Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Mengapa ‘feel’ selebriti tiada lagi pada kuih Raya? Kurang glamor?

Jika tudung dan minyak wangi berjenama artis, kuih Raya cuma ada bantal peluk Saloma dan topi Puteri Diana dari dulu hingga kini
Mar 23, 2024 | 05:30 AM



Masih segar di ingatan saya kenangan menyeronokkan berhari Raya di kampung bapa saudara saya sekitar daerah Changi pada era 1970-an.

Pada masa itu, hanya dengan melihat sekawan anak ayam di reban dan bermain bunga api di lelapang luas depan rumah kampung, membuatkan saya cukup terhibur dan ceria.

Saya juga begitu teruja membuka satu demi satu bekas Tupperware berisi kuih-muih Raya untuk meninjau kuih apa yang disajikan.

Sebabnya, kebanyakan masa kuih-muih orang kampung ini lebih unik dan lain daripada lain seperti bantal peluk Saloma yang berisi kurma dan batang buruk.

Nak memakannya perlu berhati-hati. Jangan sampai berkecah rumah tuan rumah nanti dengan serpihan kuih dan serbuk atau gula kisar yang ditabur pada kuih makmur melekat pada permaidani!

Pada 1970-an dan 1980-an, terdapat beberapa kuih-muih Raya yang dicipta menggunakan nama ikon terkenal ataupun bintang filem yang disegani ramai.

Bantal peluk Saloma adalah kuih yang bertahan lama kewujudannya hingga ke hari ini dan menggunakan nama selebriti Puan Sri Saloma, seorang biduanita dengan suara merdu bak buluh perindu.

Dengar khabar di beberapa kedai kuih di Johor Bahru, ada yang juga menukar inti kuih berisi kurma dan kelihatan seperti gulungan bantal dengan nanas, coklat dan jem strawberi mengikut cita rasa masa kini.

Ada juga yang menukarnya menjadi Kuih P. Ramlee agar lebih menyerlah jenamanya dalam kalangan generasi muda yang terdedah pada filem klasik P. Ramlee seperti Madu Tiga, Tiga Abdul dan Bujang Lapok.


Saya teringat ibu saudara saya yang menghantar saya ke sekolah dahulu bertukar-tukar resipi dengan temannya yang ghairah apabila muncul di pasaran kuih topi Puteri Diana.

Kuih seperti topi yang dihias dengan ceri hijau dan merah itu mengambil sempena nama mendiang puteri diraja Britain, Puteri Diana Spencer, yang nampak anggun dengan pelbagai jenis topi berwarnanya.

Topi itu selalu digayakan di majlia keramaian mahupun acara sukan yang dihadiri bagi menemani suaminya ketika itu, Putera Charles (kini Raja Charles).

Selepas itu, sekitar 1990-an pula, muncul biskut Mama Carey, biskut berbentuk hati yang disalut aising di permukaannya.

Saya pernah temui biskut yang dikatakan diberi nama persis nama keluarga penyanyi legenda, Mariah Carey, itu dalam salutan aising berwarna ungu.

Awal-awal kuih ‘legenda’ itu berada di pasaran, ia bahkan diberi nama Mariah Carey, sepertimana yang saya nampak sewaktu membeli-belah di Angsana Mall dahulu.

Penjual kuih itu sempat memberitahu saya bahawa namanya diubah menjadi Mama Carey kerana dikhuatiri timbul soal hak cipta sebab pastinya apabila biskut itu dihasilkan, si pembuat kuih tidak merujuk padanya untuk mendapatkan keizinan.

Namun, apabila tahun berganti tahun, sudah tiada lagi nama selebriti yang dikaitkan dengan kuih-muih Raya.

Saya tertanya-tanya mengapa, sedangkan ramai juga pelakon dan penyanyi seberang yang hadir di pesta dagangan sempena Lebaran dengan membawa produk kuih-muih Raya mereka sendiri seperti kuih tart nanas, biskut gajus, Almond London dan biskut cornflakes.


Otak kreatif saya sudah mula terfikir, seronoknya kalau ada biskut buluh perindu Tok Ti (agak-agak kalau makan, suara anda boleh selunak Datuk Seri Siti Nurhaliza ke?) atau biskut cornflakes lemak manis Haziq Rosebi mahupun kuih ‘Jampi’ Hael Husaini dan biskut SAH (Setia Akhir Hayat) Sarah Suhairi.


Zaman mungkin sudah jauh berubah. Lantaran itu, jenama selebriti lebih kerap dikaitkan pada barangan mewah seperti busana Raya, tudung dan minyak wangi.

Letak nama selebriti pada kuih agaknya dah tak glamor atau ‘fancy’ lagi.

Bahkan, tiada lagi budaya mencipta kuih-muih baru lagi sebab saban tahun yang orang cari-cari tetap kuih malar segar dan klasik seperti suji, tart nanas, makmur, kek lapis, kek marble, kek kukus buah-buahan dan segala macam keropok, emping dan kerepek.


Saya hanya nampak nama selebriti digunakan pada makanan di kafe Beigelhaus SG milik anak Melayu yang menjual roti bagel dengan nama selebriti Barat seperti Chris Brown, Scarlett Jo-Hamsson (diubah Jo-Hansson), Lindsay Loham (diubah daripada Lohan) dan Megg-An Fox (daripada nama asal Megan Fox).


Saya ketengahkan soalan mengapa tiada lagi kuih Raya dengan nama selebriti di pasaran ini kepada beberapa teman. Masing-masing ada jawapan berbeza.

Cef Haikel Ismail yang mengambil tempahan kuih-muih Raya berkata:

“Saya rasa ia bukan soal artis tak nak nama mereka dikaitkan dengan kuih Raya sebab tak glamor.

“Ia lebih pada mengikut situasi dahulu dan sekarang. Dahulu, si pembuat kuih bikin kuih rata-rata untuk dimakan sendiri atau disajikan kepada tetamu pada Lebaran.

“Bahan asas digunakan dan tak dapat dinafikan, kuih-muih dahulu memang tinggi mutunya dan sedap dimakan.

“Mungkin dengan menggunakan nama seperti Saloma dan Puteri Diana, kuih itu jadi senang dikenal pasti dan kalau di pasar pun, lebih menarik perhatian dalam kalangan kuih-muih klasik lain yang lebih dicari-cari.

“Tapi masa sudah jauh berubah. Sekarang, semua nak senang. Jadi, adalah nama yang senang diingati seperti biskut Cornflakes Classic atau Cornflakes Honey. Nak guna nama artis pun, mana tahu perlu juga diberi bayaran kepada artis sebab kita dah pinjam nama dia untuk kuih kita!” ujarnya.


Penjenamaan memang penting. Lihat sahaja tudung Naelofar (jenama selebriti Neelofa) dan tudung Fazura sama-sama laku. Ramai yang ingin feeling selebriti pada musim Raya ini.


Kalau khuatir kuih-muih Raya baru tak laku sebab orang tetap mahukan kuih-raya lama, lihat fenomena lagu Raya M-Pop (Pop Malaysia) yang kian bangkit dan mendapat perhatian ramai.

Belum apa-apa, lagu Raya kumpulan De Fam, Alamak Nak Raya Lagi, tular di TikTok. Begitu juga dengan lagu Dolla, Raya Raya Raya dah jadi macam lagu wajib selain kita terbiasa mendengar lagu Datuk M. Nasir, Suatu Hari Di Hari Raya dan lagu Datuk Sharifah Aini, Suasana Hari Raya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >