Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tinjauan: Rakyat Australia kian yakini China

Jun 21, 2023 | 04:51 PM



SYDNEY: Rakyat Australia mendukung pemulihan dialog negara itu dengan Beijing, dan kembali melihat China lebih sebagai rakan ekonomi daripada ancaman keselamatan, menurut dapatan tinjauan terbaru, selepas hubungannya dengan Beijing terputus pada 2020.


Sekitar 56 peratus responden akui hubungan di peringkat menteri dengan China adalah sesuatu yang positif bagi kepentingan Australia, menurut dapatan tinjauan Institut Lowy.

Mereka yang melihat China sebagai berbahaya merosot 11 peratusan mata kepada 52 peratus sementara yang melihatnya sebagai rakan ekonomi meningkat kepada 44 peratus.

Tinjauan yang melibatkan 2,077 orang dewasa dijalankan 14-26 Mac dan memberi kelonggaran kesilapan sekitar 2.2 peratus, menurut Institut Lowy, sebuah kumpulan pemikir yang berpangkalan di Sydney.

Hubungan dengan China, rakan dagang terbesar Australia, beransur pulih sejak kerajaan Parti Buruh berkuasa pada Mei 2022.

Beijing telah menarik balik beberapa sekatan terhadap barangan Australia dan rundingan peringkat tinggi antara para menteri luar, perdagangan dan pertahanan berlangsung selepas lama renggang.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, juga dijangka berkunjung ke Beijing sebelum akhir 2023.

Namun, suasana hubungan dingin masih menyelubungi rakyat Australia, menurut tinjauan itu, yang menunjukkan kepercayaan, keyakinan dan keprihatinan terhadap China dan Presiden Xi Jinping masih suram.

Lima tahun lalu, lebih separuh daripada rakyat Australia percaya bahawa Beijing akan bertindak dengan penuh bertanggungjawab di dunia, kini angka itu hanya 15 peratus.

Risiko kemungkinan perang antara Amerika Syarikat dan China tinggi dengan lebih separuh responden mengatakan Australia harus berkecuali sekiranya ini berlaku.

“Berkaitan konflik dengan Taiwan, rakyat Australia kurang berbalah untuk bekerjasama dengan Amerika, malah ini boleh memberi makna bahawa Australia mungkin membekalkan keperluan ketenteraan kepada Taipei atau mengerahkan Angkatan Laut Australia untuk membantu mengekang China daripada mengenakan sekatan di sekitar Taiwan,” kata Encik Michael Fullilove, pengarah eksekutif Institut Lowy itu.

Namun majoriti responden berkata mereka tidak akan menyokong sebarang pengiriman tentera Australia ke Taiwan sekiranya China memasuki Taiwan.

Pada Mac lalu, Australia mengumumkan ia akan membeli kapal selam berkuasa nuklear dari Amerika sebagai sebahagian daripada perjanjian keselamatan Aukus, yang juga melibatkan Britain, bernilai lebih A$360 bilion ($245 bilion).

Tinjauan Institut Lowy mendapati 49 peratus rakyat Australia berkata perjanjian Aukus akan menjadikan Australia lebih selamat, dan 67 peratus pula mendukung keputusan kerajaan untuk membeli kapal selam berkuasa nuklear itu.

Bagaimanapun, sebilangan besar dalam tinjauan tersebut kurang senang dengan kos pembelian itu dan 47 peratus mengatakan ia tidak berbaloi, sementara 20 peratus lagi mengatakan mereka percaya armada baru itu kelak akan mendorong kepada konflik ketenteraan di rantau Asia-Pasifik.

Tinjauan itu juga menunjukkan kepercayaan terhadap Amerika merosot 4 peratusan mata kepada 61 peratus daripada 2022, tetapi masih 10 peratus lebih tinggi berbanding 2020 semasa penghujung tempoh pentadbiran Encik Donald Trump.

Rakyat Australia lebih yakin terhadap Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, iaitu 72 peratus, sementara keyakinan terhadap Presiden Joe Biden kekal sekitar 59 peratus.

Pemimpin yang kurang dipercayai oleh rakyat Australia adalah Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (sekitar 7 peratus); pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (3 peratus); dan Presiden Xi (sekitar 11 peratus). – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >