

Menelan kos sekitar RM2.5juta ($710,000), pelaksanaan PRK KKB akan membabitkan seramai 40,226 pemilih, merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Berbaki lima hari lagi sebelum tibanya hari pengundian, calon PH dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi tradisi DAP itu, walaupun awalnya calon Melayu dikatakan patut menjadi taruhan di kawasan yang 50 peratus penduduknya adalah Melayu.

Komuniti Cina pula mewakili 30 peratus, India 18 peratus dan 5 peratus pengundi lain termasuk Orang Asli.

Meskipun PN mengambil peluang di atas komposisi pengundi Melayu di KKB dengan meletakkan Encik Khairul Azhari sebagai calon, ia bukan jaminan untuk beliau menjadi pilihan sekiranya Cik Pang bijak menambat hati pengundi khususnya sepanjang tempoh kempen ini.

Malah dalam siri kempen Cik Pang seminggu ini, beliau nampak begitu disenangi pengundi yang didekati, tidak kira daripada kaum Melayu, Cina dan India.

You cantiklah. Sudah kahwin? Kerja baik-baik ya,” santun seorang peniaga wanita menjual pisang goreng yang dikunjungi Cik Pang, mantan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, semasa kempen.


Permulaan kempen Encik Khairul pula diuji dengan serangan peribadi apabila ada pihak mempertikaikan kelayakan akademiknya.

Namun anak tempatan dari Felda Sungai Tengi, KKB, itu mematahkan tuduhan dengan mengemukakan bukti transkrip serta sijil Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang diperoleh daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

PRK KKB dilihat sebagai medan untuk PH membuktikan kemampuan menarik sokongan Melayu, sementara PN pula cuba mengukuhkan sokongan pengundi Melayu.

Isu kontroversi yang mencalar sensitiviti antara kaum, agama dan institusi raja dengan yang paling panas isu stoking kalimah Allah yang dianggap mencabar umat Islam di Malaysia turut menguji dinamik Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, isu seperti pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak dan peluangnya untuk meninggalkan Penjara Kajang di Selangor lebih awal dengan menjalani hukuman tahanan di rumah, bukan saja menjadi pertikaian rakyat terbanyak, bahkan ‘menggegarkan’ hubungan antara PH dengan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Tidak kurang juga isu kejatuhan nilai ringgit, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, penamatan subsidi, peningkatan kadar beberapa jenis cukai dan bil elektrik, turut antara menjadi naskhah kempen atau ‘permainan’ pembangkang dalam meraih undi rakyat.

Memetik analisis Bendahari DAP, Dr Ong Kian Ming, yang dilaporkan media, persekitaran politik sekarang dilihat tidak memihak kepada Kerajaan Perpaduan tetapi tidak menolak keupayaan PH memenangi kerusi DUN KKB, namun mungkin dengan majoriti kecil.

Walaupun keputusan PRK KKB tidak akan memberi sebarang kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan mahupun kerajaan Selangor, namun sekiranya calon PH kalah, ia akan meninggalkan ‘parut’ kepada kerajaan.

Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, berpandangan peratusan keluar mengundi akan menjadi penentu kepada keputusan PRK KKB nanti.

Menurutnya, parti yang dapat membawa keluar lebih ramai pengundi akan memenangi kerusi DUN tersebut.

“Kerusi DUN KKB adalah pertempuran 90-80 di mana angka ini juga akan menjadi angka penting untuk PRU16 nanti.

“90 yang saya maksudkan ialah sokongan pengundi Cina terhadap PH/DAP. Itu asasnya. DAP mampu tarik 90 peratus atas dua sebab. Pertama kerana Cina memang sokong DAP, kedua kerana tiada alternatif.

“80 (peratus) pula adalah jumlah sokongan Melayu terhadap PN, termasuk di Selangor. Itu established (terbukti) pada PRN 2023. Jadi siapa yang dapat tarik 90-80 ini untuk keluar mengundi, akan menang,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap.


Pada PRU15, mendiang Lee Kee Hiong memenangi kerusi DUN KKB dengan majoriti 4,119 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu daripada PN, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PRM.

Secara umumnya, DUN KKB adalah kerusi tradisi bagi MCA sejak ia kali pertama dipertandingkan pada 1974, sebelum jatuh ke tangan DAP pada PRU13 pada 2013. Mendiang Lee berjaya memenangi kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut.

Maka, 11 Mei akan menjadi penentu pilihan rakyat KKB sama ada PH masih dapat mengekalkan kepercayaan pengundi di situ atau sebaliknya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >