Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Jelajah alam duyung, misi tumpas kejahatan dalam filem dasar lautan

Selepas 24 tahun, filem Disney tidak luput tarikan buat semua lapisan usia
May 29, 2023 | 05:30 AM



SELAMI dasar lautan yang dalam, sarat dengan hidupan seperti ketam dan ikan yang ingin menemani sang duyung dalam suka mahupun duka.

Kemudian menanti watak duyung manja tetapi cekal dan kadangkala dianggap degil bernama Ariel bertemu dan menjalin cinta dengan Putera Eric daripada darat yang kehidupannya jauh beza bak bumi dengan langit.

Inilah kegembiraan yang dinanti-nanti tatkala penulis hadir di sesi pratonton The Little Mermaid di pawagam Bugis baru-baru ini.

Teringat pengalaman zaman remaja pada 1989 menyaksikan animasi Disney, The Little Mermaid, yang membawa mata ini meninjau kesungguhan Ariel, hasad dendam Ursula, semangat persahabatan haiwan di dasar lautan serta keihsanan Putera Eric.

Terdapat beberapa ulasan filem ini yang kini ditayangkan di pawagam Singapura sebagai tarikan cuti sekolah Jun yang menjurus ke arah tidak begitu terpegun dengan apa yang dipaparkan.

Rata-rata, pengkritik filem Barat berasakan filem ini kurang faktor X dan biasa-biasa sahaja dan tidak mampu mengatasi kehebatan animasi asal yang memberi ruang buat kanak-kanak menebar impian walau sesulit mana pun keadaan.

Namun, penulis secara peribadi, senangi pendekatan yang ditampilkan. Pertama, wirawati dalam filem ini merupakan pelakon kulit hitam, Halle Bailey, yang membawa watak Ariel dengan meyakinkan.

Tidak seperti kebiasaannya, watak duyung itu mungkin diberi kepada pelakon kulit putih. Ia menunjukkan usaha Disney memberi ruang dan peluang saksama buat bakat pelbagai kaum dan latar belakang diketengahkan sebagai watak utama.

Lebih daripada itu, kesan khas dan juga penggunaan imej janaan komputer (CGI) membuatkan filem ini kelihatan canggih dan berupaya membawa penonton ‘terbang’ ke alam fantasi yang penuh warna-warni.

Secara asasnya, The Little Mermaid adalah kisah puteri bongsu dari kerajaan Atlantica yang dipimpin Raja Triton. Ariel kagum dengan dunia manusia tetapi duyung dilarang meneroka bumi.

Selepas menyelamatkan Putera Eric daripada nahas tenggelamnya kapal, Ariel jatuh hati pada putera tampan itu dan bersemangat untuk hidup di alam manusia.

Ini menimbulkan konfrontasi dengan bapanya dan dia juga perlu bertembung dengan nenek kebayan lautan, Ursula, yang ingin Ariel menukar ganti suara merdunya yang memikat Putera Eric, agar dia dapat meneroka bumi manusia dan meluputkan ekornya.

Demi cinta sebagaimana dalam kisah dongeng lain, Ariel sanggup berkorban. Situasi itu menggugat kepimpinan bapanya yang risau dan marah akan kedegilan Ariel yang tidak hiraukan keselamatannya.

Bailey, 23 tahun, selaku Ariel, membawakan perspektif berbeza pada watak duyung. Apabila dia kehilangan suara, dia menggunakan mimik muka dan jelingan mata untuk berkomunikasi.

Jonah Hauer-King, 27 tahun, sebagai Putera Eric pula menginatkan penulis kepada pelakon Patrick Dempsey yang membawa watak hero dalam filem Enchanted.

Beliau adalah wira yang tidak banyak berkata-kata, kadangkala keliru dibuai cinta dan tetap romantis dalam cara tersendiri.

Melissa McCarthy, 52 tahun, merupakan pilihan sesuai untuk membawa watak ratu laut penuh hasad dendam, Ursula, yang selalu ada rancangan jahat menjatuhkan Ariel.

Wujud watak-watak lucu seperti sang ketam, ikan dan burung camar yang cuba melindungi Ariel tetapi hampir-hampir berputus asa dengan kedegilan duyung manja itu.

The Little Mermaid tetap memberikan kesan magis buat penulis kerana ia menekankan soal persahabatan, perselisihan faham bapa dan anak yang akhirnya terlerai kerana kasih sayang dan misi menumpaskan yang jahat dan kejam walau sukar.

Lagu-lagu runut bunyi (OST) filem ini seperti Under The Sea, Poor Unfortunate Souls, The Storm, Kiss The Girl dan Bedtime pula memberi inspirasi dalam meraikan cinta, misi menumpaskan kuasa jahat dan melihat cahaya di hujung jalan, jika diamati bait-bait liriknya.

Ada juga sisipan hiburan di tepi pantai dengan penampilan santai pemuzik Latin yang menjadi penggerak kemesraan Ariel dan Putera Eric.

Yang nyata, mahakarya Disney tidak pernah lupa akan unsur ‘wajib’ yang sentiasa ada dalam memacu semangat penonton setianya.

Tidak salah untuk impikan dunia fantasi duyung yang terperap dalam lautan, pakar menyelam tetapi terkongkong dari segi pergerakan.

Realisme yang ada dalam filem ini adalah interaksi antara manusia yang kadangkala dipincangkan kerana hasad yang membuku atau salah sangka mahupun ego yang menguasai diri.

Selebihnya, filem ini untuk kanak-kanak terhibur dengan paparan haiwan yang mampu bergurau senda dan menjadi penawar pada jiwa lara manusia mahupun sang duyung.

Gabungan lakonan dan juga CGI merencamkan lagi daya tarikan filem ini meskipun jalan ceritanya tidak berbeza dan sederhana sahaja serta mampu dijangka kesudahannya.

Sesudah kita diulit plot filem Netflix yang berbelit-belit, seronok juga jika dileraikan dengan karya yang mudah sahaja dihadam meskipun emosi ini pasang surut dalam babak cemas di lautan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >