Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kris Dayanti beri jiwa raga, rai 30 tahun dalam industri hiburan

Bintang Indonesia turut kenang jasa ikon hiburan S’pura, Najip Ali, dalam konsert ‘Mencintaimu’ di Star Theatre
May 26, 2023 | 03:09 PM



SEJAK beberapa bulan lalu, pengamat muzik di Singapura pastinya teruja dengan banyak konsert menghujani Kota Singa dan menampilkan artis hebat seperti Blackpink, Andmesh, Cakra Khan, Ne-Yo, Dayang Nurfaizah dan Emelia Contessa.

Bak kata orang, sesudah pandemik Covid-19 melabuhkan tirainya meskipun dalam keadaan jangkitan virus masih wujud, ramai yang ‘bayar niat’ untuk menonton artis kegemaran mereka menyanyi secara ‘live’.

Namun, adakalanya terasa menyelinap keadaan yang melelahkan atau dipanggil concert fatigue apabila terlalu banyak konsert diadakan dan kadangkala tidak memenuhi jangkaan dek sistem bunyian berbajet rendah yang menenggelamkan vokal artis yang sebenarnya hebat.


Sungguhpun begitu, rasanya rugi jika pencinta muzik tidak menghadirkan diri di konsert ulang tahun ke-30 bintang Indonesia, Kris Dayanti, dalam industri muzik Nusantara pada Rabu lalu.

Walaupun dewan The Star Theatre tidak sepenuh konsert Anuar Zain dan Ziana Zain mahupun Ungu, konsert Kris Dayanti Mencintaimu Menampilkan Erwin Gutawa & Band adalah acara terbaik yang disaksikan penulis pada tempoh pasca pandemik Covid-19.


Pertama, Kris, 48 tahun, adalah penghibur yang memang ‘Asia Bagus’ (terbaik di Asia) dengan penceritaannya yang bersahaja, vokalnya yang lunak dan menghiburkan, keyakinan dirinya yang menyerlah serta sanjungannya buat orang-orang yang mendukung kerjayanya selama tiga dekad.

Tidak kedengaran suara yang tergelincir kerana penat. Tidak pudar dari bibirnya senyuman buat peminat dan tidak hilang daripada pertuturannya kata-kata penghargaan buat keluarga iaitu suami dan anak-anak serta pengarah muzik Erwin Gutawa dan pemuzik di pentas yang sama-sama bertungkus-lumus.

Pemilihan Erwin selaku pengarah muzik dengan barisan pemuzik dan jurutera bunyian yang profesional adalah tepat kerana sepanjang dua jam konsert diadakan, muzik mereka yang tidak membingitkan sehingga menjerumuskan suara merdu Kris menjadi santapan halwa telinga.

Sebutir demi sebutir keluar dari mulut sang penyanyi – jelas kedengaran untuk hadirin mendengar lagu cinta indah atau irama kasih kecewa yang disampaikan Kris.

Mencintaimu dan Ku Tak Sanggup, lagu ikonik Kris, malahan diberikan sentuhan susunan lagu lebih segar tahun ini dan disampaikan dalam konsert yang penuh kemeriahan.


Dalam wawancara awal bersamanya, Kris memberitahu Berita Harian, lagu-lagu ini ada pengertian tersendiri dan dicipta pada tempoh yang membawa impak buatnya sebagai ibu mahupun anak seni.


Mencintaimu merupakan lagu yang diterbitkan pada 2000 dan melambangkan sambutan ‘Y2K’ di mana transformasi dijangka. Ia dihasilkan ketika beliau hamil anak kedua.


Ku Tak Sanggup, seperti judulnya, pula menggambarkan situasi di Indonesia yang terkena tempias krisis kewangan sedunia pada 1997 di mana masalah inflasi perlu ditangani. Ia juga tercipta ketika Kris hamil anak sulungnya.


Penulis menganggap Kris, juga seorang ahli politik dan wakil rakyat, sebagai penghibur berdaya intelek tinggi kerana setiap lagu mempunyai latar belakang mengikut konteks sekeliling. Persembahannya pula diatur rapi dengan konsep video yang menarik dan evolusi persembahan yang menyentuh jiwa.

Di kala beliau mengenang detik awal memasuki dunia hiburan setelah memenangi Asia Bagus, dicarinya ikon hiburan Singapura, Najip Ali, dalam kalangan penonton.


“Ini mentor saya sewaktu Asia Bagus... Najip Ali... dia melihat saya dari saya remaja 16 tahun sampailah saya kini nenek yang bakal menimang seorang lagi cucu!” kata Kris sambil mengajak Najip ke tepi pentas untuk menyaksikan bersama satu video kenangan detik awal Kris menjadi penyanyi.







Penghargaan Kris buat Najip menyentuh kalbu sambil beliau mendendangkan lagu Learning From Love yang membuka tirai pengenalan ramai pada gadis bernama Kris Dayanti.


Menghitung Hari yang mampu membuat bulu roma merinding, Rembulan yang membangkitkan semangat untuk menari serta Penasaran yang menggembirakan turut disampaikan Kris pada malam itu.


Beliau juga memberi ruang untuk anda intai-intai kemahiran baru yang dipelajarinya sewaktu pandemik iaitu sukan kecergasan wushu lantas mengubah pentas hiburan di Star Theatre menjadi persis gelanggang sukan atau set filem mempertahankan diri.







Kris turut mengundang anak-anaknya, Amora Lemos dan Aurel Hermansyah (yang ditemani suami Atta Halilintar dan anak Ameena Hanna Nur Atta) untuk membuat persembahan bersamanya, mengukuhkan bahawa sokongan keluarga itu amat penting untuknya.

Tempoh 30 tahun bukan sesuatu yang singkat tetapi lama bagi Kris terus bertahan dalam industri muzik Indonesia dan Nusantara.

Media yang mengenalinya tahu beliau antara segelintir artis yang tidak berubah dari segi kerendahan hati, keikhlasan bermuzik dan keihsanan jiwa dari dahulu hingga hari ini.

Semua ini terpapar indah dalam konsertnya yang meninggalkan seribu satu kenangan buat penonton yang hadir. Dirgahayu buat Kris Dayanti yang turut menyanyikan lagu rakyat Singapura, Di Tanjong Katong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >