Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penyanyi Irfan Haris 4 kali tukar label rakaman demi suntik kesegaran

Jun 22, 2023 | 01:03 PM



Biarpun baru berusia 22 tahun, namun penglibatannya dalam dunia seni hiburan sebagai penyanyi sudah boleh dianggap matang.

Selama lapan tahun bergelar anak seni, pemilik nama pentas Irfan Haris sudah mula meniti kerjaya sebagai penghibur selepas memasuki pertandingan Idola Kecil terbitan TV9 dan Cerita Popstar (Astro).


Tempoh tersebut turut menyaksikan kegigihan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu berusaha sendiri untuk meniti populariti dan mencipta nama sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang boleh dibanggakan, lapor laman Kosmo! Online.


Ternyata, perjalanan pemuda tinggi lampai itu tidak mudah seperti yang disangka apabila adakalanya langkah yang diatur menyebabkan dirinya hampir tersungkur.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, jauh sekali takdir, Irfan menganggap jatuh bangun seseorang anak seni itu sebagai lumrah kehidupan.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, Irfan sudah empat kali bertukar ‘rumah’. Mungkin pada pandangan mata orang lain, penyanyi itu mungkin mempunyai masalah dengan label yang menguruskan perjalanan seninya sebelum ini.

Bagaimanapun, Irfan menafikan mempunyai masalah dengan ‘majikan’ sebelumnya ekoran kerap bertukar syarikat rakaman.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan label pengurusan sebelum ini. Tujuan saya bertukar-tukar label rakaman kerana kontrak yang sudah tamat.

“Selain itu saya juga mahu pastikan lembaran kerjaya seni saya berkembang. Saya tidak mahu terlalu bersenang dalam zon selesa,” kata pemilik nama lengkap Irfan Haris Othman itu.

Tambah penyanyi dengan imej ‘kening tebal’ itu lagi, beliau juga suka bekerja dalam suasana baru untuk menimba pengalaman yang tidak pernah dimiliki sebelum ini.

“Saya gemar bekerja dalam suasana berbeza dan dengan persekitaran baru. Dengan itu saya dapat memperbaiki diri saya dengan penampilan yang lebih segar,” ujarnya yang kini berteduh di bawah syarikat rakaman EMI Music Malaysia.

Masih mengekalkan semangat yang sama, Irfan berjanji akan bekerja keras untuk melakar prestasi cemerlang dalam bidang muzik, setanding dengan penyanyi ternama sedia ada.

“Saya akan bekerja 110 peratus untuk capai tahap tertinggi yang saya inginkan. Saya akui masih belum mampu untuk berdiri sendiri.

“Jauh di sudut hati, saya juga mahu nama saya berdiri sama hebat dengan penyanyi lain seperti Ismail Izzani, Iman Troye dan Naim Daniel,” ujar lulusan Diploma Seni dan Budaya dari UOW Malaysia KDU University College itu.

Berkongsi perubahan yang bakal ditampilkan untuk memberi kesegaran kepada pendengar, Irfan menyimpan hasrat untuk memberi kelainan pada genre muzik yang bakal ditampilkan tidak lama lagi.

“Saya bakal lancarkan single baru nanti. Sebagai kelainan, saya cuba suntik sedikit unsur muzik ala ‘seberang’ untuk memikat hati pendengar setempat.

“Bukan setakat untuk menarik halwa telinga peminat di Malaysia, saya juga berharap bakat saya ini dapat dikembangkan ke Indonesia suatu hari nanti.

“Saya masih mengekalkan kekuatan muzik saya iaitu balada, cuma sentuhannya nanti akan diberi kesegaran supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa (Indonesia),” ujarnya penuh semangat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >